GAZA: Lembaga Keamanan (BoP) menggesa semua pihak menghentikan peningkatan ketegangan di Gaza selepas serangan udara pemerintahan Israel sejak dua hari lalu mengorbankan orang awam dan memusnahkan bekalan perubatan penting, sekali gus mengancam pelaksanaan pelan damai yang diusahakan selama berbulan-bulan.

Ketua Pengarah BoP merangkap Wakil Tinggi bagi Gaza, Encik Nikolay Mladenov, berkata serangan berterusan itu berlaku ketika pihaknya bersama Mesir, Turkey, Qatar dan Amerika Syarikat sedang berusaha melaksanakan pelan damai yang diumumkan Presiden Donald Trump.

“Serangan selama dua hari di seluruh Gaza mengorbankan orang awam serta memusnahkan bekalan perubatan yang amat diperlukan penduduk,” katanya menerusi hantaran di platform X, pada 2 Ogos.

Menurut beliau, usaha semasa BoP tertumpu kepada pelaksanaan pelan menyeluruh yang merangkumi penyerahan pentadbiran awam Gaza kepada pentadbiran Palestin yang baharu, pelucutan senjata kumpulan bersenjata Palestin serta penubuhan pemerintahan awam bagi menguruskan wilayah itu.

Beliau menegaskan kedua-dua pihak mempunyai tanggungjawab di bawah Pelan Komprehensif dan Perjanjian Sharm el-Sheikh yang membawa kepada pembebasan semua tebusan.

“Saya dan pasukan bekerja sepanjang masa bersama semua pihak, negara pengantara dan rakan serantau bagi meredakan ketegangan serta mewujudkan ruang untuk pelaksanaan penuh pelan Presiden Trump.

“Mencapai keamanan berkekalan memang sukar, tetapi ia boleh dicapai sekiranya semua pihak memberikan komitmen terbaik,” katanya.

Kenyataan Encik Mladenov dibuat ketika pemerintahan Israel meningkatkan operasi ketenteraan di Gaza walaupun Hamas sebelum ini bersetuju menerima pelan pelucutan senjata yang dirangka BoP selepas rundingan berbulan-bulan.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 18 penduduk Palestin, termasuk tiga kanak-kanak dan seorang bayi dalam kandungan, terbunuh dalam siri serangan pada 2 Ogos, sehari selepas lapan lagi terbunuh dalam serangan berasingan.

Di Khan Younis, sepasang suami isteri bersama anak lelaki mereka yang berusia sembilan tahun dilaporkan terbunuh apabila sebuah rumah menjadi sasaran serangan udara.

Di Deir el-Balah pula, seorang lelaki dan seorang wanita maut selepas bangunan pangsapuri yang mereka diami diserang.

Menurut laporan pihak Palestin, lebih 1,100 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata yang sepatutnya berkuat kuasa pada Oktober tahun lalu.

Kementerian itu turut memberi amaran sistem kesihatan Gaza kini berada di ambang lumpuh selepas sebuah gudang ubat di Hospital Al-Aqsa Martyrs musnah akibat serangan, ketika wilayah itu berdepan kekurangan kritikal ubat-ubatan dan bekalan perubatan.

Pada masa sama, tentera Israel (IDF) mengumumkan telah membunuh beberapa komander Hamas dalam operasi sepanjang hujung minggu, dengan alasan tindakan itu menyasarkan individu yang dianggap mengancam keselamatan Israel.

Bagaimanapun, perkembangan itu menimbulkan kebimbangan bahawa pelaksanaan pelan damai yang dipersetujui sebelum ini boleh tergendala.

Pada 28 Julai, Encik Trump mengumumkan bahawa BoP telah mencapai persetujuan bagi pelucutan senjata sepenuhnya oleh Hamas dan kumpulan bersenjata lain di Gaza.

Satu pelan tindakan 15 perkara turut diterbitkan menggariskan langkah-langkah akhir bagi melaksanakan perjanjian tersebut

Encik Trump menyifatkan cadangan itu sebagai satu “langkah besar bagi Asia Barat” dan mendakwa Israel menyambut baik perjanjian terseb

Di bawah pelan damai tajaan Amerika Syarikat itu, Hamas bersetuju melaksanakan proses pelucutan senjata secara berperingkat, menyerahkan pentadbiran awam kepada Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza (NCAG), manakala pasukan keselamatan antarabangsa akan ditempatkan di Gaza sebelum proses pembinaan semula dimulakan.

Perjanjian itu turut memperuntukkan pemerintahan Israel menarik balik tenteranya secara berperingkat daripada kawasan yang didudukinya di Gaza selari dengan kemajuan proses pelucutan senjata.

Bagaimanapun, pemerintahan Israel dilaporkan masih belum menerima sepenuhnya syarat-syarat pelan berkenaan.

Seorang pegawai Israel berkata Tel Aviv sudah menyuarakan “kebimbangan keselamatan yang serius” kepada Rumah Putih berhubung cadangan pelaksanaan pelan itu.

Jurucakap Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, Encik Doron Spielman, berkata penilaian perisikan Israel menunjukkan Hamas masih berusaha membina semula keupayaan ketenteraannya dan belum benar-benar bersedia untuk dilucutkan senjata.

Beliau berkata tentera Israel tidak akan berundur daripada Gaza, yang kini menyaksikan lebih 60 peratus wilayahnya masih berada di bawah kawalan Israel, selagi Hamas belum menyerahkan semua senjata.

“Jika kami berundur sebelum Hamas benar-benar dilucutkan senjata, mereka akan segera membina semula infrastruktur ketenteraan dan kembali mengancam komuniti Israel.

“Pelucutan senjata bermaksud semua senjata mesti diserahkan secara fizikal. Tiada kompromi mengenai perkara itu,” katanya.

Pemerintahan Israel turut menuntut semua senjata Hamas dikeluarkan sepenuhnya dari Gaza serta memastikan tiada lagi senjata atau infrastruktur ketenteraan di wilayah itu sebelum sebarang pengunduran tentera dilaksanakan.

Selain itu, Israel turut dilaporkan mahu mengekalkan kebebasan melancarkan operasi ketenteraan di kawasan yang bakal diserahkan kepada Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF), selain membantah penglibatan Qatar dan Turkey dalam mekanisme pengesahan pelaksanaan perjanjian.

Seorang pegawai kanan BoP pula mengakui rundingan kini berada pada fasa yang amat genting berikutan serangan udara yang masih berterusan.

“Kami hanya memerlukan sedikit ruang untuk menenangkan keadaan kerana pemberhentian operasi ketenteraan adalah langkah pertama yang penting sebelum keseluruhan pelan dapat dilaksanakan,” katanya.

Pegawai itu menegaskan pelan damai berkenaan tidak berubah daripada prinsip asal yang dipersetujui semua pihak sejak rundingan dimulakan.

Menurutnya, pelan itu adalah pelaksanaan kepada pelan keamanan komprehensif yang diumumkan Encik Trump pada 2025 dan kemudian disokong Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sementara itu, ahli politik Palestin yang berada dalam buangan, Encik Mohammed Dahlan, menuduh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu cuba menggagalkan peluang terbaik untuk menamatkan perang di Gaza.

Beliau mendakwa pihak pengantara sudah menjangkakan pemerintahan Israel akan cuba mensabotaj pelan pelucutan senjata yang dirundingkan bersama Amerika Syarikat, Mesir, Qatar dan Turkey.

“Kami akan terus berusaha siang dan malam untuk menghentikan pencerobohan serta menyelamatkan rakyat Palestin daripada peperangan yang berterusan,” katanya.

Pelan damai 20 perkara yang dikemukakan Trump menetapkan Hamas menyerahkan semua senjata, memusnahkan rangkaian terowongnya, membolehkan pengunduran tentera Israel secara berperingkat, penempatan ISF serta pembentukan NCAG sebagai pentadbiran awam baharu bagi menguruskan Gaza sebelum usaha pembinaan semula wilayah itu dimulakan.

Pelan berkenaan merupakan sebahagian daripada fasa kedua rancangan gencatan senjata Gaza yang diusahakan Amerika bagi menamatkan konflik berpanjangan di wilayah itu.

Pelan 20 perkara yang diumumkan pada September 2025 merangkumi penubuhan BoP untuk memantau pelaksanaan perjanjian, pelucutan senjata Hamas, pengunduran tentera Israel dan usaha pembinaan semula Gaza.- Agensi berita