Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 10km laluan berbasikal siap di Toa Payoh

Rangkaian berbasikal di sekitar S’pura akan menjangkau sekitar 1,300km jelang 2030
Oct 18, 2025 | 3:02 PM
laluan, Toa Payoh, berjalan
Laluan berbasikal sekitar 10.8 kilometer, meningkatkan ketersambungan bukan sahaja ke stesen MRT di sekitar Toa Payoh, seperti Braddell dan Caldecott, malah juga ke bandar-bandar berdekatan. - Foto LTA

Penduduk di Toa Payoh kini boleh melakukan perjalanan melangkaui estet perumahan mereka dengan lebih mudah, selamat dan mampan dengan siapnya laluan untuk berbasikal sepanjang lebih 10 kilometer (km).

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan pada 18 Oktober berkata laluan berbasikal itu, yang menjangkau sekitar 10.8 km, meningkatkan ketersambungan bukan sahaja ke stesen MRT di sekitar Toa Payoh, seperti Braddell dan Caldecott, tetapi juga ke bandar berdekatan.

Menurut The Straits Times, contoh yang diberikan ialah bagaimana penduduk Toa Payoh kini boleh berbasikal ke Taman Bishan-Ang Mo Kio dalam masa kurang daripada 15 minit.

Dari situ, mereka boleh terus berbasikal dengan menyusuri Sungai Kallang sehingga sampai ke Marina Bay.

“Laluan berbasikal baru ini akan menyokong gaya hidup yang lebih aktif dan pilihan mobiliti tanpa kereta dengan memudahkan penduduk berjalan atau berbasikal untuk aktiviti harian mereka atau sekadar menikmati laluan indah melalui kawasan kejiranan mereka, menyumbang kepada kesejahteraan peribadi dan Singapura yang lebih mampan,” kata LTA.

Beberapa laluan sebenarnya dihasilkan dengan mengubah 2.8 km longkang terbuka, yang telah ditutup dan dibina semula menjadi laluan bawah tanah, untuk memberi lebih banyak ruang kepada pejalan kaki dan penunggang basikal untuk berkongsi sama kemudahan itu.

Perubahan lain yang dibuat termasuk pengenalan laluan memintas jalan yang baru di lebih 15 perhentian bas, serta lintasan pejalan kaki yang lebih luas di lebih lapan persimpangan trafik.

Tambahan 64 rak meletak basikal juga dipasang di stesen MRT Braddell - satu langkah yang dikatakan LTA akan “menyokong perjalanan batu pertama dan terakhir”.

Menjelang 2030, rangkaian berbasikal di sekitar Singapura akan menjangkau sekitar 1,300km.

Ini bermakna lapan daripada 10 penduduk estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan berada dalam beberapa minit daripada laluan berbasikal terdekat mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg