Pemerintah Iran dakwa protes berjaya dibanteras sepenuhnya
Pemerintah Iran dakwa protes berjaya dibanteras sepenuhnya
TEHERAN: Pemerintah Iran pada 21 Januari mendakwa telah berjaya menumpaskan gelombang protes anti-pemerintah yang menggoncang negara itu selama beberapa minggu, selepas tindakan keras keselamatan yang menurut laporan rasmi telah mengorbankan ribuan nyawa.
Pendakwa Raya Iran, Encik Mohammad Movahedi, dipetik agensi kehakiman Mizan News sebagai berkata bahawa episod tersebut kini telah berakhir.
“Hasutan ini sudah tamat. Dan seperti biasa, kita harus berterima kasih kepada rakyat yang turun ke lapangan pada masa yang tepat untuk memadamkan hasutan ini,” katanya.
Kenyataan itu merupakan sebahagian daripada usaha terbuka pemerintah Iran untuk menggambarkan situasi di negara tersebut sebagai kembali terkawal, selepas protes yang pada satu ketika dilihat sebagai ancaman serius terhadap kelangsungan rejim pemerintah.
Pada hari yang sama, televisyen negara Iran menyiarkan angka korban rasmi pertama sejak protes tercetus, dengan melaporkan bahawa seramai 3,117 orang terbunuh.
Protes tersebut bermula pada akhir Disember 2025, didorong oleh kemarahan awam terhadap kemerosotan ekonomi dan kejatuhan mendadak nilai mata wang negara itu.
Satu kenyataan Yayasan Veteran dan Syuhada Iran, yang dipetik oleh televisyen negara, menyebut bahawa 2,427 daripada korban tersebut termasuk anggota pasukan keselamatan dan dianggap sebagai “syahid” di sisi Islam, sambil menyifatkan mereka sebagai mangsa yang tidak bersalah.
Angka itu bagaimanapun lebih rendah berbanding laporan oleh Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia (HRANA) yang berpangkalan di Amerika Syarikat, yang pada 20 Januari menganggarkan 4,519 kematian.
Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa turut mempertikaikan angka rasmi tersebut.
Pertubuhan Hak Asasi Iran Human (IHR), yang berpangkalan di Norway, berkata ia telah mengesahkan kematian sekurang-kurangnya 3,428 penunjuk perasaan akibat tembakan pasukan keselamatan.
Namun, pertubuhan itu memberi amaran bahawa jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi.
“Ada anggaran bahawa antara 5,000 hingga 20,000 penunjuk perasaan mungkin telah terbunuh,” kata IHR, sambil menegaskan bahawa sekatan Internet yang berpanjangan menyukarkan pengesahan bebas.
Sekatan Internet di Iran kini telah berlarutan lebih 300 jam, menurut pemantau Internet Netblocks, yang menyifatkan langkah itu sebagai usaha menutup skala sebenar tindakan keras.
“Cubaan untuk mengaburkan kebenaran sedang direkodkan secara masa nyata. Dunia sedang memerhati,’’ kata Netblocks dalam satu kenyataan.
Walaupun maklumat bebas sukar diperoleh, saksi dan kumpulan hak asasi melaporkan suasana sunyi yang ganjil mula menyelubungi bandar-bandar utama Iran sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Kedai dan sekolah dilaporkan dibuka semula, tetapi di bawah kehadiran pasukan keselamatan yang ketat di jalanan.
Pemerintah Iran menyatakan bahawa akses Internet akan dipulihkan dalam beberapa hari akan datang.
Namun, pegawai memberi isyarat bahawa walaupun sambungan umum dikembalikan, laman web asing mungkin masih tidak dapat diakses.
Di peringkat antarabangsa, situasi itu turut mencetuskan peningkatan ketegangan.
Pada satu ketika, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengeluarkan ancaman campur tangan ketenteraan dengan menyatakan Washington “bersedia sepenuhnya” untuk melindungi penunjuk perasaan Iran, sambil menggesa mereka mengambil alih institusi pemerintah.
Sebagai tindak balas, Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi mengeluarkan amaran paling keras setakat ini terhadap Amerika.
Dalam satu rencana pendapat yang disiarkan di sebuah agensi berita Amerika, beliau menegaskan Iran tidak akan berdiam diri jika diserang.
“Iran tidak teragak-agak untuk membalas dengan segala yang kami miliki jika kami diserang sekali lagi.”
“Ini bukan ancaman, tetapi satu realiti yang perlu saya nyatakan dengan jelas,” tulisnya.
Beliau turut mendakwa bahawa keganasan di jalanan telah reda dan kehidupan normal telah kembali di seluruh negara.
Namun, rakaman video dan keterangan saksi semasa kemuncak protes menggambarkan gambaran yang jauh berbeza.
Saksi mendakwa pasukan keselamatan melepaskan tembakan, ada kalanya menggunakan senjata automatik dan secara rambang, terhadap penunjuk perasaan yang tidak bersenjata.
Kumpulan hak asasi melaporkan ribuan orang ditahan sepanjang tempoh itu.
Pihak berkuasa Iran pula berikrar untuk menghukum mereka yang dianggap bertanggungjawab mencetuskan protes, yang disifatkan sebagai tindakan “keganasan” didalangi kuasa asing.
“Para penghasut akan dibicarakan dan dihukum mengikut semua prosedur undang-undang,” kata Encik Movahedi.
Pegawai Iran turut memberi amaran bahawa sesetengah individu boleh didakwa atas pertuduhan “memerangi Tuhan”, satu kesalahan berat yang membawa hukuman mati.
Yayasan Veteran dan Syuhada Iran mendakwa bahawa “ramai syuhada adalah orang awam” yang ditembak mati ketika protes berlangsung.
Ia juga mendakwa sebahagian penunjuk perasaan terbunuh akibat tembakan “elemen pengganas terancang” dalam kalangan orang ramai, tanpa mengemukakan bukti.
Sebaliknya, kumpulan hak asasi, termasuk Amnesty International, menuduh pasukan keselamatan menyasarkan penunjuk perasaan secara sengaja, termasuk menembak dari atas bumbung dan membidik mata mangsa.
Tuduhan-tuduhan ini terus menambah tekanan antarabangsa terhadap Teheran, ketika kerajaan Iran berusaha menutup satu episod paling berdarah dalam sejarah protes moden negara itu. – Agensi berita.

