Hampir 2,000 pelajar Indonesia keracunan makanan pada 2026
Hampir 2,000 pelajar Indonesia keracunan makanan pada 2026
SEMARANG: Hampir 2,000 pelajar dilaporkan mengalami keracunan makanan sejak awal 2026 dalam pelaksanaan program makanan berkhasiat percuma pemerintah, sekali gus mendorong penelitian lebih rapi terhadap aspek keselamatan makanan bagi memastikan pelaksanaan program berskala besar itu kekal selamat dan mencapai sasaran sifar insiden yang ditetapkan.
Kes terbaru dilaporkan pada 30 Januari di Kabupaten (Daerah) Muaro Jambi, Jambi, apabila kira-kira 145 pelajar dari peringkat tadika hingga sekolah menengah jatuh sakit selepas memakan hidangan soto yang dibekalkan oleh Unit Perkhidmatan Pemenuhan Pemakanan (SPPG) tempatan, lapor The Jakarta Post.
Hampir 100 pelajar terpaksa dimasukkan ke hospital, manakala dua pelajar masih menerima rawatan setakat 4 Februari. Sehari sebelumnya, seramai 134 pelajar di Kabupaten Manggarai Barat, Nusa Tenggara Timur, turut melaporkan gejala keracunan makanan selepas memakan sayur labu siam goreng, sawi, tauge dan telur rebus yang dibekalkan menerusi program sama. Beberapa pelajar mendakwa sayur-sayuran tersebut berbau tidak menyenangkan dan kelihatan rosak.
Insiden serupa turut berlaku pada 28 Januari di Kudus, Jawa Tengah, apabila kira-kira 540 pelajar dan guru sebuah sekolah menengah mengalami cirit-birit, loya dan pening selepas memakan soto, nasi dan tempe goreng di bawah program tersebut. Seramai 46 pelajar terpaksa dirawat di hospital.
Ketua Badan Gizi Nasional (BGN), Encik Dadan Hindayana, tampil memohon maaf atas siri kejadian keracunan makanan yang dikaitkan dengan program makanan percuma kerajaan. Beliau berkata semua operasi SPPG yang terlibat telah digantung sementara siasatan dijalankan.
“Saya memohon maaf kepada para penerima manfaat yang mengalami kejadian tidak menyenangkan ini. Kami telah menjalankan siasatan dan analisis terhadap SPPG yang terlibat,” katanya pada 2 Februari, seperti dipetik Kompas.com.
Menurut Encik Dadan, sebuah SPPG akan dikenakan “kad kuning” susulan pelanggaran serius, termasuk tindakan mengalih keluar penyediaan makanan kepada pihak luar, yang menyukarkan pemantauan proses memasak.
Walaupun tidak memperincikan bentuk hukuman yang menyusul daripada “kad kuning” itu, beliau memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil bagi memastikan pelajar menerima makanan yang selamat dan berkualiti tinggi. BGN juga akan menilai semula menu makanan bagi mengurangkan risiko insiden keselamatan makanan pada masa hadapan.
Program makanan percuma itu dilancarkan oleh Presiden Prabowo Subianto pada 6 Januari 2025 sebagai antara inisiatif utama kerajaan bagi menangani masalah bantut yang kronik di Indonesia. Namun sejak pelancarannya, program tersebut berdepan pelbagai kritikan akibat siri insiden keracunan makanan.
Menurut Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-undang (CELIOS), lebih 15,000 pelajar dilaporkan mengalami keracunan makanan antara Januari dan November 2025 sahaja, sekali gus meningkatkan tekanan awam agar program tersebut digantung sementara.
Susulan kritikan berterusan, BGN pada Oktober lalu memperketat protokol keselamatan makanan, termasuk mewajibkan pensijilan kesihatan untuk semua SPPG. Namun, setakat ini hanya 32 peratus daripada 21,102 SPPG yang terlibat dalam penyediaan makanan bagi program tersebut memiliki pensijilan keselamatan makanan.
BGN memaklumkan bahawa usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan kadar pensijilan itu secara berperingkat. Pada Januari, badan itu turut mengumumkan bahawa semua SPPG di seluruh negara akan melalui proses akreditasi dan pensijilan bermula 2026.
Proses tersebut akan dilaksanakan oleh pihak ketiga bebas dan merangkumi penilaian terhadap standard pemakanan, kebersihan serta keselamatan makanan secara keseluruhan. Insentif kepada dapur atau rakan pelaksana yang memperoleh pensijilan pula akan ditentukan berdasarkan prestasi audit masing-masing.
Encik Dadan sebelum ini menyatakan bahawa langkah-langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha BGN untuk menghapuskan sepenuhnya insiden keracunan makanan pada 2026, selaras dengan sasaran sifar insiden yang ditetapkan pemerintah.
Walaupun berdepan kritikan berterusan, Presiden Prabowo kekal mempertahankan program makanan percuma itu. Beliau berhujah bahawa kadar insiden keracunan makanan masih kecil berbanding jumlah hidangan yang diedarkan setiap hari.
“Jika kita bandingkan jumlah pelajar yang terjejas dengan jumlah keseluruhan makanan yang diagihkan, kadarnya hanya 0.008 peratus. Ini bermakna 99.99 peratus pelaksanaan program ini berjaya,” katanya pada 2 Februari, seperti dipetik Detik.com.
Encik Prabowo turut berkata program tersebut kini membekalkan makanan kepada sekitar 60 juta pelajar setiap hari, dan kerajaan menyasarkan untuk meluaskan liputannya kepada 82 juta pelajar menjelang akhir 2026. - Agensi berita.

