Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 30 suspek “anai-anai besi” curi kemudahan awam Batam ditahan polis
Lebih 30 suspek “anai-anai besi” curi kemudahan awam Batam ditahan polis
Lebih 30 suspek “anai-anai besi” curi kemudahan awam Batam ditahan polis
BATAM: Polis Kepulauan Riau mendedahkan lebih 30 suspek ditahan dalam tempoh tiga bulan lalu kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri kemudahan awam, jenayah yang disifatkan boleh menjejaskan keselesaan rakyat serta iklim pelaburan di wilayah itu.
Ketua Polis Kepulauan Riau, Inspektor Jeneral Asep Safruding berkata kegiatan tersebut memberi kesan besar terhadap ekonomi dan keselamatan awam walaupun sering dianggap sebagai jenayah biasa.
“Pada pandangan kasar, isu ini nampak kecil, tetapi kesannya sangat besar terhadap masyarakat dan daya tarikan pelaburan wilayah,” katanya dalam forum awam di Batam pada 23 Jun.
Beliau berkata jika kegiatan itu dibiarkan berterusan, kos sosial dan ekonomi yang perlu ditanggung negara akan menjadi lebih tinggi.
“Penguatkuasaan undang-undang secara represif sahaja tidak mencukupi tanpa kerjasama pencegahan. Polis memerlukan cadangan dasar berdasarkan kajian akademik serta komitmen pengurusan kawasan industri untuk memperkukuh sistem keselamatan prasarana secara bersepadu,” katanya.
Forum tersebut dianjurkan bersama Pusat Kajian Polis Universiti Maritim Raja Ali Haji (UMRAH) dan dihadiri wakil polis, Tentera Nasional Indonesia (TNI), Badan Pengusahaan Batam (BP Batam), Kamar Dagang dan Industri (Kadin) Batam serta ahli akademik pelbagai bidang.
Menurut Inspektor Jeneral Asep, kerosakan terhadap kemudahan awam akibat kecurian telah memberi impak besar kepada kehidupan harian penduduk dan operasi industri di Batam.
Antara sasaran sindiket ialah lampu isyarat, kabel menara komunikasi, kabel lampu jalan, penutup lubang pembetung dan pelbagai kemudahan awam yang mengandungi logam.
Kumpulan pencuri itu digelar “anai-anai besi” kerana aktif mencuri bahan logam untuk dijual semula di pasaran gelap.
Rektor UMRAH, Encik Agung Dhamar Syakti berkata sistem keselamatan bandar perlu dipertingkat menggunakan konsep Pencegahan Jenayah Melalui Reka Bentuk Persekitaran (CPTED).
Beliau berkata pendekatan itu menekankan pengurusan ruang awam yang lebih mesra keselamatan.
“Pencegahan jenayah yang berkesan pada era moden mesti menggunakan teknologi maklumat secara bersepadu,” katanya.
Menurut beliau, penggunaan kamera litar tertutup (CCTV), lampu pintar dan sensor pergerakan di lokasi berisiko tinggi amat penting bagi bandar industri seperti Batam.
Pusat Kajian Polis UMRAH turut menjalankan kajian undang-undang jenayah untuk mengenal pasti laluan pengedaran barangan curi bagi mengurangkan saiz pasaran gelap.
Polis Kepulauan Riau turut meminta orang ramai segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berhampiran kemudahan awam.
Pada 22 Jun lalu, polis menubuhkan Pasukan Petugas Keselamatan dan Ketenteraman Awam (Kamtibmas) melibatkan pelbagai pihak termasuk pengawal keselamatan, anggota Perlindungan Masyarakat (Linmas), pertubuhan belia dan kumpulan rondaan kejiranan.
Pasukan itu dijangka membantu mengurangkan kes kecurian prasarana awam di Batam.
Dalam satu kes tular, polis Barelang menahan seorang lelaki dikenali sebagai Saut Francisco Hamonangan N pada 15 Jun kerana dipercayai mencuri penutup lubang pembetung di terowong Pelita dua hari sebelumnya.
Kegiatan itu dirakam penduduk dan videonya menjadi tular di media sosial.
Sindiket sama turut mencuri besi tetulang untuk projek pembinaan jalan raya di Batu Aji.
BP Batam membuat laporan polis selepas rakaman kejadian tersebar dan beberapa suspek berjaya ditahan beberapa hari kemudian.
Pada Mac lalu, seorang suspek dikenali sebagai LM memanjat menara pemancar setinggi 72 meter di Sagulung bagi memotong 1,680 meter kabel penghantaran.
Suspek kemudian mengupas kabel tersebut untuk mengambil tembaga sebelum menjualnya kepada seorang pembeli dikenali sebagai BLM.
Dalam kes lain, tiga suspek dikenali sebagai JP, DC dan seorang lagi yang masih diburu merosakkan kotak kawalan lampu isyarat di persimpangan Batu Ampar pada awal pagi 27 Mac.
Komponen yang dicuri kemudian dijual kepada seorang penerima dikenali sebagai ST.
Polis berkata kumpulan itu dipercayai turut mencuri komponen di beberapa persimpangan lain di Batam.
Tiga lagi suspek dikenali sebagai MRP, SM dan RS pula dipercayai menggali tanah untuk mencuri kabel lampu jalan.
Kumpulan itu juga mencuri lampu limpah LED, dinamo motor dan kotak panel elektrik di kawasan pelabuhan.
Pihak berkuasa berkata peningkatan kes kecurian kemudahan awam menimbulkan kebimbangan kerana Batam merupakan antara pusat industri dan pelaburan utama Indonesia.
Polis berharap kerjasama antara pemerintah, industri, universiti dan masyarakat dapat membantu memperkukuh keselamatan bandar dan mengurangkan kerugian akibat jenayah tersebut. - Agensi berita
