Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

264 guna visa haji tidak sah dihalang berlepas dari Indonesia

May 23, 2025 | 10:41 AM
haji, imigresen
Jemaah haji melalui pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang  Antarabangsa Soekarno-Hatta sebelum berlepas ke Jeddah. - Foto KEMENTERIAN IMIGRASI DAN PEMASYARAKATAN Indonesia

JAKARTA: Seramai 264 individu yang cuba menunaikan ibadah haji telah dihalang daripada berlepas ke tanah suci oleh pihak Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta kerana menggunakan visa yang tidak sah.

Mereka dikesan menggunakan visa kerja atau kebajikan, bukannya visa haji rasmi yang diwajibkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Menurut Ketua Bahagian Pemeriksaan Imigresen, Encik Jerry Prima, tindakan ini adalah sebahagian daripada langkah perlindungan terhadap warga Indonesia di luar negara dan usaha memastikan setiap jemaah mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Ini adalah bentuk perlindungan. Jika ada yang cuba berangkat secara tidak sah, kami akan bertindak. Kami tidak mahu mereka berhadapan masalah undang-undang di luar negara,” kata Encik Jerry kepada media pada 22 Mei.

Langkah penguatkuasaan ini melibatkan kerjasama erat antara Imigresen Soekarno-Hatta, Polis Lapangan Terbang dengan Kementerian Agama, yang telah memantau pergerakan calon jemaah sejak 15 April hingga 21 Mei 2025.

“Sebanyak 264 calon jemaah telah dikenalpasti tidak memenuhi syarat. Mereka tidak memiliki visa haji yang sah dan kami terpaksa menghalang keberangkatan mereka,” ujar Encik Jerry.

Bagi mempertingkat kawalan, Imigresen turut menggunakan sistem ‘autogate’ atau pintu automatik untuk memproses penumpang secara kendiri tanpa interaksi langsung, sekali gus mempercepat pemeriksaan serta mengurangkan risiko kesilapan.

Selain itu, pemeriksaan manual tetap dilakukan bagi mengesahkan bahawa setiap penumpang tidak berada dalam senarai sekatan perjalanan, memiliki dokumen perjalanan yang sah, dan visa yang selaras dengan tujuan perjalanan mereka.

“Autogate bukan sahaja mempercepat proses imigresen, tetapi juga membantu mengesan pelanggaran visa lebih awal,” jelas beliau.

Musim haji tahun 2025 ini menyaksikan perubahan besar apabila Arab Saudi melaksanakan sistem e-Visa, iaitu visa elektronik yang tidak lagi dilekatkan pada pasport.

Pihak Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Jeddah telah menerima arahan rasmi dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA) yang menetapkan semua syarikat penerbangan wajib memeriksa kesahihan dokumen dan tiket penumpang sebelum membenarkan mereka menaiki pesawat.

“Hanya jemaah yang memiliki visa haji rasmi atau dokumen kebenaran masuk akan dibenarkan ke Mekah. Tanpa visa tersebut, mereka akan ditolak di lapangan terbang,” tegas Encik Jerry.

Menurut Jerry, pihak berkuasa tidak berniat untuk menyekat ibadah umat Islam, tetapi mahu melindungi jemaah daripada risiko ditahan atau dihantar pulang oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

“Kami mahu jemaah dapat menunaikan ibadah dengan aman dan selamat, tanpa berdepan isu imigresen yang boleh menjejaskan perjalanan mereka,” katanya.

Dengan lebih 200,000 rakyat Indonesia dijangka menunaikan haji 2025, pematuhan kepada peraturan dan prosedur yang ditetapkan amat penting untuk memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang ibadah. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg