Topic followed successfully
Go to BHkuLebih 70 murid dimasukkan ke hospital di Jakarta Timur akibat keracunan program makanan percuma
Lebih 70 murid dimasukkan ke hospital di Jakarta Timur akibat keracunan program makanan percuma
Lebih 70 murid dimasukkan ke hospital di Jakarta Timur akibat keracunan program makanan percuma
JAKARTA: Sekurang-kurangnya 72 kanak-kanak dari empat sekolah berbeza di Duren Sawit, Jakarta Timur, telah menunjukkan simptom keracunan makanan selepas mengambil makan tengah hari yang disediakan di bawah program makanan berkhasiat percuma minggu lalu.
Ekoran kejadian itu, dapur yang menyediakan makanan tersebut telah dirahkan ditutup kerana gagal memenuhi piawaian keselamatan makanan.
Dapur yang dimaksudkan, Unit Perkhidmatan Pemenuhan Pemakanan (SPPG) Pondok Kelapa II di Duren Sawit, pertama kali menerima laporan beberapa pelajar mengalami tekak loya, cirit-birit dan sakit perut pada petang 2 April sejurus selepas mengambil makanan berupa spageti, bebola daging, tauhu telur hancur, sayur campur dan strawberi.
Pentadbiran wilayah Jakarta kemudian mengesahkan pada 4 April bahawa makanan yang diagihkan oleh dapur berkenaan telah menyebabkan keracunan makanan pada 72 pelajar dari sekolah menengah atas negeri (SMAN) 91 dan sekolah rendah negeri SDN Pondok Kelapa 01, 07 dan 09 di Duren Sawit.
Sehingga 5 April, para pelajar masih menerima rawatan perubatan di hospital milik bandar Duren Sawit dan dua hospital swasta di Jakarta Timur.
Agensi Pemakanan Kebangsaan (BGN), yang menguruskan program makanan percuma, telah menutup dapur tersebut selama-lamanya kerana kegagalan untuk memenuhi piawaian keselamatan makanan dan rawatan air sisa.
Agensi itu mengaitkan kejadian keracunan makanan itu dengan kelewatan kritikal antara masa penyediaan dengan penghidangan, atas alasan bahawa kelewatan itu menyebabkan kualiti makanan terjejas dan akhirnya mencetuskan masalah kesihatan dalam kalangan pelajar.
“Kami memohon maaf atas kejadian ini. Agensi ini juga akan menanggung semua kos rawatan hospital,” kata Timbalan Ketua BGN, Cik Nanik Sudaryati Deyang dalam satu kenyataan pada 4 April.
Beliau menyatakan bahawa agensi itu kerap menjalankan pemeriksaan di dapur program makanan percuma untuk memastikan pematuhan.
Gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung, melawat pelajar yang dimasukkan ke hospital di Hospital Duren Sawit pada 4 April, dengan menyatakan bahawa mereka dijangka pulih tidak lama lagi kerana keadaan mereka telah kembali stabil.
Beliau berkata pejabatnya telah berkomunikasi dengan BGN untuk mengenal pasti punca kes keracunan itu, sambil menegaskan komitmen pentadbirannya untuk menyokong program makanan percuma pemerintah pusat itu.
“Keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak adalah keutamaan utama kami,” kata Encik Pramono.
Hampir 2,000 kes keracunan makanan dilaporkan di seluruh Indonesia pada Januari tahun ini, menurut Rangkaian Pemantau Pendidikan Indonesia. - Agensi Berita

