URLINGTON (Vermont): Seorang lelaki Amerika Syarikat didapati bersalah atas tiga tuduhan cubaan membunuh tiga pelajar berketurunan Palestin yang ditembak ketika berjalan menuju ke rumah saudara mereka di Vermont pada 2023.

Juri pada 21 September menolak hujah pembelaan bahawa Jason Eaton, 51 tahun, tidak boleh dipertanggungjawabkan dari segi jenayah kerana mengalami gangguan delusi ketika melakukan serangan itu.

Eaton didapati bersalah atas tiga tuduhan cubaan membunuh tahap kedua dan boleh berdepan hukuman sehingga penjara seumur hidup.

Mangsa, Encik Hisham Awartani, Encik Kinnan Abdalhamid dan Encik Tahseen Aliahmad, masing-masing berusia 20 tahun ketika kejadian pada 25 November 2023.

Ketiga-tiga mereka merupakan sahabat sejak kecil di Tebing Barat dan sedang menuntut di universiti berbeza di Amerika Syarikat.

Mereka berada di Burlington untuk menghabiskan cuti Thanksgiving bersama keluarga seorang daripada mereka.

Sekitar 6.30 petang, mereka berjalan menuju ke rumah untuk makan malam sambil berbual dalam bahasa Arab dan Inggeris. Dua daripada mereka memakai keffiyeh, kain tradisional Palestin.

Menurut keterangan di mahkamah, Eaton muncul kira-kira tiga meter dari mereka sebelum mengeluarkan pistol dan melepaskan tembakan.

Encik Awartani, yang ketika itu menuntut di Universiti Brown, ditembak pada tulang belakang dan lumpuh dari bahagian dada ke bawah.

Encik Aliahmad, pelajar Kolej Trinity, ditembak di dada, manakala Encik Abdalhamid, yang menuntut di Kolej Haverford, ditembak di bahagian belakang badan.

Ketiga-tiga mangsa memberi keterangan dalam perbicaraan minggu lalu dan menceritakan semula serangan yang berlaku kurang dua bulan selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Pendakwa raya turut memainkan rakaman panggilan kecemasan yang dibuat Encik Awartani beberapa minit selepas ditembak.

Dalam rakaman itu, beliau memberitahu petugas talian kecemasan: “Saya rasa saya akan mati.”

Isu keadaan mental Eaton menjadi tumpuan utama perbicaraan.

Peguam bela berhujah bahawa Eaton mengalami gangguan delusi yang tidak didiagnosis dan percaya ejen pemerintah bercakap dengannya melalui radio serta mengarahkannya menembak ketiga-tiga lelaki tersebut.

Pakar psikiatri forensik yang memberi keterangan bagi pihak pembelaan, Dr Fabian Saleh, berkata Eaton tidak memahami bahawa tindakannya adalah satu kesalahan jenayah ketika serangan berlaku.

Rakaman perbualan Eaton dengan peguamnya beberapa hari selepas kejadian turut dimainkan di mahkamah.

Dalam rakaman itu, Eaton mendakwa mendengar pelbagai suara yang dipercayainya datang daripada ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA), dan kadangkala suara datuknya.

Menurutnya, suara tersebut mengarahkannya melakukan keganasan bagi melindungi sebuah keluarga Yahudi di kawasan kejiranannya.

Eaton berkata selepas melihat tiga pelajar itu melalui tingkap rumahnya, beliau turun ke jalan, menembak mereka dan kembali ke apartmennya.

Pakar psikiatri yang memberi keterangan untuk pihak pendakwaan bagaimanapun mempertikaikan bahawa Eaton mengalami psikosis atau tidak waras dari segi undang-undang ketika serangan.

Dr Jhilam Biswas berkata beliau mendiagnosis Eaton mengalami gangguan penggunaan bahan berkaitan pengambilan ganja dan alkohol secara berlebihan, yang mungkin menyumbang kepada perasaan curiganya pada hari kejadian.

Juri mengambil masa kira-kira dua jam untuk mencapai keputusan bersalah.

Selepas keputusan diumumkan, keluarga ketiga-tiga mangsa berkata keputusan itu mengesahkan Eaton bertanggungjawab atas tindakannya.

“Ia tidak dapat mengubah apa yang berlaku atau menghapuskan trauma yang masih ditanggung keluarga kami, tetapi ia mengesahkan sesuatu yang asas: Jason Eaton bertanggungjawab atas apa yang dilakukannya,” kata ibu Encik Awartani, Cik Elizabeth Price.

Keluarga mangsa bagaimanapun terus mempersoalkan keputusan pihak berkuasa untuk tidak mendakwa Eaton atas jenayah kebencian.

Mereka menegaskan bahawa ketiga-tiga mangsa berketurunan Palestin, dua daripada mereka memakai keffiyeh dan mereka sedang bercakap dalam bahasa Arab ketika ditembak.

“Ini adalah jenayah kebencian. Kami telah berkata demikian sejak awal,” kata keluarga itu dalam satu kenyataan.

“Undang-undang tidak pernah memaksanya menjawab atas perkara itu. Tetapi kami tahu apa yang dilakukannya.”

Pendakwa raya sebelum ini berkata bukti yang diperlukan untuk membuktikan motif kebencian melampaui keraguan munasabah tidak mencukupi, termasuk ketiadaan kenyataan langsung daripada Eaton yang menunjukkan serangan itu didorong prasangka terhadap mangsa.

Isu keffiyeh turut mencetuskan pertikaian sebelum perbicaraan bermula.

Hakim John Pacht mengarahkan pemerhati di galeri mahkamah, termasuk aktivis pro-Palestin yang hadir menyokong mangsa, menanggalkan keffiyeh kerana bimbang ia boleh mempengaruhi juri.

Ketiga-tiga mangsa bagaimanapun dibenarkan memakai keffiyeh ketika berada di mahkamah. - Agensi berita