Lebih 14,000 flat merentasi 14 projek di Tengah telah pun siap dibina setakat ini, dengan lebih 12,000 isi rumah sudah mengambil kunci mereka, kata Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dalam kemas kini pada 6 Disember.
Jumlah tersebut adalah hampir separuh daripada kira-kira 30,000 flat yang dirancang untuk Tengah, tambahnya.
Kemas kini tersebut dikeluarkan menyusul kenyataan Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, pada Julai bahawa hampir separuh daripada 30,000 flat yang dirancang di Tengah akan siap menjelang akhir 2025, menurut The Straits Times.
Dalam kemas kini tersebut, HDB juga mengumumkan bahawa pusat kejiranan Parc Point akan dibuka pada suku pertama 2026.
Pusat kejiranan ini – yang kedua di Tengah selepas Plantation Plaza, yang dilancarkan pada Jun 2024 – akan memberi penduduk akses lebih luas kepada kemudahan, dengan pasar raya FairPrice dan medan selera Gourmet Paradise sebagai kedai pertamanya.
Terletak di antara Tengah Park Avenue dengan Tengah Drive di Park District, Parc Point terletak di sebelah Parc Residences @ Tengah, projek Bina-Ikut-Tempahan (BTO) yang terdiri daripada 12 blok kediaman dengan 1,044 unit.
Pusat kejiranan seluas 16,000 meter persegi ini akan menempatkan sebuah poliklinik baru, serta lebih 40 kedai runcit dan tempat makan.
Sebuah laluan runcit terlindung sepanjang 190 meter akan bermula dari Parc Point ke tingkat bawah tiga blok bersebelahan, yang akan mempunyai pusat pendidikan dan Pusat Rangkaian Penduduk, serta pelbagai kedai.
Sejak berpindah masuk, penduduk Tengah telah mengadu tentang kekurangan kemudahan dan pilihan pengangkutan, selain isu-isu berkaitan sistem penyejukan berpusat di bandar tersebut.
HDB menyatakan bahawa antara ciri-ciri di Parc Point dan Parc Residences @ Tengah ialah laluan kesihatan yang menghubungkan pusat kejiranan, blok kediaman dan tempat meletak kereta bertingkat untuk menggalak penduduk mengamalkan gaya hidup yang lebih aktif.
Ini termasuk rangkaian tangga di sepanjang eskalator utama, yang direka untuk menggalakkan mereka agar terus aktif dan menaiki tangga. Tangga tersebut menuju ke taman atas bumbung dan ruang komuniti yang berlandskap.
Sebahagian daripada laluan kesihatan juga merupakan laluan bertingkat yang menghubungkan taman atas bumbung Parc Point dengan rangkaian teres di tingkat lapan blok kediaman Parc Residences @ Tengah, tambah HDB.
Penduduk boleh menikmati pemandangan panorama estet dan kehijauannya, dan menggunakan stesen kecergasan di teres ini.
Sementara itu, empat laluan bertingkat menghubungkan ke tempat pakir bertingkat di Parc Residences @ Tengah, yang mempunyai taman atas bumbung dengan taman permainan bertema, stesen kecergasan dan trek larian getah sepanjang 225 meter.
Taman ini serupa dengan taman atas bumbung pembangunan BTO yang telah siap berdekatan – Parc Glen @ Tengah dan Parc Clover @ Tengah.
Menurut HDB, enam projek BTO di Park District – satu daripada lima daerah yang dirancang di Tengah – telah dilancarkan setakat ini.
Lima daripada projek daerah itu – iaitu Parc Glen @ Tengah, Parc Clover @ Tengah, Parc Woods @ Tengah, Parc Flora @ Tengah dan Parc Residences @ Tengah – terdiri daripada kira-kira 4,500 unit, telah disiapkan.
Lebih banyak kemudahan dan infrastruktur akan diperkenalkan apabila pembangunan Tengah berkembang, tambah HDB lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg