TOBELO: Gunung Dukono di Halmahera Utara, Maluku Utara, kembali meletus dua kali pada pagi 11 Mei dengan letusan abu vulkanik mencecah sehingga 2,700 meter, ketika pihak berkuasa terus meningkatkan amaran keselamatan kepada penduduk dan pelancong di kawasan sekitar.

Menurut laporan rasmi Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), letusan pertama berlaku pada pukul 6.30 pagi waktu Indonesia Timur dengan kolum abu mencapai sekitar 2,700 meter di atas puncak gunung. Letusan kedua pula berlaku kira-kira pukul 8.14 pagi dengan kolum abu setinggi 2,000 meter.

PVMBG berkata kolum abu kelihatan berwarna putih hingga kelabu dengan intensiti sederhana hingga tebal dan bergerak ke arah utara serta timur laut mengikut arah angin.

Pegawai Pos Pemantauan Gunung Dukono, Sarjan, menggesa orang ramai supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti berhampiran kawasan gunung berapi itu.

“Masyarakat dan pelancong dinasihatkan supaya tidak mendaki, tidak menghampiri dan tidak menjalankan aktiviti dalam radius empat kilometer dari Kawah Malupang Warirang,” katanya.

Beliau berkata letusan abu vulkanik di Gunung Dukono berlaku secara berkala dan arah penyebaran abu sentiasa berubah bergantung kepada keadaan angin.

“Disebabkan abu vulkanik boleh tersebar ke kawasan yang tidak tetap, penduduk di sekitar Gunung Dukono disarankan sentiasa menyediakan pelitup muka atau penutup hidung dan mulut,” katanya.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi mengelakkan gangguan sistem pernafasan akibat abu vulkanik.

Setakat ini, Gunung Dukono direkodkan telah meletus sebanyak 112 kali sepanjang 2026.

Sehingga pukul 1 tengah hari Isnin, status gunung berapi itu masih berada pada tahap Waspada atau Tahap II.

PVMBG memaklumkan aktiviti letusan masih berterusan ketika laporan dikeluarkan.

Pihak berkuasa turut memberi amaran bahawa penyebaran abu boleh berubah pada bila-bila masa dan menjejaskan kawasan penempatan penduduk bergantung kepada kekuatan serta arah tiupan angin.

Gunung Dukono merupakan antara gunung berapi paling aktif di Indonesia dan sering mengalami letusan kecil hampir setiap hari.

Insiden itu berlaku walaupun laluan pendakian ke Gunung Dukono telah ditutup secara rasmi oleh pemerintah daerah sejak April lalu berikutan peningkatan aktiviti vulkanik.

Pihak berkuasa tempatan sebelum ini mengakui terdapat pendaki yang dipercayai menggunakan “jalan tikus” atau laluan alternatif untuk memasuki kawasan larangan tanpa kebenaran.

Gunung Dukono yang terletak di Pulau Halmahera mempunyai sejarah aktiviti vulkanik yang panjang dan sering menghasilkan abu tebal yang boleh mengganggu penerbangan serta kesihatan penduduk sekitar.

Walaupun statusnya masih berada pada tahap Waspada, pihak berkuasa berkata situasi boleh berubah bergantung kepada perkembangan aktiviti seismik dan letusan semasa. - Agensi berita