BANGKOK: Sekitar 260 mangsa pemerdagangan manusia, lebih separuh daripadanya warga Habsyah, telah dipindahkan ke Thailand selepas ditemui di sepanjang sempadan Myanmar oleh kumpulan pemberontak.
Penghantaran pulang secara besar-besaran itu hanya beberapa minggu selepas Thailand memotong bekalan kuasa ke kawasan sempadan dengan Myanmar dalam usaha menghentikan operasi sindiket penipuan dalam talian yang menyasarkan warga asing.
Kumpulan itu diserahkan oleh Tentera Demokratik Karen Buddha (DKBD), kumpulan pemberontak Myanmar, kepada Tentera Thailand pada 12 Februari.
DKBD memberitahu agensi berita, AFP, bahawa mangsa yang dibebaskan telah bekerja di pusat penipuan di Kyauk Khet, sebuah kampung di negeri Kayin di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar.
Tentera Thailand berkata kumpulan itu mempunyai mangsa dari 20 negara berbeza, termasuk 138 warga Habsyah.
Sekumpulan besar mangsa pemerdagangan yang dihantar pulang dari kawasan Myawaddy di Myanmar dilihat menyeberangi Sungai Moei ke Thailand pada 12 Februari.
Mereka kemudian diarahkan masuk ke kenderaan tentera Thailand yang sedia menanti.
Thailand telah melancarkan tindakan tegas terhadap pusat penipuan jenayah selepas mangsa warga China diselamatkan daripada operasi sindiket penipuan dalam talian pada Disember.
Operasi sindiket penipuan dalam talian telah berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini di seluruh Myanmar dan bahagian lain di Asia Tenggara, dengan mangsa yang terselamat menggambarkan keadaan di pusat itu seperti penjara.
Pelakon China, Wang Xing, telah diculik di Thailand dan diselamatkan dari pusat penipuan siber di Myanmar.
Model dari China, Cik Yang Zeqi, dan beberapa mangsa lain turut diselamatkan daripada kumpulan pemerdagangan manusia di kawasan sempadan Myanmar pada Januari selepas terpikat ke Thailand dengan janji bekerja dan gaji menarik.
Kawasan kegiatan sindiket penipuan itu dipercayai dikendalikan oleh sindiket penjenayah China dan kerap menggunakan buruh paksa – memikat orang ramai dengan janji pekerjaan bergaji tinggi tetapi berakhir dengan mereka ditahan dan dipaksa menipu mangsa melalui Internet.
Tawaran lain termasuk mangsa tidak perlu mengeluarkan sesen pun untuk bekerja, ejen akan menguruskan pasport, penginapan dan pengangkutan.
Kes itu telah mencetuskan kebimbangan mengenai perjalanan ke Thailand dalam kalangan warga China, yang mendahului senarai pelancong ke negara itu pada 2024.
Seorang pegawai sempadan Thailand memberitahu AFP bahawa kawasan operasi sindiket itu kini menggunakan penjana selepas Thailand memutuskan bekalan elektrik dan bahan api.
Keselamatan telah diperketat di kawasan itu, dengan beberapa pusat pemeriksaan tentera Thailand dan papan tanda memberi amaran kepada warga Thailand dan warga asing daripada “diperdaya” untuk bekerja secara haram dalam talian.
Awal sebelum ini, media China dan Thailand melaporkan 61 orang, termasuk 39 dari China, dibebaskan dari pusat kegiatan sindiket penipuan Myanmar dan diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg