LOS ANGELES: Sebuah roket New Glenn tanpa anak kapal milik syarikat Blue Origin meletup di pelantar pelancar di Florida, Amerika Syarikat, semasa menjalani ujian pada 28 Mei.

Kejadian itu menjadi tamparan hebat bagi usaha penerokaan angkasa lepas milik jutawan, Encik Jeff Bezos, sedang beliau cuba merapatkan jurang persaingan dengan SpaceX milik Encik Elon Musk, yang bakal disenaraikan dalam tawaran awam awal (IPO).

Kejadian tersebut dapat dilihat menerusi video yang dimuat naik NASASpaceflight, yang menyiarkan pelancaran roket tersebut secara langsung dari Florida.

Video tersebut menunjukkan roket New Glenn yang tinggi itu mula menyala di pelantar sekitar 9 malam waktu tempatan (9 pagi waktu Singapura, 29 Mei) sebelum meletup menjadi bebola api gergasi yang menjulang ke langit, dan kemudian mengeluarkan kepulan asap tebal dan api ke udara.

Blue Origin sebelum ini sedang mempersiapkan roket berkenaan bagi pelancaran keempatnya, yang dijadual membawa 48 satelit Amazon Leo ke orbit rendah bumi, sebagai sebahagian usaha membina rangkaian jalur lebar bagi menandingi rangkaian Starlink milik Encik Musk.

Satelit Amazon Leo bagaimanapun belum dipasang pada roket tersebut semasa kejadian berlaku, kata satu sumber yang mengetahui perkara tersebut.

Letupan berkenaan merupakan satu tamparan terbaharu terhadap projek New Glenn yang sekian lama tertangguh.

Roket itu sepatutnya memainkan peranan utama dalam menghantar kenderaan pendarat bulan serta kargo di bawah misi penjelajahan bulan Artemis anjuran Pentadbiran Penerbangan dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa).

Kejadian itu berlaku hanya dua hari selepas Nasa menganugerahkan kontrak bernilai AS$188 juta ($240 juta) kepada Blue Origin untuk mendaratkan kenderaan peneroka (rovers) di permukaan bulan.

Ia juga berlaku kurang seminggu selepas SpaceX – yang mendahului dalam pembangunan teknologi berkenaan – menjalankan ujian yang sebahagian besarnya berjaya bagi roket generasi barunya, Starship.

Pihak Blue Origin mengesahkan ereka mengalami “ketidakselarasan” semasa ujian pembakaran enjin – di mana enjin roket dinyalakan semasa ia masih berada di permukaan tanah.

“Ia hari yang amat sukar, namun kami akan membina semula apa sahaja yang perlu dibina semula dan kembali terbang. Usaha ini berbaloi,” kata Encik Bezos dalam satu hantaran di laman X, sambil menambah, masih terlalu awal untuk mengetahui punca sebenar kejadian tersebut.

Pentadbir Nasa, Encik Jared Isaacman, berkata agensi itu akan bekerjasama dengan Blue Origin bagi menyokong siasatan berhubung kejadian berkenaan.

“Penerbangan angkasa lepas adalah sesuatu yang mencabar, dan usaha membangunkan keupayaan pelancaran muatan berat yang baru adalah sangat sukar,” kata Encik Isaacman di laman X.

Beliau turut menambah bahawa Nasa akan menyediakan maklumat mengenai sebarang kesan terhadap program Artemis dan Pangkalan Bulan miliknya.

Syarikat Blue Origin telah membelanjakan berbilion dolar serta meluangkan masa sekitar sedekad untuk membangunkan New Glenn, sebuah roket setinggi 29 tingkat dengan peringkat pertama yang boleh digunakan semula.

Ia bertujuan menandingi kumpulan roket, Falcon dan Starship milik SpaceX, yang lebih berkuasa.– Reuters.