NEW YORK: Gelombang sokongan terhadap pengiktirafan negara Palestin semakin memuncak, dengan lebih banyak negara dijangka membuat pengumuman rasmi sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-80 di New York pada 22 September.
Perkembangan itu menyusul selepas Britain, Canada dan Australia pada 21 September mengumumkan secara rasmi pengiktirafan mereka terhadap Palestin – satu keputusan bersejarah yang dijangka memberi kesan besar kepada diplomasi sejagat dan perdebatan mengenai penyelesaian dua negara.
Lebih 140 pemimpin dunia akan berkumpul di New York untuk membincangkan isu sejagat, namun topik Palestin dijangka menguasai agenda.
Pada 22 September, para pemimpin akan menyertai persidangan antarabangsa khusus untuk membincangkan penyelesaian aman konflik Palestin-Israel dan pelaksanaan formula dua negara.
Sejak mengisytiharkan kemerdekaan pada 15 November 1988, Palestin kini telah diiktiraf oleh 147 dari 193 negara anggota PBB.
Dengan tambahan negara yang dijangka membuat pengumuman minggu ini, jumlah itu boleh meningkat kepada 157.
Perancis bersama Arab Saudi akan menganjurkan satu persidangan khas mengenai pengiktirafan negara Palestin tersebut.
Beberapa negara Eropah termasuk Perancis, Belgium, Luxembourg, Malta, Portugal, Andorra dan San Marino dijangka mengumumkan pengiktirafan rasmi terhadap Palestin sepanjang sesi kali ini.
Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, pada 20 September turut mengesahkan bahawa Perancis akan mengiktiraf Negara Palestin pada 22 September sempena Perhimpunan Agung PBB di New York.
Encik Macron, pula menghubungi Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, pada 19 September untuk memaklumkan hasrat negaranya mengiktiraf Palestin pada 22 September.
Encik Macron menegaskan bahawa Perancis akan terus mendampingi pihak berkuasa Palestin bagi memastikan reformasi dilaksanakan untuk kestabilan negara masa depan.
Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, dalam satu kenyataan video menegaskan bahawa “masa untuk mengiktiraf negara Palestin sudah tiba”.
“Dalam menghadapi malapetaka yang semakin membesar di Asia Barat, kami bertindak untuk memastikan peluang keamanan dan penyelesaian dua negara terus hidup,” katanya.
“Hari ini (21 September), sebagai perdana menteri, saya dengan jelas menyatakan bahawa United Kingdom (UK) secara rasmi mengiktiraf Negara Palestin.”
Australia pula membuat keputusan selepas mesyuarat Kabinet pada Ogos lalu.
Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, dalam kenyataan di wadah X berkata negaranya kini mengiktiraf aspirasi sah rakyat Palestin untuk memiliki negara sendiri.
“Dengan langkah ini, Australia mengiktiraf aspirasi sah dan lama rakyat Palestin terhadap sebuah negara milik mereka,” katanya.
Perdana Menteri Canada, Mark Carney, menegaskan pengiktirafan itu adalah sebahagian daripada usaha antarabangsa untuk mengekalkan penyelesaian dua negara.
“Sejak 1947, dasar Canada adalah menyokong penyelesaian dua negara bagi mencapai keamanan berkekalan di Asia Barat,” katanya.
Beliau menambah, Canada akan bekerjasama dengan Palestin dan Israel untuk menyokong keamanan, tadbir urus demokratik, bantuan kemanusiaan serta susunan keselamatan.
Kementerian Luar Palestin menyambut baik keputusan ketiga-tiga negara itu dan menyifatkannya sebagai “keputusan berani”.
Timbalan Menteri Luar Palestin, Encik Omar Awadallah, menyatakan pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara merdeka oleh UK, Australia dan Canada sekali lagi mengesahkan bahawa Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas wilayah Palestin yang diduduki.
Belgium menjadi antara negara awal Eropah yang menyatakan kesediaan mereka.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Encik Maxime Prevot, berkata keadaan di Gaza “amat mengerikan” dan boleh dianggap sebagai “pembunuhan beramai-ramai”.
Di Luxembourg, Perdana Menteri Encik Luc Frieden, dan Menteri Luar Encik Xavier Bettel, mengumumkan niat sama di Parlimen mereka, menegaskan langkah itu berpaksikan prinsip penyelesaian dua negara.
Menteri Luar Malta, Encik Christopher Cutajar, pada Julai lalu telah menyatakan negara itu akan mengiktiraf Palestin semasa Perhimpunan Agung PBB pada September ini.
Manakala Portugal melalui Menteri Luarnya, Encik Paulo Rangel, berkata proses pengiktirafan berjalan lancar dan pengumuman rasmi akan dibuat minggu ini.
Andorra pula menandatangani Deklarasi New York dan menyifatkan pengiktirafan Palestin sebagai langkah asas ke arah penyelesaian dua negara.
Parlimen San Marino juga sebulat suara meluluskan usul mendesak pemerintah mereka mengiktiraf Palestin menjelang akhir 2025.
Israel menolak keras gelombang pengiktirafan itu.
Pemerintah pimpinan Encik Benjamin Netanyahu, memberi amaran mereka boleh bertindak balas dengan menggabungkan Tebing Barat sepenuhnya ke dalam wilayah Israel.
Amerika Syarikat turut menyuarakan kebimbangan.
Setiausaha Negara, Encik Marco Rubio, berkata pihaknya telah “memberi amaran” kepada negara-negara Eropah agar tidak meneruskan pengiktirafan.
“Langkah ini hanya akan membuat Hamas berasa lebih berani,” katanya, sambil menambah pengiktirafan itu boleh menyukarkan perjanjian damai di Gaza.
Namun Washington tidak menunjukkan tanda mahu menghalang secara langsung ancaman Israel untuk menguasai Tebing Barat.
Perhimpunan Agung PBB pada 2025 itu berlangsung dalam suasana suram.
Badan dunia itu berdepan krisis kewangan, perang yang berlarutan di Ukraine, Sudan dan Gaza, serta kegagalan mencapai matlamat pembangunan dan perubahan iklim.
“PBB seolah-olah berada dalam keadaan krisis tanpa kawalan,” kata Encik Richard Gowan, Pengarah PBB untuk Kumpulan Krisis Antarbangsa.
Beliau menegaskan perhimpunan kali ini tidak akan memberi jawapan jelas kepada masalah PBB, tetapi memberi gambaran betapa sukar keadaan semasa. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg