Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 200 ditahan dalam protes rasuah projek banjir Filipina

Sep 22, 2025 | 3:05 PM
bantahan, banjir, Filipina
Anggota polis menahan seorang penunjuk perasaan ketika demonstrasi membantah apa yang mereka dakwa sebagai rasuah berkaitan projek kawalan banjir, di Manila pada 21 September 2025. - Foto REUTERS

MANILA: Polis Filipina menahan lebih 200 orang selepas pertembungan antara kumpulan penunjuk perasaan bertopeng dengan pasukan keselamatan mencemari demonstrasi aman yang bertujuan membantah skandal rasuah projek kawalan banjir bernilai berbilion dolar.

Menurut jurucakap polis, Mejar Hazel Asilo, seramai 216 individu ditahan, termasuk 88 remaja.

Malah, Datuk Bandar Manila, Encik Isko Moreno, mengesahkan seorang budak lelaki berusia 12 tahun merupakan tahanan termuda.

“Kami masih menyiasat sama ada mereka ini benar-benar penunjuk perasaan atau hanya pihak yang mahu mencetuskan huru-hara.

“Setakat ini, tiada seorang pun yang mengaku sebab sebenar mereka bertindak sedemikian atau jika ada yang membayar mereka,” kata Mejar Asilo kepada agensi berita, AFP, pada 22 September.

Ribuan rakyat Filipina turun ke jalanan di seluruh negara pada 21 September dengan demonstrasi terbesar berlangsung di ibu kota Manila.

Dianggarkan 130,000 orang berkumpul di Taman Luneta dan Monumen Kuasa Rakyat EDSA – lokasi bersejarah yang pernah menyaksikan penggulingan mantan Presiden Ferdinand Marcos Sr. pada 1986 akibat rasuah dan pencabulan hak asasi manusia.

Sebahagian penunjuk perasaan, sekitar 80,000 orang di Taman Luneta, berarak ke arah Istana Presiden Malacanang, namun dihalang oleh polis yang menyekat laluan dengan trak besar.

“Ia benar-benar mengecewakan,” kata Encik Raymond Mendros, seorang peserta yang hadir bersama keluarga.

“Dengan jumlah wang yang diperuntukkan untuk projek ini, sepatutnya tiada lagi banjir, tetapi masih ada banjir! Kami datang untuk tunjukkan bahawa kami marah dengan pencuri.”

Bantahan yang pada awalnya aman bertukar ganas apabila sekumpulan penunjuk perasaan muda bertopeng mula membaling batu ke arah polis dan membakar tayar sambil melaungkan slogan, “Untuk negara!”.

Kekecohan itu menyebabkan beberapa kenderaan polis dibakar dan tingkap balai polis pecah.

Polis bertindak menggunakan meriam air serta siren kuat untuk mengawal keadaan.

Menurut polis, sekurang-kurangnya 93 pegawai cedera dalam pertembungan tersebut.

Jabatan Kesihatan Filipina pula melaporkan kira-kira 50 orang, termasuk wartawan, dibawa ke sebuah hospital di Manila bagi mendapatkan rawatan.

“Ramai yang marah, dan saya di sini bersama keluarga dan rakan-rakan mahu menunjukkan kami tidak lagi sanggup berdiam diri,” kata seorang penunjuk perasaan lain yang ditemui di Luneta.

Kemarahan rakyat berpunca daripada pendedahan mengenai projek kawalan banjir yang disifatkan sebagai “projek hantu”.

Projek bernilai berbilion peso itu sama ada tidak disiapkan, dilakukan secara sambil lewa, atau langsung tidak wujud.

Beberapa ahli Parlimen turut dikaitkan dengan skandal ini, dan ia sudah memaksa kedua-dua ketua dewan Kongres meletakkan jawatan sementara siasatan dijalankan.

Presiden Ferdinand Marcos Jr. menyorot isu itu sebagai tumpuan utama dalam ucapan negara pada Julai lalu, selepas Filipina dilanda siri banjir besar.

Menurut Kementerian Kewangan, kerugian ekonomi akibat rasuah dalam projek tersebut dianggarkan mencecah 118.5 bilion peso ($2.6 bilion) bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Namun, angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi sekitar AS$18 bilion, kata Greenpeace.

Kejadian itu tercetus ketika negara bersiap siaga menghadapi Taufan Super Ragasa, yang diramal membawa hujan lebat serta banjir besar ke wilayah utara.

Filipina, yang terletak di laluan taufan Pasifik, berdepan purata 20 ribut tropika setiap tahun menjadikan jutaan penduduknya sentiasa terdedah kepada ancaman bencana alam. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg