NEW YORK: Lembaga Keamanan yang dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, membentangkan pelan AS$2.45 bilion ($3.1 bilion) bagi memulakan pemulihan Gaza dalam tempoh enam bulan, merangkumi penyediaan tempat perlindungan sementara, pembersihan runtuhan dan pemulihan prasarana asas.

Pelan itu, yang diumumkan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 23 September, mengandungi 66 projek sebagai fasa awal usaha membangunkan semula wilayah Gaza yang musnah akibat perang.

Projek berkenaan meliputi pemulihan prasarana, pendidikan dan kesihatan, selain usaha menghidupkan semula kegiatan ekonomi serta mewujudkan pentadbiran peralihan di Gaza.

Lebih AS$1 bilion diperuntukkan bagi pembangunan prasarana, termasuk kira-kira AS$400 juta untuk tempat perlindungan sementara, AS$275 juta bagi membersihkan runtuhan dan bahan letupan yang belum meletup, AS$50 juta untuk membaik pulih hospital serta AS$30 juta bagi membaiki rangkaian jalan raya.

Pelan itu turut merangkumi usaha memulihkan bekalan elektrik dan air, membaiki lintasan sempadan serta menyediakan 25,000 kit tenaga suria mudah alih.

Lembaga itu menganggarkan kerosakan fizikal di Gaza bernilai sekitar AS$35.2 bilion, manakala keseluruhan proses pemulihan dan pembinaan semula dijangka memerlukan kira-kira AS$71.4 bilion dalam tempoh sedekad akan datang.

Pelaksanaan pelan itu bagaimanapun berdepan cabaran besar, terutama berkaitan soal keselamatan, pelucutan senjata Hamas, pengunduran tentera Israel, pembentukan pentadbiran Palestin dan pembiayaan daripada penderma antarabangsa.

Pelan lebih luas yang disokong Amerika menetapkan bahawa pembinaan semula Gaza perlu dilaksanakan seiring dengan usaha menjadikan wilayah itu bebas daripada kegiatan ketenteraan, termasuk Hamas menyerahkan senjatanya dan tentera Israel berundur secara berperingkat.

Ketua Pesuruhjaya Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza (NCAG), Encik Ali Shaath, berkata pembinaan semula dirancang dilaksanakan secara berperingkat mengikut kawasan, bermula di Rafah sebelum bergerak ke Khan Younis, kawasan tengah, Bandar Gaza dan utara Gaza.

Menurutnya, proses itu akan bergerak seiring dengan Hamas menyerahkan pentadbiran dan senjata serta tentera Israel berundur. Beliau turut menegaskan penduduk Palestin tidak harus dipindahkan keluar dari Gaza.

“Kami mahu mereka kekal dan hidup di Gaza, dengan harapan dan kemakmuran,” katanya.

Anggota Lembaga Eksekutif Gaza yang juga menantu Encik Trump, Encik Jared Kushner, mengakui pelaksanaan rancangan itu mengalami beberapa kelewatan.

Beliau berkata pertemuan di New York bertujuan menunjukkan bahawa pihak terbabit kekal komited melaksanakan rancangan berkenaan meskipun kemajuan di lapangan setakat ini terbatas.

Utusan khas Amerika ke Timur Tengah, Encik Steve Witkoff, pula berkata beberapa kemajuan telah dicapai sepanjang 2025, termasuk mengekalkan gencatan senjata meskipun ia masih rapuh serta meningkatkan usaha bantuan kemanusiaan.

Namun, Lembaga Keamanan masih perlu mendapatkan sokongan kewangan yang besar daripada masyarakat antarabangsa sebelum sebahagian besar projek dapat dilaksanakan.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, berkata beberapa negara sudah tampil menawarkan bantuan kewangan dan lebih banyak negara sedang digalak menyertai usaha itu.

Satu lagi cabaran utama ialah mewujudkan keadaan keselamatan yang membolehkan kerja pembinaan semula dilakukan.

Selain bahan letupan yang belum meletup di kawasan runtuhan, terdapat rangkaian terowong bawah tanah yang perlu ditangani sebelum projek tertentu dapat dimulakan.

Pelan itu turut memperuntukkan dana bagi komponen “keamanan dan keselamatan”, termasuk usaha menyokong proses pelucutan senjata dan mewujudkan pasukan keselamatan yang dapat membantu menstabilkan Gaza.

Wakil Tinggi Lembaga Keamanan bagi Gaza, Encik Nickolay Mladenov, mengakui rundingan dengan Israel kekal sukar, terutama menjelang pilihan raya negara itu pada Oktober.

“Dengan mengambil kira kerumitan apa yang sedang kami hadapi, saya fikir kami sedang mencapai kemajuan, secara perlahan dan berterusan,” katanya.

Pelaksanaan rancangan itu sebelum ini tersekat apabila beberapa syarat utama gencatan senjata tidak dipenuhi sepenuhnya.

Tentera Israel dilaporkan masih menguasai kira-kira 60 peratus Gaza, Hamas belum menyerahkan senjatanya, manakala pasukan keselamatan antarabangsa dan pentadbiran Palestin yang dirancang masih belum ditempatkan sepenuhnya di wilayah itu.

Lembaga Keamanan ditubuhkan sebagai sebahagian daripada rancangan 20 perkara Encik Trump bagi Gaza dan diberi peranan menyelia proses peralihan, keselamatan, pentadbiran serta pembinaan semula wilayah itu.

Encik Kushner berkata kerja persediaan tetap perlu diteruskan sementara menunggu persetujuan politik yang membolehkan rancangan itu dilaksanakan.

Pengumuman terbaru itu dibuat ketika pemimpin dunia berhimpun di New York bagi Perhimpunan Agung PBB, dengan keadaan kemanusiaan di Gaza dan masa depan wilayah Palestin itu terus menjadi antara isu utama yang dibincangkan. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti