Topik diikuti
Pergi ke BHkuLembaga Keamanan anugerah kontrak pertama bina pangkalan tentera di Gaza
Uganda bakal sertai pasukan antarabangsa bagi menstabilkan Gaza
BAITULMAKDIS: Lembaga Keamanan yang ditubuhkan di bawah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi menyelia pembinaan semula Gaza dilaporkan mengeluarkan kontrak pembinaan pertamanya di wilayah itu, membabitkan sebuah pangkalan tentera sementara untuk menempatkan anggota tentera Maghribi yang bakal menyertai Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF).
Kontrak yang masih dalam peringkat dimuktamadkan itu dianugerahkan kepada Arkel International, sebuah syarikat berpangkalan di Louisiana, Amerika Syarikat, yang sebelum ini pernah melaksanakan projek untuk pemerintah Amerika di beberapa negara, termasuk Iraq.
Seorang pegawai Lembaga Keamanan memberitahu The Guardian dan mengesahkan beberapa kontrak sedang dimuktamadkan bersama Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza (NCAG), iaitu kumpulan teknokrat Palestin yang diwujudkan untuk mentadbir Gaza selepas konflik.
Menurut pegawai itu, salah satu kontrak berkenaan melibatkan pembinaan kemudahan bagi menyokong ISF yang akan membantu melaksanakan pelan keselamatan dan pentadbiran di Gaza.
“Kontrak ini akan menjadi antara beberapa projek penting yang akan menyokong masa depan Gaza,” katanya.
Pengumuman itu dibuat hanya beberapa hari selepas Encik Trump mendakwa Hamas bersetuju melaksanakan proses melucutkan senjata sebagai sebahagian daripada pelan damai yang dicadangkannya.
Bagaimanapun, pelaksanaan proses itu masih menjadi tanda tanya kerana belum jelas bagaimana Hamas akan menyerahkan senjatanya, manakala pemerintahan Israel terus menolak rancangan berkenaan serta meningkatkan serangan udara di Gaza selepas kenyataan Trump.
Menurut sumber yang mengetahui projek itu, pangkalan tentera berkenaan hanya berkeluasan kira-kira 100 meter x 120 meter dan direka untuk menempatkan sekitar 150 anggota tentera Maghribi yang akan bertugas secara bergilir-gilir dari sebuah pangkalan di Israel.
Kemudahan itu akan dibina di kawasan yang kini berada di bawah kawalan langsung tentera Israel, yang meliputi kira-kira 60 peratus wilayah Gaza.
Tentera Israel turut mewujudkan zon penampan keselamatan di luar kawasan itu.
Sumber berkenaan berkata, lokasi pangkalan dipilih kira-kira 1.6 kilometer dari sempadan Israel serta mempunyai laluan pemindahan pantas sekiranya anggota ISF diserang.
Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang meluluskan penubuhan Lembaga Keamanan sebelum ini turut memperuntukkan penempatan ISF bagi membantu menstabilkan keadaan di Gaza.
Walaupun Maghribi sudah menyatakan kesediaan menyumbang sejumlah kecil anggota, rangka kerja perundangan bagi penempatan ISF masih belum dimuktamadkan dan tarikh sebenar penugasannya juga belum diputuskan.
Dokumen kontrak terdahulu menunjukkan pangkalan kecil itu hanyalah fasa pertama sebelum pembinaan sebuah pangkalan tentera yang mampu menempatkan sehingga 5,000 anggota ISF.
Pelan asal itu merangkumi pembinaan kubu pertahanan, kedudukan kenderaan tempur serta benteng tanah di sekeliling pangkalan.
Pada peringkat awal, kemudahan yang disediakan hanya terdiri daripada khemah, katil lipat, tandas mudah alih dan stesen mencuci tangan bagi membolehkan anggota tinggal untuk tempoh singkat.
Ketika mengumumkan pelan damainya pada Februari 2025, Encik Trump berkata Amerika akan “mengambil alih” dan “memiliki” Gaza.
Bagaimanapun, perjanjian yang menubuhkan Lembaga Keamanan tidak memberikan kuasa sedemikian.
Lembaga Keamanan ditubuhkan pada Januari lalu bagi menyelaras pelaksanaan pelan damai dan pembinaan semula Gaza.
Badan itu dipengerusikan oleh Encik Trump, manakala menantunya, Encik Jared Kushner, serta utusan khas Timur Tengah, Encik Steve Witkoff, antara tokoh yang menerajui operasinya.
Dalam mesyuarat pertama lembaga itu pada Januari lalu, Encik Kushner turut membentangkan pelan induk “Gaza Baru” yang membayangkan pembinaan sebuah bandar moden di pesisir pantai dengan bangunan bercampur, kawasan komersial serta industri baharu.
Namun, rancangan berskala besar itu kemudiannya dikecilkan kepada beberapa projek perintis di selatan Gaza selepas berdepan pelbagai cabaran politik dan keselamatan.
Menurut anggaran antarabangsa, sekurang-kurangnya 80 peratus bangunan di Gaza rosak atau musnah akibat peperangan.
Walaupun gencatan senjata sudah berkuat kuasa hampir 10 bulan, sebahagian besar daripada kira-kira dua juta penduduk Gaza masih tinggal di khemah sementara dan penempatan yang serba kekurangan.
Dalam perkembangan berkaitan, Parlimen Uganda meluluskan usul yang membolehkan negara itu menghantar anggota tenteranya ke Gaza sekiranya diperlukan sebagai sebahagian daripada ISF.
Menteri Pertahanan Uganda, Encik Kiryowa Kiwanuka, memberitahu Parlimen bahawa Encik Trump, menerusi wakilnya, menghubungi Presiden Yoweri Museveni pada Julai lalu bagi mendapatkan sumbangan Uganda kepada pasukan berkenaan.
“Susulan jemputan daripada Donald Trump, Presiden Uganda bersedia menghantar kontinjen Angkatan Pertahanan Rakyat Uganda ke Gaza sekiranya diperlukan,” katanya.
Semasa perbahasan, beberapa ahli Parlimen membangkitkan persoalan mengenai rangka kerja undang-undang yang akan mengawal penempatan tentera Uganda.
Encik Kiwanuka menjelaskan perjanjian status pasukan akan dimeterai selepas kelulusan Parlimen diperoleh.
Uganda mempunyai pengalaman luas menyertai misi pengaman antarabangsa dan kini menempatkan anggota tenteranya di beberapa negara, termasuk Somalia, Sudan Selatan dan Republik Demokratik Congo.
Di bawah pelan damai Trump, Gaza dijangka menerima bantuan kemanusiaan secara besar-besaran, ditadbir oleh NCAG, diikuti proses lupus senjata Hamas serta pengunduran tentera Israel secara berperingkat.
Bagaimanapun, pelaksanaan pelan itu masih tergendala, manakala NCAG belum memulakan pentadbirannya di Gaza dan penempatan ISF juga masih menunggu persetujuan politik serta penyelesaian aspek perundangan antara negara yang terlibat. - Agensi berita
