PALEMBANG: Kira-kira 3,000 penduduk Sumatera Selatan menunaikan solat istisqa untuk memohon hujan pada 25 Ogos ketika kebakaran hutan dan tanah terus merebak, menyebabkan jerebu tebal menyelubungi Palembang dan lebih 9,300 kes jangkitan pernafasan akut (ARI) direkodkan dalam tempoh tiga minggu pertama bulan Ogos ini.

Penduduk berhimpun dan bersolat bersama-sama di perkarangan pejabat Gabenor Sumatera Selatan di Palembang ketika asap tebal menyelubungi jalan raya, bangunan dan kemudahan awam di ibu kota wilayah itu.

Jerebu turut mengurangkan jarak penglihatan sehingga menyebabkan sebahagian pemandu terpaksa memasang lampu kenderaan pada waktu siang.

Solat istisqa itu diadakan ketika Sumatera Selatan berdepan musim kering berpanjangan yang meningkatkan risiko kebakaran hutan dan tanah, terutama di kawasan gambut yang sukar dipadam apabila terbakar.

Gabenor Sumatera Selatan, Encik Herman Deru, berkata usaha kerohanian itu dilakukan seiring dengan operasi memadam kebakaran dan langkah menangani kemarau yang sedang dilaksanakan pihak berkuasa.

“Kami sudah melakukan segala yang termampu dan bekerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan,” katanya sebelum solat itu diadakan.

“Sebagai orang yang beriman, kami juga berdoa kepada Tuhan supaya menurunkan hujan agar kehidupan dapat kembali seperti biasa.”

Menurut Encik Herman, solat istisqa itu bukan pengganti kepada usaha memadam kebakaran, sebaliknya melengkapkan langkah yang sedang diambil pemerintah untuk menangani kebakaran dan musim kering.

Beliau berkata perhimpunan tersebut juga menjadi peluang untuk masyarakat bersatu menghadapi masalah alam sekitar yang semakin serius di wilayah itu.

Keadaan itu semakin membimbangkan apabila mutu udara di Palembang merosot dengan ketara.

Pada 25 Ogos, Indeks Piawai Pencemaran Udara (ISPU) di bandar itu mencecah 195, yang dikategorikan sebagai tidak sihat.

Bacaan tersebut meningkat sebanyak 80 mata berbanding paras sebelumnya sebanyak 115.

Kesan jerebu terhadap kesihatan penduduk juga semakin ketara.

Lebih 9,300 kes jangkitan pernafasan akut direkodkan di Palembang dalam tempoh tiga minggu pertama Ogos ketika asap kebakaran terus mencemari udara.

Pemerintah bandar Palembang meningkatkan langkah kesihatan awam dengan memperkukuh kesiapsiagaan kemudahan perubatan dan mengedarkan pelitup muka kepada penduduk.

Kira-kira 16,500 pelitup muka telah diedarkan di beberapa lokasi di bandar itu.

Golongan yang lebih mudah terjejas akibat pencemaran udara, termasuk kanak-kanak, warga emas dan wanita hamil, dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dan mengurangkan kegiatan di luar rumah.

Penduduk yang mengalami kesukaran bernafas pula diminta mendapatkan rawatan segera di kemudahan kesihatan terdekat.

Agensi Kesihatan Palembang terus memantau mutu udara dan menyediakan kemudahan kesihatan bagi menghadapi kemungkinan pertambahan pesakit sekiranya jerebu semakin buruk.

Kebakaran hutan dan tanah masih menjadi cabaran besar apabila ribuan titik panas dikesan di Sumatera dan Kalimantan.

Data pemantauan pada 24 Ogos mengesan 1,344 titik panas di Sumatera Selatan, dengan tumpuan terbesar di Ogan Komering Ilir, Musi Banyuasin, Muara Enim dan Banyuasin.

Data Kementerian Perhutanan pula menunjukkan 2,894 titik panas dikesan di 10 wilayah di Sumatera, dengan Sumatera Selatan mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 1,410.

Riau berada di tempat kedua dengan 480 titik panas, diikuti Jambi sebanyak 425.

Satu lagi pemantauan satelit Kementerian Alam Sekitar menunjukkan Sumatera Selatan mencatatkan 1,429 titik panas, tertinggi di Indonesia, diikuti Kalimantan Barat dengan 1,226 dan Kalimantan Tengah sebanyak 811.

Kementerian Perhutanan menganggarkan kira-kira 36,000 hektar tanah telah terbakar di 10 wilayah Sumatera sepanjang tahun ini.

Di seluruh Indonesia pula, hampir 940 kilometer persegi kawasan dilaporkan terbakar pada Julai sahaja, termasuk lebih 20 kilometer persegi di Sumatera Selatan.

Keadaan semakin sukar ditangani akibat musim kering berpanjangan yang diperburuk fenomena El Nino.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), asap daripada kebakaran turut merentasi sempadan sehingga menjejaskan mutu udara di Malaysia dan Brunei.

Pemerintah Indonesia kini memperhebat operasi pengubahsuaian cuaca untuk menghasilkan hujan bagi membantu memadam kebakaran.

Operasi itu menggunakan kaedah pembenihan awan dengan menyebarkan zarah garam ke dalam awan yang sesuai bagi merangsang pembentukan hujan.

Sebanyak 30 pesawat digunakan bagi operasi pembenihan awan dan pengeboman air di Kalimantan, manakala 22 helikopter lagi dikerahkan untuk membantu operasi di Sumatera.

Ketika anggota kecemasan terus memerangi kebakaran dari udara dan darat, ribuan penduduk Sumatera Selatan berharap solat istisqa yang dilakukan bersama-sama itu akan membawa hujan yang amat diperlukan untuk meredakan kebakaran dan membersihkan udara yang semakin tercemar. - Agensi berita