Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sampah menggunung dan krisis air: Gaza berdepan bencana kesihatan, alam sekitar

Ketiadaan jentera laksana khidmat asas, kurang air bersih, kumbahan bocor tidak terkawal
Oct 28, 2025 | 11:23 AM
Sampah, krisis air, Gaza, risiko bencana kesihatan, alam sekitar
Pemandangan dari dron menunjukkan kemusnahan di sebuah kawasan perumahan selepas pengunduran tentera Israel dari kawasan tersebut ketika gencatan senjata antara Israel dengan Hamas di Bandar Gaza berkuat kuasa. - Foto REUTERS

GAZA: Bandar Gaza kini berdepan malapetaka alam sekitar dan kesihatan yang semakin meruncing apabila lebih 250,000 tan sisa pepejal dilaporkan terkumpul di serata bandar tersebut.

Keadaan itu berlaku dalam keadaan kekurangan air bersih yang parah serta kebocoran kumbahan yang tidak dapat dikawal, kata pihak berkuasa perbandaran pada 27 Oktober.

Jurucakap Perbandaran, Encik Asim al-Nabih, menegaskan bahawa krisis itu kian memburuk susulan kemusnahan besar akibat pengeboman Israel serta ketiadaan jentera untuk melaksanakan perkhidmatan asas.

“Bandar Gaza sedang berdepan beberapa bencana kesihatan dan alam sekitar yang mengancam nyawa penduduk,” katanya dalam satu kenyataan berakam.

Menurut beliau, timbunan sisa melebihi suku juta tan itu berlaku pada masa rakyat juga mengalami krisis air paling teruk sejak peperangan meletus.

Beliau menegaskan bahawa keadaan itu merupakan “bencana kesihatan dan alam sekitar yang amat dahsyat” kerana ia mengundang pembiakan tikus, serangga serta penyakit yang mudah merebak dalam persekitaran tidak bersih.

Menurut Encik Asim, pihak perbandaran tidak mempunyai keupayaan untuk menyelesaikan masalah itu kerana lebih 85 peratus jentera berat dan sederhana milik bandar telah dimusnahkan oleh tentera Israel.

Tiada peralatan gantian dapat diperoleh memandangkan sekatan berterusan.

Beliau turut mendedahkan bahawa tentera Israel menghalang petugas perbandaran daripada memasuki tapak pelupusan utama di Juhor al-Dik, tenggara Bandar Gaza.

Kawasan itu terletak di sebelah timur ‘garisan kuning’ – garis pemisah tidak rasmi antara kawasan yang masih diduduki tentera Israel dengan kawasan yang ditinggalkan berdasarkan perjanjian gencatan senjata pada 10 Oktober.

Selain masalah sisa pepejal, isu kebocoran kumbahan mentah juga dilaporkan semakin serius apabila rangkaian saliran najis yang rosak musnah sepanjang lebih 700,000 meter akibat serangan.

Keadaan itu menyebabkan banyak jalan di Bandar Gaza ditenggelami sisa kumbahan, menambah risiko jangkitan penyakit berbahaya terutama ke atas kanak-kanak dan warga emas.

Encik Asim memberi amaran tanpa bantuan segera, rakyat Gaza bakal berdepan wabak penyakit dan kematian dalam skala lebih besar.

“Tanpa sumber-sumber ini, krisis akan berterusan dan penduduk akan berdepan risiko kematian akibat penyakit dan epidemik,” tegasnya.

Pihak berkuasa tempatan menganggarkan 90 peratus prasarana bandar telah rosak, dengan kerugian awal sekitar AS$70 bilion ($90.7 bilion).

Keadaan itu menjadikan usaha pemulihan hampir mustahil tanpa campur tangan antarabangsa.

Sejak Oktober 2023, perang yang dsifatkan oleh pihak Palestin sebagai “genosid Israel” telah menyebabkan lebih 68,500 nyawa terkorban dan 170,300 cedera, kata Kementerian Kesihatan Gaza.

Majoriti mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.

Dalam keadaan prasarana asas hampir lumpuh, sisa peperangan seperti peluru yang tidak meletup masih bertaburan, serta ketiadaan bekalan air bersih dan sanitasi, penduduk Gaza tetap terus bergerak ke utara dalam jumlah besar dalam usaha mendapatkan kawasan yang dianggap lebih selamat.

Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Stephane Dujarric, berkata: “Sejak gencatan senjata, lebih 470,000 pergerakan penduduk ke arah utara telah direkodkan.”

Beliau menegaskan lagi Gaza masih terdesak memerlukan air, makanan dan perkhidmatan asas, meskipun bantuan kemanusiaan tetap masuk secara berperingkat.

Menurutnya, 300 lori bantuan berjaya dilepaskan ke dalam Gaza dalam tempoh dua hari, membawa tepung gandum, makanan dalam tin, beras dan bekalan makanan panas.

Beliau turut menyatakan usaha mengurangkan risiko peluru tidak meletup diteruskan, dengan hampir 3,200 penduduk diberikan perlindungan dan maklumat keselamatan dalam operasi yang dijalankan pada 25 dan 26 Oktober.

Dalam pada itu, keadaan di Tebing Barat yang diduduki juga semakin membimbangkan.

Encik Dujarric menegaskan bahawa keganasan pelampau penempatan haram Israel telah menjejas musim menuai zaitun, sumber rezeki utama bagi banyak keluarga Palestin.

Beliau berkata lebih 85 serangan direkodkan terhadap petani Palestin dan tanah mereka, mengakibatkan lebih 110 kecederaan dengan lebih 3,000 pokok dan anak pokok zaitun dirosakkan merentasi 50 kampung.

Sejak perang di Gaza bermula, pelampau penempatan haram dilaporkan melakukan lebih 7,000 serangan terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka.

Ini termasuk 158 serangan khusus menyasarkan pemetik zaitun bagi Oktober sahaja.

Pada 22 Oktober lalu, Knesset, Parlimen Israel, meluluskan bacaan pertama rang undang-undang untuk menguasai Tebing Barat sepenuhnya.

Jika dilaksanakan, langkah itu bakal menghapuskan sama sekali harapan penyelesaian dua negara.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam keputusan bersejarah pada Julai lalu telah mengisytiharkan pendudukan Israel sebagai tidak sah serta menggesa pengosongan semua penempatan haram di Tebing Barat dan Timur Baitulmakdis. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg