Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Liga Arab seru tempatkan pasukan pengaman PBB di Gaza

May 17, 2024 | 2:20 PM
Liga Arab menyeru pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikerahkan ke Jaluran Gaza dan Tebing Barat  sehingga rundingan penyelesaian dua negara diadakan kelak.
Liga Arab menyeru pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikerahkan ke Jaluran Gaza dan Tebing Barat sehingga rundingan penyelesaian dua negara diadakan kelak. - Foto EPA-EFE

MANAMA (Bahrain): Liga Arab menyeru supaya pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikerahkan ke Jaluran Gaza dan Tebing Barat yang diduduki Israel sehingga penyelesaian dua negara boleh dirundingkan.

Dalam satu kenyataan pada 16 Mei, ia turut menggesa Majlis Keselamatan PBB menetapkan satu had masa untuk proses politik itu.

Keperluan untuk mengerahkan pasukan pengaman PBB ke dalam kawasan konflik Israel-Palestin telah ditimbulkan sekali-sekala oleh para diplomat. Tetapi kenyataan Liga Arab itu merupakan yang pertama ia suarakan secara rasmi dalam dokumen bertulis, kata jurucakap PBB, Encik Farhan Haq.

Tidak mungkin pasukan pengaman PBB boleh dikerahkan ke Gaza dan Tebing Barat dalam masa terdekat kerana menghantar pasukan seumpama itu ke sebarang zon konflik memerlukan kebenaran Majlis Keselamatan terlebih dahulu.

Pasukan pengaman PBB biasanya terdiri daripada anggota angkatan bersenjata pelbagai negara, tidak memasuki zon pertempuran secara langsung dan tidak terlibat dalam pertempuran.

Kedua-dua Israel dan Hamas juga perlu bersetuju untuk menempatkan pasukan pengaman PBB di lapangan.

“Yang penting perlu ada perdamaian untuk dijaga. Kami tidak terlibat dalam pertempuran yang aktif, dan pihak-pihak yang berkonflik perlu bersetuju untuk membenarkan kehadiran pasukan pengaman. Kami tidak masuk sebagai pasukan musuh atau pasukan pendudukan,” ujar Encik Haq.

Cadangan itu dibuat sebagai sebahagian daripada kenyataan akhir yang dikeluarkan oleh Liga Arab selepas 22 anggotanya bersidang pada Khamis, 16 Mei di Manama, Bahrain.

Persidangan tersebut dikuasai dengan perbincangan mengenai perang di Gaza.

Selain menyeru gencatan senjata segera dan menuduh Israel menghalang usaha itu, Liga Arab menyeru “pengerahan pasukan perlindungan dan pengaman antarabangsa PBB di wilayah Palestin yang diduduki Israel sehingga penyelesaian dua negara dilaksanakan”.

Menurut Encik Haq, PBB bersedia untuk mengambil langkah lain yang diminta oleh Liga Arab, seperti menganjurkan atau mengetuai persidangan ke arah keamanan dan gencatan senjata dalam konflik itu. Tetapi belum ada rancangan pasti dibincangkan.

Ditanya sama ada Amerika Syarikat akan menyokong penempatan pasukan pengaman PBB, jurucakap Jabatan Negara, Encik Vedant Patel, memberitahu pemberita di Washington bahawa membawa masuk “pasukan keselamatan tambahan” berpotensi menjejas kempen Israel untuk memusnahkan Hamas.

Kenyataan Liga Arab juga mengulangi pendirian kumpulan itu bahawa penyelesaian dua negara harus berdasarkan sempadan yang wujud sebelum perang Arab-Israel dalam 1967.

Kumpulan itu berkata bahawa Majlis Keselamatan PBB tidak sepatutnya hanya mengambil “langkah yang jelas” ke arah melaksanakan penyelesaian sedemikian tetapi juga menetapkan had masa untuk melaksanakannya.

Berucap di persidangan tersebut, setiausaha agung PBB, Encik Antonio Guterres, berkata bahawa penyelesaian dua negara adalah “satu-satunya cara kekal untuk menamatkan kitaran keganasan dan ketidakstabilan”. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg