FLORIDA: Taufan Milton merempuh Florida, Amerika Syarikat, pada 9 Oktober, membadai pantai dengan angin kencang melebihi 161 kilometer sejam dan menghasilkan satu siri puting beliung.
Ia menghembuskan angin berkelajuan maksimum 120 kilometer sejam ketika melanda jalur pantai di Siesta Key sekitar 8.30 malam, kata Pusat Taufan Kebangsaan, yang berpangkalan di Miami.
Jalur pantai berpasir putih yang menempatkan 5,500 orang itu terletak kira-kira 112 kilometer ke selatan Tampa.
Taufan itu membawa gelombang berpotensi membawa maut ke sebahagian besar Pantai Teluk Florida, termasuk kawasan berpenduduk padat seperti Tampa, St. Petersburg, Sarasota dan Fort Myers.
Hujan lebat yang menyusul juga berkemungkinan menyebabkan banjir di kawasan pedalaman di sepanjang sungai dan tasik, sedang Milton merentasi semenanjung Florida menuju ke Lautan Atlantik pada 10 Oktober.
Menurut Poweroutage.US, yang menjejaki laporan utiliti, lebih dua juta juta rumah dan perniagaan terputus bekalan elektrik pada malam 9 Oktober di Florida. Jumlah gangguan tertinggi adalah di Sarasota dan Manatee.
Taufan Milton melanda wilayah Florida, yang masih bergelora akibat taufan Helene, menyebabkan kerosakan teruk ke atas penduduk di pantai apabila gelombang membadai dan membunuh ramai orang di tepi pantai Pinellas County.
Terdahulu, pegawai mengeluarkan amaran tegas kepada penduduk supaya segera mencari perlindungan.
Pengarah pengurusan kecemasan di Pinellas County, di semenanjung yang membentuk Teluk Tampa, dalam seruannya kepada penduduk, berkata: “Anda pernah terjejas ketika taufan Helene membadai. Anda perlu keluar, dan anda perlu keluar sekarang!”
Menjelang petang, beberapa daerah mengumumkan mereka telah menggantung perkhidmatan kecemasan akibat cuaca buruk.
“Melainkan anda benar-benar mempunyai alasan baik untuk pergi ketika ini, kami mencadangkan agar anda sekadar bersembunyi,” kata Pengarah Pengurusan Kecemasan Polk County, Encik Paul Womble.
Milton dijangka kekal sebagai taufan selepas melanda seluruh negeri, termasuk kawasan Orlando yang padat penduduk, hingga 10 Oktober.
Taufan itu mengancam masyarakat yang masih bergolak dua minggu selepas Helene menyebabkan banjir di barat Florida dan meragut sekurang-kurangnya 230 nyawa di seluruh kawasan selatan.
Di banyak tempat di sepanjang pantai, majlis perbandaran bergegas mengumpul dan membuang serpihan sebelum angin dan gelombang ribut Milton boleh melambungkannya dan menimbulkan kerosakan.
Dengan ribut yang melemah tetapi semakin membesar, gelombang dijangka mencapai setinggi 2.7 meter di Teluk Tampa. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg