Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita S’pura maut dalam nahas di lebuh raya Taiwan

Dec 15, 2024 | 5:38 PM
Bahagian depan kereta remuk dalam kemalangan di lebuh raya Taiwan yang meragut nyawa seorang wanita Singapura
Bahagian depan kereta remuk dalam kemalangan di lebuh raya Taiwan yang meragut nyawa seorang wanita Singapura - Foto TANGKAP LAYAR TVBS

Seorang wanita daripada tiga keluarga Singapura maut berikutan kemalangan kereta di Taiwan pada 14 Disember.

Kemalangan itu berlaku sekitar 2 petang di Lebuh raya Wilayah No. 3 di Perbandaran Shihtan, Daerah Miaoli, lapor The Taiwan Times.

Wanita berusia 33 tahun dan anak perempuannya menaiki kereta sewa yang dipandu suaminya, warga Singapura berusia 36 tahun, apabila kenderaan itu merempuh tiang elektrik.

Keluarga itu dilaporkan memandu sendiri ketika berada di Taiwan.

Beberapa media Taiwan mengenal pasti wanita itu sebagai warga Singapura, manakala yang lain melaporkan bahawa beliau adalah warga China.

Anak perempuannya berusia tiga tahun.

Dalam video yang disiarkan menerusi stesen penyiaran Taiwan TVBS, sebuah kereta jenis sedan berwarna putih, dilihat membelok ke kiri dan merempuh tiang elektrik.

Ia sepatutnya membelok di selekoh sebelah kanan lebuh raya berkenaan.

Akibat kemalangan itu, bahagian belakang kereta itu terjongket, manakala tiang elektrik patah dan tumbang ke atas jalan.

Bahagian depan kereta tersebut pula remuk dan cermin depannya retak.

Menurut agensi berita Focus Taiwan, kemalangan itu berlaku di sekitar tanda 114 kilometer lebuh raya tersebut.

Lelaki dan kanak-kanak itu dapat keluar daripada kereta dengan kecederaan ringan sebelum bantuan tiba, tetapi wanita itu tersepit di tempat duduk belakang, kata laporan itu, memetik polis tempatan.

Mangsa kemudian dikeluarkan dari kereta tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda masih bernyawa.

Beliau disahkan meninggal dunia selepas tiba di hospital berdekatan, kata The Taiwan Times.

Pada hari yang sama, seorang pelajar Vietnam dilaporkan meninggal dunia selepas kemalangan di lebuh raya yang sama – dengan jarak hanya empat kilometer jauhnya.

Polis menggesa pemandu supaya lebih berhati-hati ketika memandu di bahagian lebuh raya tersebut yang terkenal dengan selekoh dan cerun yang bahaya.

Ia menambah bahawa beberapa kemalangan telah berlaku di sana dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Siasatan terhadap kedua-dua kemalangan itu sedang giat dijalankan oleh polis Taiwan.

Akbar The Straits Times telah menghubungi Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg