Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 170 ditahan susulan serangan ke atas KFC di Pakistan

Apr 18, 2025 | 5:51 PM
Seorang pekerja membersihkan lantai di luar cawangan KFC selepas diserang penunjuk perasaan di Pakistan pada 17 April. Serangan dipercayai akibat  sentimen anti-Amerika dan bantahan terhadap perang di Gaza.
Seorang pekerja membersihkan lantai di luar cawangan KFC selepas diserang penunjuk perasaan di Pakistan pada 17 April. Serangan dipercayai akibat sentimen anti-Amerika dan bantahan terhadap perang di Gaza. - Foto REUTERS

KARACHI/LAHORE: Polis di Pakistan telah memberkas lebih 170 orang sejak beberapa minggu kebelakangan ini, selepas lebih 10 serangan ke atas cawangan KFC yang tercetus akibat sentimen anti-Amerika dan bantahan terhadap perang di Gaza.

Polis di bandar utama negara Islam itu, termasuk bandar pelabuhan selatan Karachi, bandar timur Lahore dan ibu kota Islamabad, mengesahkan sekurang-kurangnya 11 kejadian restoran makanan segera, KFC diserang penunjuk perasaan bersenjatakan kayu.

Sekurang-kurangnya 178 orang telah ditangkap.

KFC dan ibu syarikatnya, Yum Brands, kededuanya berpangkalan di Amerika tidak memberikan respons semasa diminta memberikan komen.

Seorang pegawai polis yang enggan memperkenalkan dirinya berkata seorang pekerja KFC dilaporkan telah ditembak dan dibunuh oleh mereka yang tidak dikenali, di sebuah cawangan di luar bandar Lahore.

Polis menambah tiada bantahan setakat ini dan mereka sedang menyiasat sekiranya pembunuhan berpunca daripada sentimen politik atau sebab lain.

Polis kini meningkatkan keselamatan di 27 cawangan KFC serata Lahore untuk menyiasat serangan yang berlaku.

““Kami sedang menyiasat peranan individu dan kumpulan yang terlibat dalam serangan ini,” kata pegawai kanan polis Lahore, Encik Faisal Kamran, sambil menambah bahawa 11 orang, termasuk ahli parti agama Islam Tehreek-e-Labbaik Pakistan (TLP), telah ditangkap di bandar itu.

Beliau menambah bantahan itu tidak dianjurkan secara rasmi oleh parti TLP.

Parti TLP menafikan terlibat dalam penganjuran bantahan, walaupun beberapa anggota parti itu ditangkap.

Parti TLP hanya menyeru untuk memboikot produk Israel, tetapi tidak meminta bantahan di luar KFC.

“Jika ada individu yang mendakwa diri mereka sebagai pemimpin atau aktivis parti TLP yang terlibat dalam aktiviti seperti itu, ia adalah tindakan peribadi yang tiada kaitan dengan dasar parti,” kata uurucakap parti TLP, Encik Rehan Mohsin Khan.

KFC telah lama dianggap simbol Amerika di Pakistan dan menjadi sasaran sentimen anti-Amerika.

Jenama Barat juga terkesan dengan boikot dan bantahan di Pakistan serta negara-negara majoriti Islam akibat serangan Israel di Gaza.

Serangan ini bermula menyusuli serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang membunuh 1,200 orang di Israel. Sejak itu, lebih 51,000 rakyat Palestin terbunuh.

Yum Brands, pemilik Pizza Hut, turut terkesan dengan boikot ini. Di Pakistan, jenama tempatan semakin mendapat tempat di pasaran minuman ringan kerana sesetengah pengguna mengelak jenama Amerika. 

Pada 2023, bahagian pasaran Coca-Cola di Pakistan jatuh kepada 5.7 peratus berbanding 6.3 peratus pada 2022, menurut GlobalData. PepsiCo pula jatuh kepada 10.4 peratus berbanding 10.8 peratus.

Pada awal April, ulama di Pakistan menggesa boikot terhadap sebarang produk atau jenama yang mereka katakan menyokong Israel atau ekonomi Amerika, tetapi meminta orang ramai untuk kekal aman dan tidak merosakkan harta benda. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg