BATAM: Polis di Batam menahan seorang lelaki selepas didakwa menyebarkan ucapan kebencian dengan menghina masyarakat Melayu menerusi Facebook susulan perdebatan hangat mengenai penutupan gerai menjual daging khinzir di kawasan Sagulung, Kepulauan Riau.

Ketua Polis Barelang, Pesuruhjaya Kanan Anggoro Wicaksono, berkata pihaknya bertindak pantas selepas menerima laporan orang ramai mengenai komen menghina yang dimuat naik oleh suspek dikenali sebagai Raja Situmorang.

“Kami telah menahan suspek di sebuah rumah tumpangan di Muka Kuning untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Barelang pada 2 Jun.

Ketua Unit Siasatan Jenayah (Reskrim) Polis Barelang, Pesuruhjaya M. Debby Tri Andrestian berkata kes itu bermula daripada satu hantaran Facebook mengenai penutupan gerai menjual daging babi di kawasan Sagulung.

Menurut beliau, suspek dipercayai meninggalkan komen yang dianggap menghina etnik Melayu di ruangan komen hantaran tersebut.

“Suspek tidak membuat hantaran sendiri, tetapi hanya meninggalkan komen pada hantaran orang lain,” katanya.

Komen itu kemudian mencetuskan kemarahan sebahagian masyarakat Melayu di Batam sebelum seorang wakil pertubuhan Melayu, Perpat, dikenali sebagai Encik Wandi membuat laporan polis.

Encik Wandi mendakwa komen berkenaan menyinggung perasaan masyarakat Melayu dan boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.

Polis menahan Raja Situmorang pada 1 Jun lalu dan turut merampas sebuah telefon bimbit iPhone serta Oppo yang dipercayai digunakan untuk memuat naik komen tersebut.

Suspek kini didakwa mengikut undang-undang berkaitan jenayah kebencian di bawah Akta Maklumat dan Transaksi Elektronik Indonesia yang membawa hukuman penjara antara dua hingga tiga tahun.

Sebelum ditahan, Raja Situmorang turut muncul dalam satu rakaman video dan memohon maaf secara terbuka pada 1 Jun lalu atas tindakannya.

Pesuruhjaya Anggoro dalam pada itu menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan media sosial.

“Jangan sampai hantaran dan komen yang dibuat mencetuskan konflik sehingga akhirnya membawa kepada proses perundangan,” katanya.

Majlis Adat Melayu Batam (LAM) yang dipimpin Raja Mohammad Amin turut mengambil tindakan adat terhadap suspek.

Selepas mengadakan mesyuarat dan perbicaraan adat pada 1 Jun, majlis itu mengeluarkan tiga keputusan utama.

Pertama, LAM melarang penjualan tuak, daging babi dan produk seumpamanya secara terbuka di tepi jalan atau kawasan awam tanpa permit di Batam.

Majlis itu turut menggesa semua pihak menghormati peraturan pemerintah bandar Batam berkaitan produk halal dan kebersihan serta penternakan haiwan.

Selain itu, LAM memutuskan Raja Situmorang perlu membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi media cetak selama tujuh hari berturut-turut atau menjalani upacara adat sebelum meninggalkan Batam dua hari selepas hukuman selesai dilaksanakan.

Perdebatan mengenai penjualan daging babi itu bermula selepas penduduk membuat aduan mengenai penjualan terbuka di kawasan Sagulung.

Pentadbiran daerah Sei Pelunggut bersama Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan polis turut terlibat dalam usaha pengantaraan bagi meredakan keadaan.

Ketua daerah Sei Pelunggut, Encik Rasman Afandi menegaskan pemerintah bandar tidak melarang penjualan daging babi selagi ia dilakukan di lokasi yang dibenarkan serta mematuhi norma masyarakat dan peraturan sedia ada.

Batam dikenali sebagai bandar pelbagai kaum dengan kehadiran pekerja dari seluruh Indonesia sejak kawasan perdagangan bebas dan perindustrian itu dibangunkan pada era 1970-an.

Walaupun demikian, Batam secara tradisinya dianggap kawasan masyarakat Melayu sebelum kemasukan besar pekerja migran dari pelbagai wilayah Indonesia.

Perdebatan hampir sama turut berlaku di Medan, Sumatera Utara yang juga dikenali sebagai bandar berbilang kaum walaupun mempunyai warisan Melayu yang kuat menerusi Istana Maimun, pusat Kesultanan Deli.

Bandar itu bagaimanapun turut mempunyai populasi besar masyarakat Batak yang menjadikan daging babi sebagai sebahagian makanan tradisional mereka. – Agensi berita.