BEIRUT: Amerika Syarikat akan menyelia pengunduran tentera Israel dari dua kawasan perintis di selatan Lebanon, dengan pengunduran pertama dijangka bermula dalam tempoh beberapa hari, sekali gus membuka laluan kepada rundingan baharu antara kedua-dua negara di Rome pada 15 dan 16 Julai ini.

Perkembangan itu diumumkan selepas Washington dan Beirut mengesahkan pelaksanaan perjanjian rangka kerja yang dimeterai pada 26 Jun lalu bagi mengurangkan ketegangan di sempadan Lebanon-Israel selepas konflik berpanjangan melibatkan Hezbollah.

Seorang pegawai kanan Amerika berkata proses pelaksanaan kini memasuki fasa pertama, dengan Markas Pusat Amerika (Centcom) akan menyelaraskan pengunduran tentera Israel serta penempatan Tentera Lebanon di kawasan yang terbabit.

“Kami kini memasuki peringkat pelaksanaan perjanjian. Zon perintis pertama akan bermula dalam tempoh beberapa hari dan beberapa zon lain sedang dirancang,” katanya.

Beliau berkata Centcom akan bekerjasama rapat dengan Israel dan Lebanon bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar.

“Kami juga akan mula mendapatkan sokongan rakan antarabangsa bagi membantu pemerintah Lebanon memulihkan kedaulatan di zon berkenaan serta kawasan lain di seluruh negara,” katanya.

Di bawah perjanjian rangka kerja yang dimeterai di Washington pada Jun lalu, Israel bersetuju mengundurkan tenteranya secara berperingkat dari dua kawasan perintis di selatan Lebanon yang didakwa telah dibersihkan daripada kemudahan dan kubu ketenteraan Hezbollah.

Kawasan itu kemudian akan diserahkan kepada tentera Lebanon untuk dikawal sepenuhnya.

Bagaimanapun, perjanjian itu menetapkan tentera Lebanon hanya akan mengambil alih sepenuhnya selepas terdapat pengesahan bahawa semua kumpulan bersenjata bukan pemerintah termasuk Hezbollah, telah dilucutkan senjata di kawasan terbabit.

Hezbollah sebelum ini menolak perjanjian tersebut dan terus bertegas tidak akan melucutkan senjatanya.

Duta Amerika ke Lebanon, Encik Michel Issa, ketika bertemu Presiden Lebanon, Encik Joseph Aoun, memaklumkan bahawa satu delegasi tentera Amerika akan tiba di Beirut dalam beberapa hari lagi bagi menyelaras pelaksanaan pengunduran di lapangan.

“Delegasi tentera Amerika akan tiba di Beirut dalam beberapa hari lagi bagi menentukan mekanisme pelaksanaan di lapangan,” menurut kenyataan Presiden Lebanon.

Encik Issa turut menegaskan penting untuk memastikan tiada kekosongan keselamatan selepas tentera Israel berundur dari kawasan berkenaan.

“Adalah penting untuk mengelakkan sebarang kekosongan keselamatan apabila tentera Israel berundur dari kawasan yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Encik Aoun sekali lagi menggesa Washington menggunakan pengaruhnya bagi memastikan Israel mematuhi sepenuhnya perjanjian yang dipersetujui.

“Kami berharap Amerika Syarikat terus memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan operasi ketenteraan dan mematuhi semua peruntukan dalam rangka kerja perjanjian,” katanya.

Encik Aoun dijangka mengadakan lawatan rasmi ke Washington hujung bulan ini atas jemputan Presiden Amerika, Donald Trump.

Dalam perkembangan berkaitan, rundingan teknikal baharu antara Israel dan Lebanon dijadual berlangsung secara tertutup di Rome pada 15 dan 16 Julai ini.

Seorang pegawai Amerika berkata perbincangan itu akan disertai pasukan teknikal kedua-dua negara bagi memperincikan pelaksanaan semua perkara yang dipersetujui dalam perjanjian rangka kerja.

“Perbincangan di Rome akan diadakan secara tertutup bagi membolehkan kedua-dua kerajaan menyerahkan proses seterusnya kepada pasukan teknikal yang akan menyelesaikan semua isu dalam perjanjian,” katanya.

Sebelum ini, Beirut dikatakan enggan menghadiri rundingan tersebut selagi Israel belum melaksanakan pengunduran seperti dipersetujui.

Bagaimanapun, kemajuan dalam pengunduran dari zon perintis pertama dijangka mencukupi untuk membolehkan Lebanon menghantar wakil ke Rome.

Walaupun proses pengunduran bakal dimulakan, pemerintah Israel menegaskan tenteranya akan terus berada di beberapa kawasan keselamatan berhampiran sempadan.

Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, berkata tenteranya akan kekal berada dalam “zon keselamatan” sedalam kira-kira 10 kilometer di selatan Lebanon selagi Hezbollah masih memiliki senjata.

Pada hari sama, tentera Israel mengumumkan ia memusnahkan dua lagi terowong milik Hezbollah di bandar Majdal Zoun di selatan Lebanon.

Menurut tentera Israel, kedua-dua terowong sepanjang kira-kira 200 meter itu berada sekitar 20 meter di bawah tanah dan didakwa digunakan sebagai sebahagian daripada rangkaian ketenteraan Hezbollah.

Perjanjian pengunduran itu dilihat sebagai langkah penting dalam usaha menstabilkan selatan Lebanon selepas konflik berbulan-bulan antara Israel dan Hezbollah yang tercetus susulan perang Gaza.

Bagaimanapun, penganalisis berpendapat kejayaan perjanjian tersebut bergantung kepada kesediaan semua pihak, khususnya Israel dan Hezbollah, mematuhi komitmen masing-masing.

Selagi isu pelucutan senjata Hezbollah belum diselesaikan dan Israel terus mengekalkan kehadiran tenteranya di zon keselamatan, risiko ketegangan baharu di sempadan Lebanon-Israel dijangka masih kekal tinggi walaupun proses pengunduran telah bermula. - Agensi berita