Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiada bom ditemui dalam pesawat Air India Express

Dua jet F-15 RSAF iringi pesawat sebelum mendarat; Ancaman bom diterima sewaktu penerbangan dari India ke S’pura
Oct 16, 2024 | 2:28 PM
Dua jet pejuang F-15 dari Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) telah bergegas mengiringi pesawat itu jauh daripada kawasan yang sesak. Pesawat itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Changi.
Dua jet pejuang F-15 dari Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) telah bergegas mengiringi pesawat itu jauh daripada kawasan yang sesak. Pesawat itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Changi. - Foto FACEBOOK NG ENG HEN

Tiada bom ditemui dalam pesawat Air India Express menuju ke Singapura dari India, kata polis pada 16 Oktober selepas menyelesaikan pemeriksaan keselamatan ke atas penerbangan tambang murah itu di Lapangan Terbang Changi.

Pesawat itu selamat mendarat lebih sejam selepas jadual ketibaannya.

Syarikat penerbangan itu menerima e-mel mengenai dakwaan ancaman bom dalam penerbangan AXB684 menuju ke Singapura dari bandar selatan India, Madurai yang mendarat di Lapangan Terbang Changi, diiringi pesawat pejuang pada 15 Oktober. 

Dua jet pejuang F-15 dari Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) bergegas mengiringi pesawat itu, yang mendarat di Lapangan Terbang Changi pada 10.04 malam, lebih sejam selepas ia dijadualkan tiba.

Menjawab pertanyaan, polis berkata mereka dimaklumkan mengenai ancaman bom itu pada 8.25 malam dan selesaikan pemeriksaan selepas pesawat mendarat.

Siasatan sedang dijalankan dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang dengan sengaja menimbulkan kebimbangan awam, tambah polis.

Alat menjejak penerbangan, Flightradar24, menunjukkan pesawat itu berlegar kira-kira sejam di timur Singapura sebelum mendarat.

Dalam catatan Facebook, Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen berkata: 

“Dua daripada pesawat F-15SG RSAF kami bergegas dan iringi pesawat itu meninggalkan kawasan berpenduduk, dan akhirnya ia mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Changi Singapura, sekitar 10.04 malam.

“Sistem Pertahanan Udara Berasaskan Darat dan pasukan Pelupusan Senjata Api dan Letupan juga diaktifkan.”

Sejurus mendarat, pesawat itu diserahkan kepada polis lapangan terbang, tambahnya. Siasatan sedang dijalankan.

“Terima kasih atas dedikasi dan profesionalisme Angkatan Bersenjata Singapura dan Home Team yang memastikan keselamatan, walaupun ancaman wujud di sekeliling kita.”

Media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya lima penerbangan India menerima ancaman bom pada 15 Oktober menyebabkan pemeriksaan kecemasan, dengan sekurang-kurangnya dua penerbangan melakukan pendaratan kecemasan.

Penerbangan Air India Express ke Ayodhya pada 15 Oktober menerima ancaman bom melalui panggilan telefon, lapor The Times of India, sambil menambah bahawa penerbangan itu kemudian melakukan pendaratan cemas.

Sebuah pesawat Air India, yang terbang dari ibu negara India, New Delhi, ke Chicago, terpaksa melakukan pendaratan cemas di Canada.

Syarikat penerbangan itu berkata ia menjadi mangsa “ancaman keselamatan yang disiarkan dalam talian” dan sebagai “langkah berjaga-jaga” mendarat di Lapangan Terbang Iqaluit di Canada, lapor AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg