PETALING JAYA: Larangan merokok dalam bangunan mesti dikuatkuasakan dengan ketat, kata majoriti golongan yang tidak merokok, pemilik restoran dan pakar-pakar kesihatan, selepas Mahkamah Persekutuan menolak kes yang mencabar undang-undang itu.
Sekalipun mereka menyokong pengharaman itu, para pemilik kedai-kedai makan meminta kerajaan menyemak semula denda yang dikuatkuasakan ke atas restoran di mana perokok didapati melanggar undang-undang tersebut.
“Merokok adalah gangguan serius terhadap kesihatan awam kerana ia bukan sahaja membahayakan kesihatan mereka yang merokok, tetapi juga orang-orang di sekelilingnya,” kata Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Muruga Raj Rajathurai, apabila dihubungi pada Rabu.
Beliau berharap keputusan mahkamah itu dapat memberi dorongan yang lebih besar kepada pihak berkuasa untuk menguatkuasakan pengharaman itu dengan lebih ketat.
“Masih terdapat sebilangan perokok yang melanggar undang-undang ini secara terang-terangan di beberapa kawasan tertentu di negara ini,” kata beliau.
Pada Selasa, panel tiga orang hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak permohonan tujuh individu yang mencabar larangan merokok di kedai-kedai makan.
Tujuh individu itu, yang menamakan diri mereka sebagai Kelab Hak Perokok, juga diarahkan membayar kos RM30,000 ($8,800) kepada Kementerian Kesihatan.
Hujah mereka adalah, perbuatan merokok dibolehkan menurut perlembagaan dan ia bukan suatu perbuatan haram.
Pada 23 November 2022, hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan pengharaman itu dan memutuskan bahawa merokok di tempat awam bukan hak asas yang tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Spesialis perubatan kesihatan awam, Datuk Dr Zainal Arifin Omar, berkata tidak diragukan lagi tentang mandat undang-undang kerajaan untuk menguatkuasakan pengharaman ini secara “saksama dan bersesuaian” dengan keputusan mahkamah itu.
Dengan pengharaman itu, mereka yang didapati merokok atau menghisap vape di kawasan-kawasan yang dilarang, boleh dikenakan denda kompaun RM250 atau RM10,000 jika dibawa ke mahkamah.
Presiden Persatuan Pemilik Restoran Islam Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan, turut bersetuju dengan keputusan mahakamah itu.
“Restoran dan kedai-kedai makan juga adalah tempat keluarga berkumpul, terutama pada hujung minggu. Pengharaman itu akan dapat memastikan ibu bapa dan terutama kanak-kanak tidak terdedah kepada asap rokok yang membahayakan itu,” katanya.
Pengendali restoran yang tidak meletakkan tanda larangan merokok boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga enam bulan.
Pemilik restoran yang didapati gagal bertindak terhadap perokok di premis mereka pula boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara setahun. – The Star.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg