GAZA: Ribuan rakyat Palestin masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan akibat peperangan yang memusnahkan hampir keseluruhan Jaluran Gaza.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Encik Mahmoud Bassal, memberitahu laman web berita berbahasa Inggeris yang berpangkalan di London, The New Arab, bahawa lebih 10,000 mayat masih tertimbus di bawah runtuhan.
Usaha mencari mangsa kini masuk minggu ketiga dengan tumpuan kepada pencarian mayat tahanan Israel yang terkorban dalam perang.
Perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober, hasil rundingan Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar, merangkumi penghentian serangan sepenuhnya, pertukaran tahanan serta kemasukan bantuan kemanusiaan.
Namun, antara peralatan pertama yang dibenarkan masuk ke Gaza bukan untuk menyelamatkan penduduk Palestin yang masih hidup, sebaliknya untuk mencari mayat warga Israel.
“Kami berdepan keadaan yang menyayat hati. Dunia segera menghantar jentera berat untuk mencari mayat Israel, tetapi menolak permintaan kami untuk menggali dan menyelamatkan rakyat sendiri,” kata Encik Bassal dengan nada kecewa.
Menurut Encik Bassal, kawasan yang pernah padat dengan penduduk kini “lenyap dari peta”.
Menara kediaman runtuh sepenuhnya, dan pasukan penyelamat kekurangan bahan api serta jentera berat.
“Kami hanya ada tenaga manusia dan cangkul kecil. Tiada bahan bakar, tiada mesin, dan anggota kami pun tidak mencukupi,” ujarnya.
Keluarga mangsa pula berusaha menggali sendiri runtuhan menggunakan tangan atau alatan rumah.
Dalam banyak kes, mereka menandakan sisa bangunan dengan nama keluarga serta bilangan mangsa yang masih tertimbus, dengan harapan suatu hari nanti mayat mereka akan ditemukan.
“Apabila satu mayat ditemui, ia sering sukar dikenali. Keluarga mengenal pasti melalui cincin, jam tangan, atau pakaian yang masih tersisa,” tambah Encik Bassal.
Sejak awal perang, pihak berkuasa Palestin dan kumpulan kemanusiaan telah berkali-kali meminta Israel membenarkan kemasukan jentera berat bagi membersihkan runtuhan, namun ditolak atas alasan “risiko keselamatan” dan kemungkinan jentera itu “disalah guna untuk tujuan ketenteraan”.
“Membawa masuk jentera bukanlah kemewahan, tetapi keperluan kemanusiaan. Setiap hari, keluarga menunggu di tepi runtuhan dengan harapan dapat mengeluarkan jenazah anak mereka,” tegas Encik Bassal.
Antara mereka ialah Encik Youssef Abu Nasser, penduduk kem pelarian al-Nuseirat.
Tujuh bulan lalu, rumahnya musnah dalam serangan udara Israel yang mengorbankan isteri serta tiga anak.
“Setiap pagi saya datang ke sini, menggali dengan tangan. Kadang-kadang saya berhenti apabila runtuhan jatuh lagi. Keluarga saya masih di bawah sini,” katanya pilu.
Di Deir al-Balah, Cik Sara Saleh pula sudah menunggu lebih 18 bulan di lokasi rumah abangnya.
“Apabila rumah dibom, 65 ahli keluarga saya terbunuh. Kami hanya berjaya keluarkan tujuh mayat. Selebihnya masih di bawah runtuhan,” katanya.
“Mereka sepatutnya bantu kami mencari anak-anak kami, bukan menghantar jentolak untuk mencari mereka yang pernah mengebom kami,” ujarnya.
Penganalisis politik Gaza, Encik Ahed Ferwana, menyifatkan keadaan itu sebagai “pilih kasih berganda yang menjijikkan” dalam menangani krisis kemanusiaan.
“Apabila tahanan Israel hilang, dunia segera bertindak, media digerak, laluan selamat dibuka.
“Tetapi apabila 10,000 rakyat Palestin hilang di bawah runtuhan, dunia diam seolah-olah nyawa mereka tiada nilai.
“Ini bukan sekadar hipokrasi, ini bentuk perkauman berstruktur dalam sistem politik sejagat,” tambahnya.
Penganalisis dari Ramallah, Encik Esmat Mansour, menjelaskan bahawa perjanjian gencatan senjata mewajibkan kedua-dua pihak menyerahkan semua mayat dan orang hilang sebelum peringkat seterusnya termasuk rancangan pembinaan semula Gaza dan pertukaran tahanan lebih luas.
“Fasa semasa tidak akan selesai selagi semua mayat belum dikembalikan. Ini langkah wajib sebelum bergerak ke isu lain,” katanya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg