GAZA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan pada 13 Oktober bahawa lebih 300,000 warga Palestin dilihat bergerak dari selatan ke utara Jaluran Gaza.
Langkah itu diambil sejak beberapa hari kebelakangan ini ketika gencatan senjata melonggarkan sekatan akses di seluruh wilayah itu.
“Dari 10 Oktober hingga 13 Oktober, rakan sekerja kami yang memantau perpindahan merekodkan hampir 310,000 pergerakan orang dari selatan ke utara Gaza dan kira-kira 23,000 pergerakan ke arah lain,” kata jurucakap PBB, Encik Farhan Haq.
“Penduduk kini dapat bergerak dengan lebih mudah di banyak kawasan, dan oleh itu pasukan kami cuba mendekati mereka di tempat yang telah terputus hubungan selama beberapa bulan.
“Dengan pelonggaran pergerakan dan sekatan akses di beberapa kawasan, kami dapat menyalurkan bekalan perubatan dan kecemasan di tempat yang paling diperlukan,” kata Encik Haq.
Beliau turut mengumumkan bahawa penyelaras bantuan kecemasan, Encik Tom Fletcher, telah memperuntuk tambahan AS$11 juta ($14.3 juta) daripada Dana Tindak Balas Kecemasan Pusat (Cerf) untuk menyokong peningkatan segera operasi kemanusiaan di Gaza menjelang musim sejuk.
“Ini berikutan peruntukan AS$9 juta minggu lalu untuk memastikan bekalan bahan api mencukupi bagi kerja-kerja menyelamatkan nyawa di seluruh Gaza, menjadikan jumlah pembiayaan Cerf di Gaza mencecah AS$20 juta,” tambahnya.
Encik Fletcher memberi amaran bahawa “tanpa sumbangan baru kepada Cerf, bantuan genting tidak boleh terus mengalir kepada penduduk yang bergantung kepadanya”.
Di bawah pelan kemanusiaan 60 hari, PBB dan rakan kongsi akan menyalurkan bantuan dan perkhidmatan bagi menyelamatkan nyawa di seluruh Gaza.
Ini termasuk bantuan makanan, air, penjagaan kesihatan, tempat tinggal, barangan kebersihan dan perkhidmatan perlindungan.
Minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah bersetuju dengan fasa pertama gencatan senjata yang dibentangkannya pada 29 September.
Di bawah fasa pertama, Hamas akan membebaskan semua tebusan Israel sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin, dan pengunduran tentera Israel secara bertahap-tahap dari seluruh Jaluran Gaza.
Fasa kedua pula bakal menyaksikan penubuhan mekanisme pemerintahan baru di Gaza tanpa penyertaan Hamas, pembentukan pasukan berbilang negara dan pelucutan senjata Hamas.
Serangan Israel yang berterusan sejak perang meletus pada 7 Oktober 2023, telah membunuh lebih 67,800 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, di wilayah itu.
Wilayah yang hampir punah-ranah sepenuhnya akibat serangan Israel itu turut dilanda masalah kelaparan yang serius. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg