Singapore Airlines (SIA) telah membatalkan empat penerbangan antara Singapura dengan Osaka kerana taufan kuat sedang menghala ke arah selatan Jepun pada 28 Ogos.
Nasihat yang disiarkan di laman web syarikat penerbangan nasional itu pada 26 Ogos berkata beberapa penerbangan ke dan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai di Osaka pada 28 Ogos dibatalkan kerana keadaan cuaca buruk yang diramalkan akibat taufan Shanshan, lapor The Straits Times.
Penerbangan terjejas ialah:
– SQ620 dari Singapura ke Osaka pada 8.30 pagi waktu tempatan
– SQ621 dari Osaka ke Singapura pada 5.25 petang waktu tempatan
– SQ622 dari Singapura ke Osaka pada 1.55 petang waktu tempatan
– SQ623 dari Osaka ke Singapura pada 11.25 malam waktu tempatan
Penerbangan SQ619, yang dijadualkan tiba di Singapura dari Osaka pada 4.23 petang pada 28 Ogos, kekal mengikut jadual, menurut laman web Lapangan Terbang Changi.
SIA berkata dalam nasihatnya bahawa ia akan menghubungi semua pelanggan yang terjejas untuk memaklumkan kepada mereka tentang pembatalan penerbangan. Ia juga memohon maaf atas kesulitan tersebut.
“Pelanggan boleh meminta untuk ditempatkan semula dalam penerbangan alternatif, tertakluk pada ketersediaan tempat duduk, atau mendapatkan bayaran balik penuh untuk bahagian tiket mereka yang tidak digunakan,” katanya.
Di Jepun, All Nippon Airways merancang membatalkan 110 penerbangan domestik yang dijadualkan berlepas atau tiba di barat daya Jepun pada 28 Ogos, menjejaskan kira-kira 4,200 penumpang, lapor penyiar awam NHK.
Japan Airlines turut merancang membatalkan 80 penerbangan domestik dari 28 Ogos hingga 30 Ogos, menurut laporan itu.
Taufan Shanshan dijangka merentasi kawasan pulau Amami pada 28 Ogos, membawa angin ribut hingga 216 kilometer sejam sebelum melencong ke arah pulau utama selatan Kyushu.
“Kewaspadaan maksimum diperlukan, memandangkan ramalan adalah berlaku angin kencang, ombak tinggi dan air pasang besar yang belum pernah dilihat setakat ini,” Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg