Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 15,000 banduan Indonesia diberi pengampunan sempena Krismas

Dec 26, 2024 | 10:16 AM
Pegawai polis bersama anjing pengesan memeriksa Katedral Jakarta menjelang misa Krismas di Jakarta, Indonesia, pada 24 Disember.
Pegawai polis bersama anjing pengesan memeriksa Katedral Jakarta menjelang misa Krismas di Jakarta, Indonesia, pada 24 Disember. - Foto REUTERS

JAKARTA: Kementerian Imigresen dan Pemulihan telah memberikan pengampunan khas sempena Krismas 2024 kepada 15,807 banduan di seluruh Indonesia.

Menterinya, Encik Agus Andrianto, menyatakan bahawa daripada jumlah tersebut, 15,691 banduan menerima pengurangan hukuman, manakala 116 lagi dibebaskan serta-merta.

Selain itu, pemerintah turut memberikan pengampunan kepada kanak-kanak, dengan 166 kanak-kanak menerima pengurangan hukuman dan tiga dibebaskan serta-merta.

Encik Agus menjelaskan bahawa pengampunan itu diberikan sebagai ganjaran kepada banduan dan kanak-kanak yang berkelakuan baik, mematuhi peraturan, aktif dalam program pemulihan dan menunjukkan penurunan tahap risiko.

“Sistem pemulihan melihat hukuman bukan sekadar pembalasan, tetapi mengutamakan pemulihan, membantu banduan insaf dan menyedari kesilapan mereka,” katanya.

Sumatera Utara mencatat jumlah tertinggi dengan 3,196 banduan menerima pengampunan khas Krismas, diikuti Nusa Tenggara Timur dan Papua dengan masing-masing 1,894 dan 1,447 banduan.

Sumatera Utara dan Papua Barat masing-masing melaporkan 23 pesalah juvana menerima pengampunan, jumlah tertinggi antara semua wilayah.

Pengampunan itu diberikan selaras dengan pelbagai peraturan, termasuk Undang-Undang Nombor 22 Tahun 2022 mengenai Pemulihan, Peraturan Pemerintah Nombor 32 Tahun 1999 dan pindaan-pindaannya, serta Keputusan Presiden Nombor 174 Tahun 1999 mengenai Pengampunan.

Menteri mengucapkan tahniah kepada banduan dan kanak-kanak tersebut yang menyambut Krismas dan menerima pengampunan, serta menggalakkan mereka agar terus produktif dan memperbaiki diri.

Beliau turut memuji semua pegawai pemulihan atas sumbangan mereka dalam pemulihan banduan.

Sempena sambutan Krismas, Presiden Prabowo Subianto menyeru rakyat agar menghayati semangat damai, harmoni dan harapan untuk masa depan yang makmur.

“Semoga damai dan sukacita Krismas menerangi hati kita,” tulis Encik Prabowo dalam mesej yang dikongsi di akaun Instagramnya pada 25 Disember.

Mesej Krismas Encik Prabowo turut menekankan peri penting memperkukuh persaudaraan di tengah-tengah kepelbagaian bangsa.

Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Penyelaras Politik dan Ehwal Keselamatan, Encik Budi Gunawan, semasa lawatan ke Gereja GPIB Immanuel di Jakarta Pusat pada malam Krismas.

Sambutan Krismas di Gereja GPIB Immanuel turut dihadiri beberapa pegawai tinggi, termasuk Menteri Hal Ehwal Agama, Encik Nasaruddin Umar; Ketua Polis Negara Jeneral Listyo Sigit Prabowo; Panglima Tentera Nasional Indonesia Jeneral Agus Subianto, dan Pemangku Gabenor Jakarta Teguh Setyabudi.

Encik Nasaruddin menekankan kepentingan rumah ibadat dalam membentuk masyarakat yang beriman dan harmoni.

“Komuniti tanpa rumah ibadat terasa tandus. Struktur keagamaan, sama ada gereja, masjid, atau kuil, segera mengingatkan kita akan kehadiran Tuhan,” kata Encik Nasaruddin.

Beliau turut mengesyorkan agar Indonesia menjadi sebagai “kota agama,” di mana setiap kawasan metropolitan dihiasi dengan ruangan suci di samping bangunan pencakar langitnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg