Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Letupan gas ragut 5 nyawa, 7 cedera di pusat beli belah Taiwan

Feb 13, 2025 | 3:41 PM
Gambar yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Pusat Taiwan (CNA) pada 13 Februari 2025, menunjukkan keadaan  selepas letupan yang berlaku di sebuah pusat beli-belah di Taichung.
Video yang tersebar menunjukkan serpihan besar berterbangan dan jatuh ke jalan raya di sekitar lokasi kejadian.
Gambar yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Pusat Taiwan (CNA) pada 13 Februari 2025, menunjukkan keadaan selepas letupan yang berlaku di sebuah pusat beli-belah di Taichung. Video yang tersebar menunjukkan serpihan besar berterbangan dan jatuh ke jalan raya di sekitar lokasi kejadian. - Foto AFP

TAIPEI: Sebuah letupan gas disyaki berlaku di pusat beli-belah Shin Kong Mitsukoshi di bandar Taichung, Taiwan, pada 13 Februari mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang dan mencederakan tujuh lagi, menurut Jabatan Bomba Taichung.

Letupan itu berlaku di kawasan medan selera di tingkat 12 pusat beli-belah tersebut, di mana kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan. Jabatan Bomba menyatakan bahawa kawasan itu telah ditutup kepada orang ramai ketika kejadian berlaku.

Rakaman video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan serpihan logam, bahan penyalut dan runtuhan berselerak di kaki lima luar pusat beli-belah itu serta jalan-jalan berdekatan.

Beberapa orang dilihat terbaring di tanah, manakala seorang lagi menerima rawatan kecemasan dari pasukan penyelamat.

Datuk Bandar Taichung, Lu Shiow-yen, berkata beliau merasakan gegaran ketika bekerja di bangunan pemerintah sekitar jam 11.30 pagi. “Letupan ini sangat serius dan operasi penyelamatan sedang dijalankan,” kata beliau kepada pemberita.

Jabatan Bomba Nasional Taiwan menyatakan bahawa mereka telah menghantar 56 kenderaan dan 136 anggota untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

“Punca letupan masih dalam siasatan dan kami menggesa orang ramai untuk mengelakkan kawasan berhampiran lokasi kejadian demi keselamatan,” kata jurucakap jabatan tersebut.

Datuk Bandar Lu menjelaskan bahawa letupan tersebut telah memberi kesan besar kepada kawasan sekitarnya, termasuk menyebabkan seorang pejalan kaki menjadi salah seorang mangsa.

“Kawasan ini mempunyai banyak bangunan pejabat dan kediaman. Kami memohon kerjasama semua untuk mematuhi sekatan demi keselamatan anda,” kata beliau.

Presiden Taiwan, Lai Ching-te, dalam hantaran di laman Facebook beliau, menyeru agar siasatan segera dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.
“Kami akan memastikan siasatan ini dijalankan dengan teliti dan langkah keselamatan diambil untuk mengelakkan tragedi seperti ini berulang,” kata Presiden Lai. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg