Care Corner Singapura merancang untuk membuka enam pusat satelit baru di Toa Payoh dalam tempoh dua tahun akan datang supaya penduduk tidak perlu berjalan terlalu jauh untuk mendapatkan perkhidmatan seperti program senaman dan acara makan bersama.
Peluasan khidmat itu akan menyokong daya usaha kebangsaan baru yang bertujuan membantu warga emas meniti usia dengan penuh bermakna dalam masyarakat.
Warga emas di Toa Payoh akan menjadi antara yang pertama meraih manfaat daripada daya usaha Kejiranan Sihat Menua, yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di Rapat Hari Kebangsaan pada 17 Ogos, lapor The Straits Times (ST).
Care Corner, yang menyediakan perkhidmatan sosial dan kesihatan, kini mengendalikan tujuh Pusat Penuaan Aktif (AAC) di Toa Payoh dan dua di Woodlands.
Ketua Kumpulan Penuaan Aktif Care Corner, Cik Sharon Tang, berkata dengan lebih banyak pusat yang dibina, mereka akan lebih dekat dengan warga emas.
“Kami menerima maklum balas daripada warga emas mengenai mengapa mereka enggan keluar rumah atau menghadiri janji temu perubatan. Jadi kami faham kebimbangan ini,” kata Cik Tang.
Kejiranan Sihat Menua mengambil inspirasi dari Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA) yang dibina pemerintah untuk membantu warga emas dengan penjagaan jangka panjang.
Kakitangan penjagaan akan menyelaraskan perkhidmatan, melawat warga emas secara berkala, dan bertindak dalam kecemasan.
Inisiatif itu memudahkan akses kepada penjagaan kesihatan, memberikan warga emas pengalaman seperti tinggal di kampung persaraan tanpa perlu berpindah ke tempat terpencil.
Menurut Encik Wong, tapak baru AAC di Toa Payoh sedang dikenal pasti, supaya warga emas tidak perlu berjalan lebih dari 1 kilometer.
Kini, terdapat 13 AAC di Toa Payoh, berbanding enam pusat pada 2021.
Hampir satu perempat daripada penduduk Toa Payoh berumur 65 tahun dan ke atas.
Cik Teng Yeng Gee, 94 tahun, yang telah menjadi penduduk Toa Payoh selama lebih 20 tahun, akan meraih manfaat daripada inisiatif itu.
Anaknya, Cik Jessie Lim, 59 tahun, berkata ibunya, yang tinggal dengan pembantu, menjalani pemeriksaan berkala di Poliklinik Toa Payoh.
“Pembantu saya akan membawa ibu saya untuk bersenam di AAC Thye Hua Kwan beberapa kali seminggu.
“Selagi ibu saya bahagia, kami juga gembira,” kata Cik Lim.
Pengerusi Thye Hua Kwan Moral Charities, Profesor Alex Siow, yang mengendalikan AAC Toa Payoh yang dikunjungi Cik Teng, berkata Kejiranan Sihat Menua selaras dengan pendekatan mereka.
Daya usaha itu bertujuan menyediakan warga emas dengan persekitaran sokongan dan peluang untuk menjalin hubungan sosial yang kukuh.
Setiap kawasan kejiranan mempunyai ciri, demografi, dan keperluan berbeza.
Maka kejayaan inisiatif itu terletak pada penyediaan huraian fleksibel dan sesuai mengikut keperluan setiap kawasan, kata Profesor Siow.
Ini kerana apa yang berkesan di satu kawasan mungkin tidak sesuai untuk kawasan lain dengan kumpulan penduduk yang berbeza, tambahnya.
Pakar kesihatan awam, Dr Jeremy Lim, menyifatkan inisiatif Kejiranan Sihat Menua sebagai sangat praktikal dilaksanakan kerana Singapura mempunyai pembangunan padat, memudahkan akses kepada pelbagai perkhidmatan.
Namun, memandangkan kos tenaga kerja yang tinggi, adalah penting untuk menyediakan model penjagaan baru melalui penggunaan teknologi yang lebih besar, ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg