MAKKAH: Arab Saudi telah menghalang lebih 269,000 orang tanpa permit haji daripada memasuki Makkah, kata pegawai ketika pihak berkuasa giat membanteras perjalanan haram ke bandar itu.
Saudi menyalahkan jemaah tanpa permit yang sah sebagai punca kesesakan jemaah di tanah suci.
Ia juga menyatakan ramai jemaah sedemikian yang meninggal dunia pada musim panas yang membakar khususnya pada musim haji 2024.
Bilangan pengusiran yang besar itu menyerlahkan skala jemaah yang tidak dibenarkan memasuki Makkah pada 2025.
Pada masa ini terdapat 1.4 juta umat Islam berhimpun di kota suci Makkah dengan lebih ramai dijangka tiba pada hari menjelang wuquf di Arafah.
Jemaah tanpa permit haji berdepan denda AS$5,000 ($6,400) dan hukuman lain, seperti pengusiran.
Peraturan permit haji itu juga dikenakan terhadap warga Arab Saudi sendiri dan mereka yang bermastautin di negara itu.
Dalam sidang akhbar di Makkah pada 1 Jun, pegawai mengesahkan mereka telah menghalang 269,678 individu tanpa permit haji yang sah.
Mengikut peraturan, hanya mereka yang mempunyai permit sahaja dibenarkan menunaikan haji, walaupun mereka tinggal di bandar itu sepanjang tahun.
Pegawai turut mengenakan hukuman ke atas lebih 23,000 penduduk Arab Saudi kerana melanggar peraturan haji dan membatalkan lesen 400 syarikat haji.
Leftenan Jeneral Mohammed Al-Omari, memberitahu media: “Jemaah haji berada di hadapan kami dan sesiapa yang ingkar akan berada di tangan kami.”
Ibadah haji adalah kewajipan sekali dalam seumur hidup bagi setiap Muslim yang mampu dari segi kewangan dan fizikal.
Tetapi ia telah dicemari sejak beberapa tahun kebelakangan ini susulan suhu tinggi melampau dan jemaah bersesak melakukan ibadah pada waktu puncak.
Dari segi sejarah, kematian bukan perkara luar biasa pada musim haji.
Selain disebabkan cuaca melampau, ia juga telah menyaksikan rempuhan maut dan kemalangan lain.
Pertahanan Awam Arab Saudi berkata pihaknya kini menggunakan dron buat kali pertama bagi tugas pengawasan dan pemantauan pergerakan jemaah dan memadam kebakaran. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg