JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, berlepas ke Sumatera pada 24 Ogos bagi meninjau sendiri operasi menangani kebakaran hutan dan tanah yang semakin membimbangkan.

Riau menjadi persinggahan pertamanya sebelum beliau meneruskan lawatan ke Jambi dan Sumatera Selatan.

Lawatan itu mendapat perhatian kerana Riau terletak di bahagian timur Sumatera, bersebelahan dengan Singapura dan Malaysia di Selat Melaka.

Kebakaran hutan dan tanah di wilayah itu sebelum ini pernah mencetuskan kebimbangan di kedua-dua negara apabila asap dibawa angin merentasi selat.

Setiausaha Negara, Encik Prasetyo Hadi, berkata lawatan ke Sumatera itu menyusuli kunjungan Encik Prabowo ke kawasan terjejas akibat kebakaran di Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah, pada 22 Ogos lalu.

“Selepas meninjau sendiri usaha menangani kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah, Presiden Prabowo Subianto akan meneruskan lawatan ke Sumatera, bermula dengan wilayah Riau, bagi memastikan tindak balas dilaksanakan dengan pantas, terselaras dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada 24 Ogos.

Encik Prabowo berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Halim Perdanakusuma di Jakarta sekitar 10 pagi waktu tempatan dengan menaiki pesawat presiden.

Encik Prasetyo berkata pemerintah telah meningkatkan operasi memadam kebakaran dengan menambah pesawat dan helikopter bagi operasi pengeboman air, memperkukuh pasukan darat yang terdiri daripada anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI), polis dan pasukan Manggala Agni.

Kemudahan kesihatan turut diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk merawat penduduk yang terjejas akibat kebakaran dan jerebu.

Selepas meninjau keadaan di Kalimantan, Encik Prabowo turut mengarahkan tindakan tegas tanpa tolak ansur terhadap pihak yang didapati bertanggungjawab menyebabkan kebakaran.

Ia termasuk syarikat yang kawasan konsesi mereka terbakar atau didapati gagal mengambil langkah sewajarnya untuk mencegah kebakaran di tanah masing-masing.

“Presiden turut mengarahkan tindakan tegas tanpa kompromi,” kata Encik Prasetyo, sambil menjelaskan pihak penguatkuasaan sudah memulakan siasatan terhadap beberapa kawasan konsesi syarikat.

Tumpuan pemerintah kini beralih ke Sumatera, khususnya Riau, Jambi dan Sumatera Selatan yang mencatat jumlah titik panas yang tinggi.

Data sistem pemantauan kebakaran SiPongi di bawah Kementerian Kehutanan menunjukkan sebanyak 2,894 titik panas dikesan di 10 wilayah di Sumatera.

Sumatera Selatan mencatat jumlah tertinggi dengan 1,410 titik panas; diikuti Riau dengan 480; dan Jambi dengan 425.

Secara keseluruhan, 36,047.64 hektar tanah dilaporkan terbakar di 10 wilayah Sumatera sepanjang 2026.

Di seluruh Indonesia pula, data Polis Nasional yang dikeluarkan pada 23 Ogos menunjukkan kebakaran hutan dan tanah telah merangkumi sekitar 64,341 hektar, dengan kebanyakan kawasan terjejas tertumpu di lima wilayah di Sumatera dan Kalimantan.

Ketua Biro Pembangunan Operasi Ibu Pejabat Polis Nasional, Brigedier Jeneral Auliansyah Lubis, berkata sekitar 62 peratus daripada keseluruhan kawasan yang terbakar sudah berjaya dipadam dan dikawal.

Operasi menangani kebakaran kini melibatkan pasukan darat, rondaan, pengeboman air menggunakan pesawat dan helikopter serta operasi pengubahsuaian cuaca.

Pihak berkuasa turut memberi perhatian khusus kepada kebakaran tanah gambut kerana api boleh merebak di bawah permukaan tanah sebelum muncul semula di lokasi lain, sekali gus menyukarkan usaha memadamkannya sepenuhnya.

Kebakaran itu turut mula menjejas mutu udara di beberapa bandar di Sumatera.

Pekanbaru di Riau mencatat Indeks Mutu Udara (AQI) 225, yang dikategorikan sebagai “sangat tidak sihat”; manakala Jambi mencatat 187; dan Palembang sebanyak 180.

Pemerintah berkata operasi bukan sahaja bertujuan memadamkan kebakaran sedia ada, malah menghalang kemunculan titik panas baharu serta melindungi penduduk daripada kesan asap.

Ketika bertemu Encik Prabowo, Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Leftenan Jeneral TNI Edy Antariksa, turut melaporkan perkembangan terbaharu mengenai operasi menangani kebakaran di Riau.

Beliau berkata keadaan kebakaran hutan dan tanah di Riau pada 2026 menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya berikutan fenomena cuaca yang lebih kuat.

“Jadi, berbanding dengan 2025, terdapat peningkatan,” katanya.

Lawatan Encik Prabowo ke Riau turut bertujuan memastikan agensi pusat dan wilayah bertindak secara terselaras, terutama ketika kebakaran memasuki fasa kritikal musim kemarau.

Encik Prasetyo berkata Presiden mahu memastikan pemerintah hadir di lapangan dan semua sumber yang diperlukan dapat digerakkan dengan pantas bagi melindungi penduduk serta mengawal kebakaran daripada terus merebak.

Turut berada di Pangkalan Tentera Udara Halim Perdanakusuma bagi mengiringi keberangkatan Encik Prabowo ialah Menteri Luar, Encik Sugiono; Menteri Dalam Negeri, Encik Tito Karnavian; Encik Prasetyo; serta Setiausaha Kabinet, Encik Teddy Indra Wijaya. – Agensi berita.