Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Terowong Silaturahim hubung Masjid Istiqlal, Katedral Jakarta simbol perpaduan

Dec 13, 2024 | 10:04 AM
Presiden Prabowo Subianto merasmikan Terowong Silaturahim di halaman Masjid Istiqlal.
Presiden Prabowo Subianto merasmikan Terowong Silaturahim di halaman Masjid Istiqlal. - Foto SETKRETARIAT PRESIDEN

JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, telah merasmikan Terowong Silaturahim, sebuah projek ikonik yang menghubungkan Masjid Istiqlal dan Katedral Jakarta di Jakarta Pusat.

Terowong sepanjang 34 meter itu dianggap sebagai lambang perpaduan dan toleransi antara masyarakat pelbagai agama di Indonesia.

“Hari ini, saya sangat gembira dapat menyaksikan perasmian Terowong Silaturahim ini, yang menjadi simbol penting perpaduan bangsa kita.

“Terowong ini menunjukkan bahawa perbezaan tidak pernah menjadi penghalang untuk kita bersatu,” kata Presiden Prabowo dalam ucapannya di halaman Masjid Istiqlal pada 12 Disember.

Beliau turut menegaskan bahawa projek itu mencerminkan semangat Indonesia sebagai sebuah negara majmuk yang kukuh meskipun berbeza agama, budaya dan etnik.

“Perbezaan adalah kekuatan kita. Ia tidak seharusnya menjadi pemisah tetapi sebaliknya menjadi kekayaan yang menyatukan kita,” tambah beliau.

Terowong Silaturahim dibina dengan kos 39 bilion rupiah ($3.2 juta) antara 2020 dengan 2021, atas arahan presiden ketujuh Indonesia, Encik Joko Widodo.

Menurut Menteri Agama, Encik Nasaruddin Umar, pembinaan terowong itu bertujuan mempermudah akses antara Masjid Istiqlal dengan Katedral Jakarta serta menyediakan ruang letak kenderaan bersama dengan kapasiti hingga 1,000 kenderaan.

“Kami berharap Terowong Silaturahim ini bukan sahaja memudahkan mobiliti jemaah bahkan juga menjadi simbol toleransi antara umat beragama,” ujar Encik Nasaruddin.

Beliau turut menjelaskan bahawa dalam terowong itu terdapat galeri seni yang menggambarkan sejarah hubungan harmoni antara masyarakat pelbagai agama di Indonesia.

“Seni dengan tema ‘Jambatan Hati’ melambangkan persahabatan dan keharmonian. Selain itu, bunyi-bunyian khas pelbagai agama turut diperdengarkan sebagai simbol kesatuan,” tambah Encik Nasaruddin.

Reka bentuk terowong itu juga mesra pengguna, termasuk bagi golongan kurang upaya.

Selain itu, landskap sekitar terowong itu melibatkan kawasan rehat yang dikenali sebagai ‘shelter’ di kedua-dua sisi Masjid Istiqlal dan Katedral Jakarta.

Encik Nasaruddin turut menekankan nilai falsafah projek itu:

“Terowong Silaturahim ini adalah peringatan penting bahawa toleransi adalah asas perpaduan. Ia mengingatkan kita tentang keperluan untuk terus menjaga hubungan baik antara agama demi kemajuan bersama.”

Majlis perasmian itu turut dihadiri oleh para menteri Kabinet Merah Putih, tokoh nasional, serta wakil agama lain, seperti Kristian, Hindu, dan Konghucu.

Acara itu disambut baik sebagai langkah simbolik yang memperkukuh perpaduan nasional, terutama menjelang sambutan Krismas. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg