TEBING BARAT: Seorang lelaki bersenjata yang menyeberang dari Jordan telah membunuh tiga orang awam Israel di sempadan Lintasan Jambatan Allenby di Tebing Barat, yang diduduki Israel, pada 8 September, kata pihak berkuasa Israel.
Pasukan keselamatan kemudian menembak mati lelaki itu.
Ia serangan seumpama itu yang pertama di sempadan dengan Jordan sejak kumpulan Hamas melakukan serangan ke atas selatan Israel pada 7 Oktober, mencetuskan perang di Gaza yang telah meningkatkan ketegangan di seluruh wilayah tersebut.
Serangan itu berlaku di kawasan kargo komersial di bawah kawalan Israel, tempat trak Jordan memunggah kargo memasuki Tebing Barat, kata pegawai.
Lintasan itu, dikenali juga sebagai Jambatan Raja Hussein, terletak di pertengahan antara Amman, Jordan, dengan Baitulmakdis di utara Laut Mati.
Penyerang adalah seorang pemandu trak berusia 39 tahun yang berasal dari suku Huwaitat, yang berpengaruh di selatan Jordan, menurut anggota keluarganya.
“Seorang pengganas menghampiri kawasan Jambatan Allenby dari Jordan dengan sebuah trak, keluar dari trak dan melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan Israel yang beroperasi di jambatan itu,” kata tentera Israel.
“Pengganas itu telah dibunuh oleh pasukan keselamatan, tiga orang awam Israel disahkan mati akibat serangan tersebut,” tambahnya.
Jordan sedang menyiasat kejadian itu dan seorang pegawai negara itu berkata lintasan tersebut telah ditutup.
Pengurus lintasan Israel berkata tiga pekerja mati ditembak dari jarak dekat oleh pemandu yang melintas dari Jordan.
Israel dan Jordan menandatangani perjanjian damai pada 1994 dan mempunyai hubungan keselamatan yang rapat.
Berpuluh-puluh treler menyeberang setiap hari dari Jordan, dengan barangan dari Jordan dan Teluk yang membekalkan kedua-dua Tebing Barat dan pasaran Israel.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengutuk serangan itu dan mengaitkannya dengan konflik Israel yang lebih besar dengan Iran dan kumpulan bersekutu militan.
Presiden Israel, Encik Isaac Herzog, menggesa semua pihak supaya menyiasat kejadian itu bagi mengelakkan kejadian tersebut daripada berulang. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg