MANILA: Ribuan rakyat Filipina turun ke jalan raya di Manila oada 31 Januari, menuntut supaya Naib Presiden Sara Duterte dipecat melalui proses pemecatan.
Cik Sara kini berdepan tiga aduan pemecatan yang mendakwa salah laku serta penyalahgunaan dana pemerintah bernilai jutaan dolar. Sehingga kini Kongres masih belum membincangkan kes tersebut walaupun hanya tinggal beberapa hari sebelum ia ditangguhkan menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada Mei.
Walaupun berlaku desakan rakyat, Presiden Ferdinand Marcos sendiri meminta Kongres supaya tidak meneruskan pemecatan Cik Sara, dengan menyifatkan isu itu sebagai “badai dalam cawan teh” yang hanya akan mengalih perhatian daripada tanggungjawab utama badan perundangan.
“Dalam situasi sekarang, kita perlu fokus kepada isu yang lebih mendesak untuk negara, bukan hal politik yang boleh memecahbelahkan masyarakat,” kata Encik Marcos dalam satu sidang media.
Cik Sara, 46 tahun, yang mempunyai hubungan tegang dengan Encik Marcos tetapi kekal sebagai penggantinya mengikut perlembagaan sekiranya presiden tidak dapat menjalankan tugas, menafikan semua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
Protes yang berlangsung sejak pagi menyaksikan hampir 4,000 penunjuk perasaan, kebanyakannya berpakaian putih dan membawa plakad yang tertulis “Pecat! Pecat Sara sekarang!” di sepanjang salah satu jalan paling sibuk di Manila.
“Kami mahu keadilan! Kami mahu ketelusan!” teriak seorang penunjuk perasaan yang enggan dikenali.
Bagi mengawal keadaan, pihak berkuasa telah mengerahkan 7,400 anggota polis rusuhan ke lokasi demonstrasi bagi memastikan keadaan kekal aman dan terkawal.
Namun, jumlah peserta protes ini jauh lebih kecil berbanding perhimpunan besar-besaran yang dianjurkan oleh kumpulan konservatif yang menentang pemecatan Cik Sara pada 13 Januari lalu.
Ahli Dewan Perwakilan, Encik Percival Cendana, yang menyokong salah satu aduan pemecatan, turut menyertai protes dan mendesak rakan-rakannya di Kongres supaya bertindak segera sebelum tempoh persidangan berakhir.
“Setiap hari Kongres berdiam diri, ia seolah-olah merestui penyalahgunaan kuasa dan tindakan sewenang-wenangnya yang dilakukan oleh Duterte,” katanya kepada wartawan.
Mengikut undang-undang Filipina, pemecatan hanya boleh diteruskan jika mendapat sokongan sekurang-kurangnya sepertiga daripada ahli Dewan Perwakilan, dan seseorang pegawai yang dipecat hanya boleh disingkirkan secara rasmi jika mendapat dua pertiga sokongan dalam Senat.
“Rakyat Filipina sudah bersedia untuk mempertahankan kebenaran dan keadilan. Jangan kecewakan mereka,” tegas Encik Cendana. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg