Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 500 warga Indonesia diselamatkan dari sindiket penipuan siber di Myanmar

Mar 18, 2025 | 11:36 AM
Warga Indonesia, mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Tangerang, wilayah Banten, pada 28 Februari, selepas diterbangkan dari Thailand berikutan penyerahan mereka oleh kerajaan Myanmar kepada pihak berkuasa Thailand.
Warga Indonesia, mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Tangerang, wilayah Banten, pada 28 Februari, selepas diterbangkan dari Thailand berikutan penyerahan mereka oleh kerajaan Myanmar kepada pihak berkuasa Thailand. - Foto AFP

JAKARTA: Lebih 500 rakyat Indonesia yang menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian di Myanmar akan dipulangkan ke tanah air dalam tempoh terdekat menerusi Thailand, menurut pegawai kanan Kementerian Luar Indonesia pada 18 Mac.

Mangsa-mangsa itu sebelum ini terperangkap di pusat penipuan siber yang beroperasi di kawasan sempadan Myanmar yang tidak dikawal sepenuhnya oleh pemerintah. Sindiket tersebut menarik pekerja asing dengan tawaran gaji lumayan, tetapi akhirnya mereka dijadikan tawanan dan dipaksa menjalankan aktiviti penipuan dalam talian.

Menurut Encik Judha Nugraha, Pengarah Perlindungan Warga Negara Indonesia (WNI) di Kementerian Luar, seramai 400 warga Indonesia dijangka tiba di Jakarta pada 18 Mac, dan sekitar 161 orang lagi dijadual pulang pada keesokan harinya.

“Mereka akan menaiki tiga penerbangan dari Bangkok selepas menyeberang dari Myanmar ke Thailand,” kata Encik Judha kepada agensi berita AFP.

Sebelum ini, pihak berkuasa Indonesia telah menerima seramai 140 rakyatnya dari Myanmar pada Februari, juga melalui laluan yang sama. Proses pemulangan ini dilakukan dengan kerjasama rapat antara pemerintah Indonesia, Thailand dan pihak berkuasa tempatan di Myanmar.

Sejak 2020 hingga September 2024, pemerintah Indonesia telah menyaksikan kepulangan lebih 4,700 warga Indonesia yang menjadi mangsa sindiket penipuan siber di beberapa negara Asia Tenggara seperti Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.

Kawasan sempadan Myanmar-Thailand menjadi tumpuan sindiket penipuan kerana kawalan keselamatan yang longgar dan konflik dalaman yang berpanjangan.

Tekanan dari China yang turut mempunyai ramai rakyatnya menjadi mangsa, telah mendorong pihak berkuasa Myanmar untuk mempergiat operasi membanteras pusat-pusat penipuan ini.

Kira-kira 7,000 pekerja dari sekurang-kurangnya 24 negara diselamatkan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, dengan majoritinya berasal dari China.

Namun, ramai masih terperangkap di kem sementara yang daif di sempadan antara Myanmar dan Thailand.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dianggarkan sebanyak 120,000 orang, kebanyakannya lelaki warga China, dipaksa bekerja di pusat penipuan dalam talian di Myanmar.

Encik Judha menegaskan bahawa pemerintah akan terus memantau situasi ini dan mempercepatkan proses kepulangan rakyat Indonesia yang masih berada di kem-kem tahanan sementara di kawasan sempadan.

“Kami berusaha sebaik mungkin untuk memastikan keselamatan dan kepulangan mereka ke tanah air. Ini adalah krisis kemanusiaan yang memerlukan tindakan segera,” kata Encik Judha.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg