Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 900,000 penduduk khemah di Gaza hadapi ancaman banjir

Nov 15, 2025 | 9:51 PM
Lebih 900,000 penduduk selatan Gaza yang berlindung di khemah-khemah pelarian berdepan ancaman banjir apabila cuaca buruk melanda kawasan itu.
Lebih 900,000 penduduk selatan Gaza yang berlindung di khemah-khemah pelarian berdepan ancaman banjir apabila cuaca buruk melanda kawasan itu. - Foto: AFP

JALURAN GAZA: Lebih 900,000 penduduk selatan Gaza yang kehilangan tempat tinggal berdepan ancaman banjir apabila cuaca buruk melanda kawasan itu, ketika krisis kemanusiaan semakin genting.

Pada masa yang sama, pelan damai yang diharapkan selepas kemusnahan meluas akibat perang Hamas-Israel hampir dua tahun itu tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif.

Menurut pihak berkuasa perbandaran, ribut yang melanda Gaza amat membimbangkan dan berpotensi menenggelamkan ribuan khemah di sepanjang pantai serta merosakkan kawasan dalam bandar.

Jurucakap Majlis Perbandaran Khan Younis, Encik Saeb Lakkan, berkata keadaan bertambah buruk berikutan rangkaian pembetungan runtuh dan kolam takungan air hujan hampir melimpah.

Jabatan Meteorologi Palestin turut memberi amaran kemungkinan berlakunya banjir kilat di kawasan lembah dan tanah rendah.

Encik Lakkan berkata pihak berkuasa perbandaran kini berdepan musibah yang belum pernah berlaku, dengan lebih 900,000 pelarian hidup dalam kesempitan, ketika tahap kemusnahan seperti rangkaian jalan raya, bekalan air dan pembetungan melebihi 85 peratus.

Beliau berkata bandar itu tidak berdaya menguruskan hampir 15 juta tan puing-puing bangunan runtuh akibat serangan udara Israel.

“Serangan Israel memusnahkan kira-kira 210,000 meter jalan raya, 300,000 meter paip air dan 120,000 meter saluran pembetungan, menyebabkan bandar itu hampir lumpuh sepenuhnya,” katanya.

Beliau turut memberi amaran sistem pembetungan mungkin terhenti beroperasi sepenuhnya akibat kekurangan bahan api, yang boleh mencetuskan limpahan kumbahan berskala besar serta menenggelamkan seluruh kejiranan.

Menurut Jabatan Meteorologi Palestin, wilayah itu kini terjejas oleh sistem tekanan rendah yang disertai cuaca sejuk, hujan lebat, kadangkala disertai ribut petir.

Pertahanan Awam Gaza mengeluarkan beberapa garis panduan dan amaran kepada penduduk khususnya mereka yang berlindung dalam khemah, supaya mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan bahaya banjir dan runtuhan.

Disebabkan faktor cuaca dan kerosakan akibat serangan udara Israel, pejabat media Gaza menganggarkan 93 peratus khemah pelarian tidak lagi sesuai dijadikan tempat perlindungan.

Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober, pihak perbandaran hanya menerima 16,000 liter diesel, cukup untuk operasi selama tiga hari.

Pasukan teknikal kini bekerja dengan peralatan asas untuk membina benteng tanah dan mengubah aliran lembah bagi melindungi khemah serta kawasan rendah.

Encik Lakkan berkata 1,900 daripada 2,200 saluran air hujan di bandar itu musnah sepenuhnya, namun satu projek kecemasan yang disokong agensi berkaitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang membersihkan saliran yang masih berfungsi.

Pegawai Palestin itu menggambarkan keadaan di Khan Younis sebagai “amat suram”, sambil menegaskan bahawa bandar berkenaan memerlukan sokongan antarabangsa segera untuk mengalihkan runtuhan serta memulihkan perkhidmatan asas.

Beliau turut merayu masyarakat antarabangsa supaya bertindak segera bagi menyelamatkan dua juta pelarian yang berdepan risiko banjir dan kematian. - Agensi Berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg