Hampir 12,000 unit flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Tengah telah siap dibina, merangkumi sekitar 40 peratus daripada 30,000 unit yang telah dilancarkan setakat ini di bandar baru tersebut.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, memberi kemas kini tersebut pada 26 Julai semasa acara Hari Masyarakat HDB, sambil menambah bahawa hampir separuh daripada 30,000 unit yang dirancang di Tengah dijangka siap menjelang akhir 2025.
Berucap di Kelab Masyarakat Tengah, Encik Chee berkata perancangan bandar baru itu memberi peluang kepada penduduk untuk berkongsi idea bagi estet perumahan tersebut sebelum mereka berpindah ke sana.
“Kami akan terus bekerjasama dengan penasihat akar umbi dan pemimpin masyarakat untuk mendengar pandangan dan maklum balas anda sambil kita membangunkan bandar ini.
“Berdasarkan pengalaman positif (daripada inisiatif) ini, pendekatan yang sama juga akan kami gunakan untuk estet baru lain pada masa akan datang,” katanya.
Sebagai contoh, sejak 2019, lebih 6,500 pembeli rumah di Tengah dari 22 kawasan perumahan telah memberikan maklum balas mereka melalui tinjauan ‘Tengah Sensing’ anjuran HDB.
Lebih 13,000 penduduk Tengah juga berkongsi pandangan dan membantu membentuk rancangan HDB bagi bandar baru itu, jelas Encik Chee.
“Contohnya, laluan berbumbung dan laluan berbasikal yang dirancang di Tengah mendapat sambutan baik daripada ramai penduduk, yang menekankan kepentingan prasarana yang terhubung.
“Ciri-ciri ini telah disepadukan dalam reka bentuk laluan pengangkutan di Tengah, supaya penduduk dapat berjalan kaki dan berbasikal dengan selamat di serata kawasan bandar itu,” ujar menteri berkenaan.
Mengambil maklum maklum balas penduduk tentang keperluan akses lebih mudah kepada kemudahan awam, Encik Chee berkata beberapa kemudahan utama telah dibangunkan, dan lebih banyak sekolah, tempat ibadah serta kemudahan penjagaan kesihatan akan dibina.
Menurut Encik Chee, menjelang akhir 2026, sebanyak lapan perkhidmatan bas baru akan diperkenalkan di Tengah dan Brickland sambil menambah bahawa dua daripadanya akan mula beroperasi menjelang akhir 2025.
Salah satunya ialah perkhidmatan bas 872, yang akan menghubungkan penduduk ke Laluan Timur-Barat (EWL) di stesen MRT Chinese Garden mulai Ogos 2025, lapor The Straits Times (ST).
Walaupun prasarana yang baik adalah penting, Encik Chee menekankan bahawa nilai sesebuah bandar bukan terletak hanya pada bangunan atau kemudahannya semata.
“Bandar Tengah ini ‘hidup’ disebabkan penduduknya – oleh mereka yang tinggal di sini, yang menggunakan kemudahan ini, dan yang menganggap Tengah sebagai rumah mereka.”
Salah seorang penduduk Tengah itu ialah Phoebe Tan, 16 tahun, yang menerima anugerah ‘Friends of Our Heartlands’ pada 26 Julai atas sumbangannya kepada pembangunan bandar baru itu.
Dia merupakan sebahagian daripada pasukan sukarelawan yang melancarkan program School’s Out, Fun’s In@Tengah pada November 2024, yang mengubah kolong blok di Tengah menjadi stesen permainan dengan aktiviti seperti teng-teng.
Tan, yang tinggal di Tengah bersama ibu bapa dan dua adik-beradiknya, berkata:
“Kami mengatur program ini supaya setiap kolong blok ada satu jenis permainan, supaya penduduk boleh kenal kawasan-kawasan berbeza di Tengah sambil bermain.”
“Saya rasa tiada siapa yang terlalu muda untuk memulakan sesuatu yang mereka minat. Bagi saya, saya mahu menjadi seorang yang penyayang dan menyumbang sesuatu kepada masyarakat ini,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg