FLORIDA: Pihak berkuasa di tenggara Amerika Syarikat telah memulakan kerja-kerja pembersihan dan pemulihan menyusuli taufan Helene yang meragut 100 orang, memadamkan kuasa elektrik, memusnahkan jalan raya dan jambatan serta menyebabkan banjir dramatik dari Florida ke Virginia.
Angin ribut, hujan dan lonjakan ribut membunuh sekurang-kurangnya 90 orang di Carolina Utara, Carolina Selatan, Georgia, Florida, Tennessee dan Virginia dalam kejadian pada 19 September itu. Para pegawai bimbang lebih banyak mayat akan ditemui.
Anggaran kerosakan adalah antara AS$15 bilion hingga AS$100 bilion (S$19.3 hingga S$128 bilion), kata syarikat perlindungan dan penaksir insurans. Kerosakan harta benda dan kehilangan hasil ekonomi akan menjadi lebih jelas apabila pegawai menilai kemusnahan sepenuhnya kelak.
Gabenor Carolina Utara, Encik Roy Cooper berkata angka kematian di negeri itu meningkat kepada 11 orang. Carolina Selatan melaporkan 25 maut, Georgia 17 dan Florida 11, menurut gabenor negeri-negeri tersebut. Keseluruhannya, taufan tersebut dilaporkan telah menelan 93 jiwa.
Semua jalan di kawasan terjejas telah ditutup dan akan mengambil masa berbulan-bulan untuk dibaiki, kata Encik Cooper. Bantuan makanan dan air sedang diangkut ke kawasan tersebut.
“Tragedi ini tidak pernah berlaku sebelum ini yang memerlukan tindak balas sesegera mungkin,” kata Cooper dalam sidang akhbar.
Di Flat Rock, Carolina Utara, berlaku pemadaman kuasa elektrik yang meluas dan orang ramai menunggu berjam-jam dalam untuk mendapatkan bekalan minyak petrol. “Kedai runcit ditutup, perkhidmatan telefon bimbit tidak berfungsi,” kata Encik Chip Frank, 62 tahun.
Ribut taufan itu telah merosakkan sistem air, komunikasi dan laluan pengangkutan kritikal di seluruh wilayah, menurut Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan.
Kira-kira 2.7 juta pelanggan terputus bekalan elektrik, kata seorang pegawai Jabatan Tenaga Amerika. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg