Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 80 maut dalam bah di utara Vietnam ekoran taufan Yagi

Sep 10, 2024 | 7:03 PM
Beberapa sungai di utara Vietnam mencatatkan paras tinggi hingga menyebabkan banjir di beberapa kawasan perumahan dan perkampungan.
Beberapa sungai di utara Vietnam mencatatkan paras tinggi hingga menyebabkan banjir di beberapa kawasan perumahan dan perkampungan. - Foto REUTERS

HANOI: Banjir teruk dijangka menimpa rantau utara Vietnam, termasuk ibu kota Hanoi, kata pihak berkuasa tempatan, sedang taufan Yagi – ribut paling dahsyat yang melanda Asia pada 2024 sejauh ini – terus memberi kesan teruk dan mengorbankan lebih ramai nyawa.

Tanah runtuh dan bencana banjir berpunca daripada taufan itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 82 orang dan 64 individu dilaporkan hilang di utara Vietnam, kata agensi pengurusan bencana pada 10 September.

Ramai daripada mangsa terkorban dalam kejadian tanah runtuh dan banjir kilat, kata agensi itu dalam satu laporan, dan menambah seramai 752 orang cedera.

Rantau utara lain termasuk hab perindustrian Bac Giang dan Thai Nguyen, yang diduduki beberapa kilang syarikat eksport antarabangsa seperti Samsung Electronics dan pembekal gergasi teknologi Apple, Foxconn, juga mengalami banjir teruk, lapor media tempatan.

Namun tidak jelas sama ada syarikat-syarikat tersebut terjejas.

Taufan Yagi mula membadai pesisiran timur laut Vietnam pada 7 September dan menyebabkan kemusnahan berskala besar di kawasan perumahan dan perindustrian tempatan, diikuti dengan hujan lebat yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh di beberapa lokasi.

Sebelum ini, ia menimpa Filipina dan Hainan, selatan China.

Beberapa sungai di utara Vietnam juga mencatatkan paras tinggi hingga mendatangkan bah ke beberapa kampung dan kawasan perumahan, menurut agensi pengurusan bencana dan media tempatan.

Sebuah jambatan berusia 30 tahun di Sungai Merah, wilayah utara Phu Tho, dilaporkan roboh pada 10 September menyebabkan lapan individu hilang, menurut satu kenyataan daripada Jawatankuasa Rakyat daerah.

Pihak berkuasa kemudian menetapkan larangan atau mengehadkan aliran lalu lintas di jambatan lain sungai tersebut, termasuk jambatan Chuong Duong, yang merupakan antara jambatan terbesar di Hanoi, lapor media tempatan.

“Paras air di Sungai Merah sedang naik mendadak,” kata pihak berkuasa pada 10 September dalam satu pos di Facebook.

Dengan menggunakan pembesar suara yang dahulu digunakan untuk menyebarkan propaganda Komunis, kakitangan pemerintah mengeluarkan amaran berlaku banjir kepada penduduk yang tinggal berhampiran sungai tersebut di daerah Long Bien dan bersiap sedia meninggalkan kawasan tersebut.

Di persekitaran luar Hanoi, beberapa kampung dilaporkan tenggelam ekoran banjir menurut media tempatan VTV dengan pihak berkuasa sibuk memindahkan penduduk daripada kawasan tersebut.

Pemindahan juga sedang berlaku di kawasan yang mudah terjejas banjir di wilayah Bac Giang, kata pihak berkuasa, dengan taufan serta banjir menyebabkan kerosakan dijangka bernilai sehingga 300 bilion dong ($15.88 juta)

Lebih 4,600 askar telah dikerah di wilayah tersebut untuk menyokong usaha pemindahan dan menawarkan bantuan kepada mangsa banjir.

Wilayah Lao Cai mencatatkan angka korban tertinggi dengan seramai 19 orang maut dan 11 dilaporkan hilang disebabkan tanah runtuh di kawasan itu, kata agensi pengurusan bencana Vietnam.

Banjir juga menjejas hampir 7 peratus sawah padi di utara Vietnam seluas 148,600 hektar, 26,100 hektar tanaman dan merosakkan hampir 50,000 rumah di wilayah tersebut, menurut agensi bencana. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg