Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki S’pura ditahan akibat laporan bom palsu di lapangan terbang Bangkok

Nov 24, 2024 | 3:38 PM
Suspek (kiri) dilaporkan mengaku bahawa dia membuat panggilan mengenai bom palsu itu kerana tertekan dengan masalah keluarga. 
Suspek (kiri) dilaporkan mengaku bahawa dia membuat panggilan mengenai bom palsu itu kerana tertekan dengan masalah keluarga.  - Foto FACEBOOK KHAOSOD ENGLISH

BANGKOK: Polis Imigresen Thailand telah menahan seorang lelaki Singapura pada 22 November kerana disyaki membuat laporan palsu mengenai bahan letupan di sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok.

Lelaki itu ditahan di terminal penumpang lapangan terbang pada waktu petang. 

Dia juga didapati sudah berada di negara itu lebih dari tempoh visa 28 hari yang dibenarkan, kata polis dalam satu sidang media pada 23 November.

Polis berkata seorang pegawai lapangan terbang menerima panggilan telefon daripada individu yang tidak diketahui namanya, pada 2.47 petang, 21 November, yang mendakwa terdapat bahan letupan di dalam pesawat AirAsia yang menuju ke Hat Yai, wilayah Songkhla.

Penerbangan itu dikenal pasti sebagai FD 3114 – membawa 162 penumpang dan enam kru kabin, dan sedang bersedia untuk berlepas ke Hat Yai. 

Lapangan terbang segera menghentikan pesawat itu daripada berlepas, mengosongkan pesawat, dan membawa pesawat kembali ke tempat letak kenderaan untuk pemeriksaan.

Tiada sebarang objek mencurigakan ditemui di dalam pesawat atau di kalangan penumpang ketika pemeriksaan dijalankan. Justeru, pihak berkuasa membatalkan situasi kecemasan pada 7.30 malam. 

Menurut seorang pegawai lapangan terbang, insiden tersebut telah memberi kesan besar kepada jadual penerbangan dan perjalanan penumpang.

Pada 22 November, pihak polis Thailand berjaya mengesan nombor telefon tersebut dan mendapati pemiliknya masih berada di kawasan Don Mueang. Mereka menahan lelaki itu di terminal penumpang sekitar 7 malam.

Suspek dilaporkan membuat pengakuan bahawa dia membuat panggilan tersebut kerana tertekan dengan masalah keluarga. 

Dia kemudian dihantar ke balai polis Don Mueang untuk didakwa atas kesalahan berada di negara itu melebihi tempoh visa yang dibenarkan.

Pihak polis menyatakan bahawa siasatan sedang dijalankan dan akan mempertimbangkan untuk mengenakan lebih banyak tuduhan berkaitan kepadanya. 

Suspek juga berkemungkinan disaman oleh pihak lapangan terbang dan syarikat bagi menuntut ganti rugi, tambah polis.

Siasatan lanjut mendapati bahawa lelaki itu telah memasuki Thailand beberapa kali menggunakan kad perjalanan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) dan tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.

Bagi pelanggaran undang-undang penerbangan, lelaki tersebut berhadapan hukuman penjara sehingga 15 tahun, denda maksimum 600,000 baht ($23,400), atau kededuanya sekali. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg