BEIRUT: Lebanon dan Israel mencapai kemajuan baharu dalam rundingan yang diusahakan Amerika Syarikat selepas kedua-dua pihak bersetuju memuktamadkan pelaksanaan dua “zon selamat” di selatan Lebanon sebagai langkah awal ke arah pengunduran tentera Israel dan penempatan tentera Lebanon di kawasan sempadan.

Perkembangan itu dicapai selepas dua hari rundingan di Rome, Italy, yang disifatkan Jabatan Negara Amerika sebagai “produktif dan positif”, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan perjanjian rangka kerja yang dimeterai pada 26 Jun lalu.

Dalam kenyataannya, Jabatan Negara Amerika berkata, semua pihak bersetuju mengenai struktur dan garis panduan pelaksanaan zon rintisan selamat yang dijangka dimuktamadkan serta dilaksanakan dalam beberapa hari akan datang.

“Selepas pelaksanaan zon perintis, rundingan teknikal yang lebih meluas akan diteruskan dengan matlamat mencapai perjanjian komprehensif antara Israel dan Lebanon,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pemerintah Lebanon atau Israel mengenai hasil rundingan tersebut.

Perjanjian rangka kerja yang dicapai bulan Jun lalu menetapkan tentera Israel akan berundur secara berperingkat dari kawasan yang didudukinya di selatan Lebanon, manakala tentera Lebanon akan mengambil alih kawalan serta memastikan kawasan itu bebas daripada kehadiran anggota Hezbollah yang disokong Iran.

Langkah itu turut dilihat sebagai usaha mengakhiri konflik berpanjangan antara kedua-dua negara yang secara teknikal masih berada dalam keadaan perang sejak penubuhan Israel hampir 80 tahun lalu.

Pelaksanaan perjanjian itu bagaimanapun tertangguh sebelum ini berikutan perbezaan pendapat mengenai kawasan yang akan dijadikan zon rintisan selamat.

Sebelum rundingan di Rome bermula, Presiden Lebanon, Encik Joseph Aoun, menegaskan delegasi negaranya diarahkan supaya menuntut pengunduran segera tentera Israel dari dua zon perintis sebelum sebarang rundingan lanjut diteruskan.

Beliau dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Washington pada 21 Julai atas jemputan Presiden Donald Trump.

Walaupun Jabatan Negara Amerika tidak menyatakan lokasi zon selamat berkenaan, pegawai Lebanon dan Israel sebelum ini memaklumkan kawasan terbabit merangkumi bandar Froun, Ghandouriyeh dan Zawtar.

Pemilihan kawasan itu bagaimanapun mencetuskan perdebatan di Lebanon kerana sebahagian besar kawasan berkenaan sebenarnya tidak diduduki tentera Israel ketika ini.

Keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai bentuk sebenar proses pengunduran yang bakal dilaksanakan.

Tentera Lebanon sebelum ini dilaporkan menggesa supaya zon selamat diperluaskan bagi merangkumi lebih banyak kawasan yang masih berada di bawah kawalan tentera Israel.

Perang terbaharu antara Israel dan Hezbollah tercetus pada 2 Mac selepas Hezbollah melancarkan serangan rentas sempadan, dua hari selepas Amerika dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran.

Hezbollah dan Teheran sebelum ini mahu sebarang penyelesaian di Lebanon dikaitkan dengan rundingan lebih luas antara Amerika dan Iran.

Sebaliknya, pemerintah Lebanon memilih pendekatan berasingan dengan memberi tumpuan kepada usaha mencapai gencatan senjata secara langsung dengan Israel tanpa mengaitkannya dengan rundingan Washington-Teheran.

Di bawah perjanjian rangka kerja itu, tentera Lebanon akan ditempatkan secara berperingkat di selatan negara itu seiring pengunduran tentera Israel.

Namun, perjanjian tersebut tidak menetapkan jadual masa yang jelas bagi pengunduran penuh tentera Israel.

Menteri Luar Israel, Encik Gideon Saar, pada 14 Julai berkata negaranya bersedia meneruskan pelaksanaan dua zon rintisan selamat itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tentera Israel akan terus mengekalkan kehadiran di kawasan keselamatan sedalam kira-kira 10 kilometer di sepanjang sempadan selagi Hezbollah masih memiliki senjata.

Hezbollah pula secara terbuka menolak rundingan langsung antara Lebanon dan Israel.

Kumpulan itu menegaskan ia tidak akan mematuhi perjanjian berkenaan serta tidak bercadang melucutkan senjatanya, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemampuan perjanjian itu dilaksanakan sepenuhnya.

Walaupun gencatan senjata yang rapuh berjaya mengurangkan pertempuran besar, tentera Israel masih melancarkan serangan sekali-sekala di selatan Lebanon selain menjalankan operasi pemusnahan di beberapa kampung berhampiran sempadan yang masih berada di bawah kawalannya.

Pemerhati melihat kejayaan pelaksanaan zon perintis bakal menjadi penentu sama ada kedua-dua pihak mampu bergerak ke arah rundingan damai yang lebih menyeluruh atau kembali berdepan ketegangan baharu di sempadan. - Agensi berita