Topik diikuti
Pergi ke BHkuLembaga Keamanan jamin Israel undur dari Gaza hanya selepas Hamas lucut senjata
Lembaga Keamanan jamin Israel undur dari Gaza hanya selepas Hamas lucut senjata
Lembaga Keamanan jamin Israel undur dari Gaza hanya selepas Hamas lucut senjata
BAITULMAKDIS: Lembaga Keamanan (BoP) pimpinan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi jaminan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa pengunduran tentera Israel dari Gaza hanya akan bermula selepas Hamas melengkapkan proses pelucutan senjata sepenuhnya, sekali gus meredakan kebimbangan Tel Aviv terhadap pelaksanaan pelan damai berkenaan.
Jaminan itu diberikan selepas pemerintah Israel membantah dokumen pelan hala tuju yang diterbitkan Lembaga Keamanan pada 31 Julai lalu kerana menyatakan Israel perlu memulakan pengunduran secara berperingkat dari Gaza, selain menghentikan segera operasi ketenteraannya di wilayah Palestin itu.
Bantahan itu turut mendorong dua anggota Kabinet Keselamatan Israel menggesa supaya pelan yang disokong Encik Trump itu dibatalkan dan diundi semula kerana mendakwa kandungan dokumen yang diterbitkan berbeza daripada versi yang sebelum ini dibentangkan kepada kabinet.
Bagi menjelaskan kedudukan sebenar, Wakil Tinggi Gaza di bawah Lembaga Keamanan, Encik Nikolay Mladenov, mengadakan pertemuan dengan Encik Netanyahu di Baitulmakdis pada 3 Ogos bagi membincangkan pelaksanaan perjanjian pelucutan senjata yang dipersetujui Hamas bersama negara pengantara.
Dalam satu kenyataan selepas pertemuan itu, Lembaga Keamanan memaklumkan kedua-dua pihak mencapai “persefahaman bersama mengenai objektif yang dikongsi”, sekali gus mengesahkan pengunduran Israel tidak akan berlaku sehingga Hamas menyelesaikan proses melucutkan semua senjata seperti yang dijanjikan kepada negara pengantara.
Menurut kenyataan itu, pengunduran tentera Israel melepasi Garisan Kuning iaitu kawasan yang masih berada di bawah pengaruh Hamas, hanya akan dilaksanakan selepas proses pelucutan senjata selesai sepenuhnya.
“Lembaga Keamanan dan Israel berkongsi matlamat yang sama iaitu memastikan Gaza bebas daripada kumpulan bersenjata dan beralih kepada pentadbiran awam,” menurut kenyataan itu.
Walaupun pengunduran itu dilaksanakan kelak, Israel masih akan mengekalkan kawalan keselamatan di sebahagian besar Gaza mengikut syarat gencatan senjata yang dipersetujui pada Oktober tahun 2025 lalu.
Sebelum ini, Encik Trump menyifatkan persetujuan Hamas untuk menyerahkan senjata kepada Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza (NCAG) sebagai “pencapaian besar” dalam usaha menamatkan konflik yang berlarutan hampir tiga tahun.
Menurut Lembaga Keamanan, matlamat utama pelan pascaperang itu adalah memastikan semua senjata di Gaza dilucutkan, sekali gus menamatkan pemerintahan berasaskan kekuatan senjata dan membuka laluan kepada pentadbiran awam yang baharu di bawah NCAG.
Bagaimanapun, pemerintahan Israel menegaskan versi dokumen yang didedahkan kepada umum tidak menggambarkan pendiriannya.
Jurucakap Pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Doron Spielman, berkata Israel sudah menyampaikan kebimbangan keselamatannya kepada Amerika Syarikat.
Katanya, Hamas masih belum membuktikan ia benar-benar bersedia meninggalkan perjuangan bersenjata.
“Langkah pertama yang tidak boleh dikompromi bagi sebarang penyelesaian berkekalan ialah pelucutan senjata Hamas yang tulen, boleh disahkan dan tidak boleh dipulihkan semula,” katanya.
Menteri Kewangan Israel berhaluan kanan, Encik Bezalel Smotrich, pula mendakwa kandungan dokumen yang diterbitkan Lembaga Keamanan “sama sekali berbeza” daripada teks yang dibincangkan Kabinet Keselamatan Israel.
Beliau bersama seorang lagi anggota kabinet menggesa mesyuarat khas diadakan segera bagi menilai semula keseluruhan pelan damai berkenaan.
Perkembangan itu menyerlahkan perbezaan pendirian yang semakin ketara antara Encik Trump dan Encik Netanyahu walaupun kedua-dua pemimpin sering menonjolkan hubungan rapat mereka.
Hubungan itu turut diuji dalam isu Iran apabila Encik Trump memilih pendekatan diplomatik bagi menamatkan konflik, sedangkan Israel kekal berhati-hati terhadap sebarang rundingan dengan Teheran.
Sementara itu, Presiden Israel, Encik Isaac Herzog, menyifatkan perkembangan terbaharu itu sebagai langkah positif ke arah keamanan, namun menegaskan syarat utama tetap tidak berubah iaitu Hamas mesti dilucutkan senjata sepenuhnya.
Dalam perkembangan berkaitan, tokoh politik Palestin, Mohammad Dahlan, yang memainkan peranan penting dalam pelan pentadbiran pascaperang Gaza, berkata beliau telah berhubung dengan menantu Encik Trump, Encik Jared Kushner.
Menurut Encik Dahlan, Encik Kushner pada mulanya memaklumkan Israel akan menghentikan serangan di Gaza mulai 2 Ogos.
Bagaimanapun, beliau kemudian membetulkan kenyataannya dengan menjelaskan Encik Kushner masih sedang berusaha mendapatkan persetujuan Israel bagi menghentikan serangan itu.
Encik Dahlan turut menuduh Encik Netanyahu menghalang peluang terbaik untuk menamatkan perang yang telah memusnahkan Gaza.
Walaupun usaha diplomatik dipertingkatkan, keganasan di lapangan masih berterusan.
Jurucakap Pasukan Pertahanan Awam Gaza, Encik Mahmoud Bassal, berkata dua rakyat Palestin terbunuh manakala beberapa lagi cedera apabila sebuah kenderaan diserang Israel di barat Bandar Gaza pada petang 3 Ogos.
Tentera Israel mengesahkan serangan itu dengan mendakwa ia menyasarkan dua anggota kumpulan bersenjata.
Sehari sebelumnya, sekurang-kurangnya 19 rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, dilaporkan terbunuh dalam beberapa serangan Israel di Gaza.
Pada lewat 3 Ogos, Qatar, Mesir dan Turkey yang menjadi pengantara gencatan senjata mengeluarkan kenyataan bersama mengutuk serangan baharu Israel di Gaza.
Mereka mengecam apa yang disifatkan sebagai pelanggaran berterusan terhadap gencatan senjata, termasuk serangan ke atas kemudahan kesihatan dan infrastruktur awam serta kematian orang awam, khususnya wanita dan kanak-kanak. - Agensi berita