Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebanon berdepan krisis urus sisa runtuhan

Feb 10, 2025 | 5:30 AM
Seorang lelaki membersihkan runtuhan di sebuah taman hiburan yang terkena serangan udara Israel di perkampungan Nabatiyeh el Faouqa, selatan Lebanon.
Seorang lelaki membersihkan runtuhan di sebuah taman hiburan yang terkena serangan udara Israel di perkampungan Nabatiyeh el Faouqa, selatan Lebanon. - Foto AFP

BEIRUT: Bagi Encik Ahmad Mehdi, kehidupan dalam rumah yang sebahagiannya musnah bukan lagi sesuatu yang luar biasa.

Sejak Oktober, beliau dan keluarganya terpaksa bertahan di apartmen mereka yang rosak di selatan Beirut selepas serangan udara Israel menghancurkan bangunan di sebelah rumahnya.

“Sebahagian dapur dan ruang tamu kami musnah. Tetapi apa yang lebih mengejutkan saya adalah kemusnahan bangunan di sebelahnya. Sebelas tingkat bangunan runtuh menjadi dua,” katanya.

Namun, cabaran utama bukan sekadar membaiki rumah, tetapi bagaimana membersihkan runtuhan bertimbun di seluruh kawasan.

“Itulah masalah terbesar kami. Ke mana harus kami buang semua runtuhan ini?” tambah Encik Mehdi.

Selepas pertempuran lebih setahun antara Hezbollah dengan Israel, yang bermula susulan serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023, Lebanon kini berdepan krisis pemulihan yang rumit.

Menurut laporan Majlis Penyelidikan Saintifik Kebangsaan Lebanon, hampir 3,000 bangunan di Dahiya, kawasan selatan Beirut yang menjadi kubu kuat Hezbollah, telah musnah atau mengalami kerosakan teruk akibat serangan Israel.

Lebih 3,700 rakyat Lebanon terbunuh, sementara 1.3 juta orang terpaksa berpindah akibat konflik tersebut.

Selain itu, kemusnahan besar di kawasan selatan Lebanon berhampiran sempadan Israel dan di kawasan padat penduduk di selatan Beirut menyebabkan kerugian ekonomi bernilai berbilion dolar.

Pakar alam sekitar, Profesor Issam Srour dari Universiti Amerika Beirut, memberi amaran Lebanon kini berdepan krisis persekitaran akibat 350 juta kaki padu runtuhan yang dihasilkan susulan perang.

“Tapak pelupusan sisa binaan di Lebanon sudah pun bergelut dengan lambakan bahan buangan yang sering kali mengandungi bahan berbahaya. Kini, kami berdepan masalah yang jauh lebih besar,” katanya.

Lebanon pernah mengalami keadaan serupa pada 2006 selepas perang antara Hezbollah dengan Israel.

Ketika itu, serpihan runtuhan dibuang secara besar-besaran di sepanjang pantai berhampiran lapangan terbang, membentuk tapak pelupusan Costa Brava yang kini menjadi simbol bencana alam sekitar.

“Sisa runtuhan termasuk logam berat, asbestos, bahan sintetik dan peranti elektronik yang musnah dibuang begitu sahaja ke dalam laut tanpa perlindungan yang mencukupi,” kata pengarang laporan mengenai kerosakan akibat perang, Dr Tamara Elzein.

Menurutnya, konflik terkini berpotensi menyebabkan bencana lebih buruk kerana peningkatan penggunaan panel solar dan bateri di Lebanon sejak sedekad lalu.

Jika tidak dikendalikan dengan betul, bahan itu boleh membocorkan merkuri, plumbum dan unsur toksik lain ke dalam alam sekitar.

“Kali ini, bahaya daripada runtuhan jauh lebih besar daripada yang kita lihat pada 2006.

“Jika kita mengabaikannya lagi, kesannya mungkin tidak kelihatan sekarang, tetapi ia pasti akan dirasai dalam beberapa tahun akan datang,” jelas Profesor Srour.

Di sebalik kekeliruan apakah yang harus dilakukan dengan runtuhan itu, Encik Mehdi melihat peluang di sebalik kemusnahan.

“Jika kita membersihkan dan menyusun runtuhan dengan betul, ia boleh dikitar semula menjadi bahan binaan untuk projek prasarana yang sangat diperlukan,” katanya, yang juga merupakan pelajar kejuruteraan di Universiti Amerika Beirut.

Menurutnya, ini boleh mengurangkan keperluan untuk melombong pasir dan batu bagi menghasilkan konkrit baharu.

Namun, cabarannya adalah masa dan kos yang diperlukan untuk menyusun runtuhan bagi mengenal pasti bahan yang boleh digunakan semula.

“Pemerintah akan cenderung memilih jalan lebih mudah – membuang runtuhan ke tapak pelupusan,” katanya dengan nada kecewa.

Pemerintah sementara Lebanon telah memperuntukkan AS$25 juta ($33.8 juta) untuk menilai kerosakan, pemusnahan bangunan yang tidak selamat, dan pembersihan runtuhan.

Namun, butiran pelan pelaksanaannya masih kabur, walaupun pemerintah berjanji faktor alam sekitar akan dipertimbangkan.

Menteri Alam Sekitar, Encik Nasser Yassin, mengakui cabaran utama adalah jumlah runtuhan yang sangat besar, kewujudan bahan berbahaya dan kekurangan tapak pelupusan yang sesuai dalam jarak yang munasabah.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan, Encik Ali Hamieh, mencadangkan penyelesaian mudah: meluaskan tapak pelupusan Costa Brava untuk menampung runtuhan dari kawasan Beirut.

Namun, cadangan itu ditentang oleh aktivis alam sekitar seperti Persatuan Terre Liban serta nelayan tempatan yang mendakwa Costa Brava telah merosakkan ekosistem laut sejak ia mula digunakan sebagai tapak pelupusan pada 2006.

“Tempat itu adalah kawasan pembiakan penyu laut. Kami tidak akan benarkan lebih banyak sisa beracun dibuang di sana,” tegas Encik Idriss Atriss, ketua persatuan nelayan di selatan Beirut.

Presiden Terre Liban, Encik Paul Abi Rached, turut memberi amaran bahawa bahan logam berat dan bahan kimia daripada runtuhan boleh bocor ke dalam Laut Mediterranean dan menjejas bukan sahaja perairan Lebanon malah negara di Eropah.

“Kita tidak boleh menjadikan Laut Mediterranean sebagai tempat pembuangan sampah,” katanya.

Menurut perhitungan pakar tenaga dan alam sekitar dari Institut Dasar Badil Lebanon, Encik Charlie Lawrie, usaha membina semula prasarana selepas perang itu boleh menghasilkan sekitar 14.8 juta tan gas rumah hijau, terutama daripada industri simen.

Ahli Parlimen Lebanon, Profesor Najat Aoun Saliba, yang juga ahli jawatankuasa alam sekitar, menekankan bahawa mengitar semula runtuhan menjadi bahan binaan seperti batu kerikil boleh mengurangkan pelepasan karbon dan menjimatkan kos pengeluaran konkrit.

“Kita perlu melihat runtuhan ini dengan perspektif berbeza. Ia bukan sampah. Ia adalah sumber,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg