BAITULMAQDIS: Lebih 20,000 pelajar Palestin terbunuh di Jaluran Gaza dan Tebing Barat yang diduduki sejak perang Gaza tercetus tiga tahun lalu, menurut laporan terbaru Kementerian Pendidikan Palestin yang memperincikan kesan konflik terhadap sektor pendidikan.

Kementerian itu berkata seramai 20,748 pelajar serta 1,058 kakitangan pendidikan dan pentadbiran terbunuh sepanjang tempoh berkenaan.

Angka itu merangkumi pelajar sekolah dan universiti serta tenaga pengajar dan kakitangan institusi pendidikan di Gaza dan Tebing Barat.

Dalam laporan statistik mengenai kesan tindakan Israel terhadap sektor pendidikan yang dikeluarkan pada 7 Oktober, kementerian itu turut melaporkan puluhan ribu pelajar, guru dan kakitangan pendidikan cedera, manakala ratusan lagi ditahan.

Sekolah, universiti dan kemudahan pendidikan turut mengalami kerosakan atau kemusnahan sepanjang konflik.

Gaza mencatatkan sebahagian besar korban dalam sektor pendidikan.

Menurut kementerian itu, seramai 19,189 pelajar sekolah dan 1,386 pelajar universiti terbunuh di wilayah berkenaan sejak perang bermula pada Oktober 2023.

Ini bermakna lebih 20,500 pelajar sekolah dan universiti dilaporkan terbunuh di Gaza sahaja.

Dalam tempoh sama, 28,586 pelajar sekolah dan 3,082 pelajar universiti cedera.

Kementerian itu berkata seramai 805 kakitangan pendidikan dan pentadbiran sekolah turut terbunuh, manakala 246 kakitangan universiti kehilangan nyawa.

Sebanyak 3,298 kakitangan sekolah dan 1,493 kakitangan universiti pula dilaporkan cedera.

Angka tersebut menunjukkan kesan besar perang terhadap sistem pendidikan Gaza, yang sudah berdepan gangguan berpanjangan akibat kemusnahan bangunan sekolah, perpindahan penduduk dan penggunaan sebahagian sekolah sebagai pusat perlindungan.

Institusi pendidikan Palestin turut menggantung atau menjadualkan semula kelas di seluruh Tebing Barat yang diduduki pada 7 Oktober, di tengah-tengah kebimbangan berlaku ketegangan dan keganasan sempena ulang tahun ketiga serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Langkah itu melibatkan sekolah pemerintah dan swasta serta universiti, dengan sebahagian institusi beralih kepada pembelajaran dalam talian bagi melindungi keselamatan pelajar.

Universiti Nasional An-Najah, sebuah institusi swasta di utara Tebing Barat, berkata semua kuliah pada Rabu akan dijalankan secara dalam talian berikutan keadaan semasa dan kebimbangan terhadap keselamatan pelajar.

Jabatan pendidikan di kebanyakan kawasan Tebing Barat pula memindahkan kelas yang dijadualkan pada 7 Oktober kepada 6 Oktober sebagai langkah berjaga-jaga.

Sekolah di bawah Penguasa Palestin ketika ini hanya beroperasi tiga hari seminggu akibat krisis kewangan yang dihadapinya.

Langkah keselamatan diperketat selepas Israel mengumumkan penutupan menyeluruh lintasan dengan Tebing Barat dan Gaza pada 5 dan 7 Oktober sempena ulang tahun serangan 7 Oktober.

Penyiar awam Israel, KAN, sebelum ini melaporkan Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, mengarahkan penutupan itu dengan pengecualian hanya diberikan bagi kes kemanusiaan dan perubatan tertentu yang mendapat kelulusan awal.

Ketegangan di Tebing Barat meningkat sejak perang Gaza bermula tiga tahun lalu, dengan serbuan tentera Israel, penangkapan, perobohan rumah dan keganasan peneroka semakin meningkat, menurut sumber Palestin.

Pada masa sama, Israel melancarkan serangan baru di Gaza pada 7 Oktober ketika negara itu memperingati ulang tahun ketiga serangan Hamas.

Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza berkata dua orang terbunuh dalam serangan Israel pada waktu malam.

Pertahanan Awam Gaza mengenal pasti seorang daripada mangsa sebagai Mohamed Tamous, seorang sukarelawan agensi penyelamat itu.

Bunyi letupan dari Gaza turut kedengaran di tapak festival muzik Nova di selatan Israel ketika keluarga mangsa berkumpul pada waktu subuh untuk memperingati lebih 300 orang yang terbunuh di situ tiga tahun lalu.

Wartawan AFP turut mendengar bunyi letupan dari Gaza ketika upacara peringatan berlangsung di Nova dan kibbutz Kfar Aza, di Israel walaupun perjanjian gencatan senjata secara rasmi telah berkuat kuasa sejak setahun lalu.

Di tapak Nova, ahli keluarga dan orang ramai berdiri dalam suasana hening di hadapan gambar mangsa serangan 7 Oktober.

Sebahagian menundukkan kepala untuk bertafakur, manakala seorang daripada mereka memainkan muzik tekno sebagai penghormatan kepada mereka yang terbunuh ketika menghadiri festival berkenaan.

Bekas Perdana Menteri Israel, Encik Naftali Bennett, turut menghadiri upacara itu.

Di kibbutz Kfar Aza, sebuah lagi kawasan yang mengalami serangan besar pada 7 Oktober 2023, orang ramai duduk dalam diam sambil menyaksikan bendera Israel dinaikkan.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengadakan upacara rasmi di Baitulmaqdis pada 5 Oktober, mengikut tarikh yang lebih hampir dengan ulang tahun tersebut dalam kalendar Yahudi.

Beliau berikrar tidak akan membenarkan Hamas kembali memerintah Gaza.

Serangan ubah Israel

Serangan 7 Oktober 2023 dianggap antara peristiwa paling buruk dalam sejarah Israel dan mencetuskan perubahan besar terhadap landskap keselamatan serta politik negara itu.

Pejuang Palestin menembusi sempadan Gaza sebelum menyerang beberapa komuniti dan pangkalan tentera di selatan Israel menggunakan senjata api, roket dan bom tangan.

Seramai 1,221 orang terbunuh dalam serangan itu, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Seramai 251 orang turut dibawa sebagai tebusan ke Gaza, termasuk 44 yang dilaporkan sudah meninggal dunia ketika diculik.

Tebusan terakhir yang masih hidup dibebaskan setahun lalu menerusi perjanjian gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat.

Namun, serangan Israel di Gaza tidak berhenti sepenuhnya.

Encik Katz berkata pada Selasa bahawa tentera Israel diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga tinggi selepas menerima maklumat risikan mengenai kemungkinan Hamas cuba melancarkan serangan terhadap tentera Israel di Gaza sempena ulang tahun itu.

Perang yang menyusuli serangan 7 Oktober menyebabkan hampir keseluruhan penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan sebahagian besar wilayah itu musnah.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 74,200 orang terbunuh dalam serangan Israel sejak perang bermula. Angka kementerian yang beroperasi di bawah pihak berkuasa Hamas itu turut digunakan oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ulang tahun kali ini turut berlangsung hanya beberapa minggu sebelum pilihan raya Israel pada 27 Oktober – pilihan raya pertama sejak serangan 2023.

Perang Gaza dan persoalan mengenai kegagalan keselamatan menjelang serangan 7 Oktober dijangka menjadi antara isu utama ketika Encik Netanyahu berdepan persaingan sengit untuk mengekalkan kuasa selepas tiga tahun konflik yang turut merebak ke Lebanon dan Iran. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti