Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Liga Arab: Konflik dunia Arab yang panjang perlukan resolusi global

Jan 24, 2025 | 12:21 PM
Setiausaha Agung Liga Arab, Encik Ahmed Aboul Gheit.
Setiausaha Agung Liga Arab, Encik Ahmed Aboul Gheit. - Foto REUTERS

NEW YORK: Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit, memberi amaran bahawa rantau Arab berada di fasa kritikal, dipengaruhi oleh persaingan kuasa global yang semakin meningkat.

Situasi ini, menurut beliau, telah menyukarkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menangani isu dunia Arab secara berkesan.

Berucap dalam mesyuarat Majlis Keselamatan yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Algeria, Encik Ahmed Attaf pada 23 Januari, Encik Aboul Gheit menegaskan perlunya mengukuhkan mekanisme penyelesaian konflik, pembinaan keamanan, dan bantuan kemanusiaan di rantau Arab.

Mesyuarat ini, yang dianjurkan oleh Algeria sempena presiden bergilir mereka di Majlis Keselamatan, turut membincangkan beberapa krisis utama di Timur Tengah.

Encik Aboul Gheit mengetengahkan pelbagai isu utama termasuk perang antara Israel dengan Hamas, ketidakstabilan di Syria, Libya, Sudan, Somalia dan Yaman.

Isu-isu ini, katanya, telah berada dalam agenda Majlis Keselamatan selama bertahun-tahun tanpa penyelesaian konkrit.

“Kebimbangan kita adalah satu dan sama,” katanya sambil menyeru supaya kerjasama sejarah antara PBB dengan Liga Arab dijadikan asas untuk menangani cabaran geopolitik yang semakin rumit.

Encik Aboul Gheit turut menyuarakan kebimbangan terhadap konflik Israel-Palestin yang berlarutan, menyatakan bahawa kegagalan untuk menyelesaikan isu ini menjadi ancaman besar kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Beliau menegaskan keperluan untuk penyelesaian dua negara, dengan Palestin sebagai negara merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dan Baitulmakdis Timur sebagai ibu negaranya.

“Penafian hak-hak rakyat Palestin adalah ancaman langsung kepada kestabilan rantau ini dan dunia secara keseluruhan,” katanya.

Mengenai Sudan, Encik Aboul Gheit menyatakan keperluan mendesak untuk menghentikan konflik antara Angkatan Tentera Sudan dengan Pasukan Sokongan Pantas yang telah mengorbankan lebih 150,000 nyawa sejak April 2023.

Beliau menyeru Majlis Keselamatan untuk mengambil tindakan tegas bagi menyokong kedaulatan dan perpaduan Sudan.

Di Syria, beliau menyatakan sokongan Liga Arab terhadap aspirasi rakyat Syria untuk membangunkan semula negara mereka selepas lebih sedekad perang saudara.

Beliau menekankan bahawa proses peralihan politik mesti diterajui oleh rakyat Syria sendiri tanpa campur tangan asing.

Encik Aboul Gheit juga mengkritik pendudukan Israel di Bukit Golan sebagai “tidak sah dan tidak adil”, sambil memberi amaran bahawa “tamak haloba peluasan Israel” boleh memburukkan lagi keadaan.

Beliau menyeru supaya perjanjian penangguhan 1974 antara Syria dengan Israel terus dihormati sebagai asas gencatan senjata.

Encik Aboul Gheit turut menekankan peri penting peranan Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin.

Dengan larangan Israel terhadap agensi itu dijangka berkuat kuasa minggu depan, beliau melahirkan kebimbangan mendalam terhadap usaha melemahkan peranan UNRWA.

“UNRWA bukan sahaja memainkan peranan kemanusiaan, tetapi ia adalah tonggak kestabilan di rantau Arab,” katanya.

Beliau memberi amaran bahawa “usaha untuk menghapuskan peranannya akan membawa kesan buruk kepada keamanan serantau”.

Dalam penutupnya, Aboul Gheit menyeru komuniti antarabangsa untuk lebih berperanan dalam mempertahankan kestabilan rantau Arab.

“Kita memerlukan komitmen global untuk menyokong penyelesaian konflik yang mampan dan melindungi institusi yang tidak tergantikan seperti UNRWA. Masa depan rantau ini bergantung kepada tindakan kita hari ini,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg