Topik diikuti
Pergi ke BHkuLima lelaki ditahan dekat pangkalan udara AS di Britain, disyaki rancang serangan pengganas
Lima lelaki ditahan dekat pangkalan udara AS di Britain, disyaki rancang serangan pengganas
Lebih 85 rumah dikosongkan susulan ancaman di pangkalan pengebom Amerika yang diguna serang Iran
Lima lelaki ditahan dekat pangkalan udara AS di Britain, disyaki rancang serangan pengganas
LONDON: Polis Britain menahan lima lelaki kerana disyaki merancang serangan pengganas berhampiran sebuah pangkalan tentera udara yang digunakan Amerika Syarikat, mencetuskan operasi keselamatan besar-besaran dan pemindahan penduduk di kawasan sekitarnya pada 27 September.
Penahanan itu dilakukan selepas polis menerima maklumat mengenai tiga kenderaan mencurigakan yang dilihat menuju ke pangkalan Tentera Udara Diraja Britain (RAF) Fairford di Gloucestershire, selatan England, sekitar 12.45 tengah malam.
Pangkalan tersebut digunakan Tentera Udara Amerika untuk menempatkan pesawat pengebom strategik, termasuk B-52 dan B-1, yang berulang kali melancarkan misi serangan terhadap Iran sejak peperangan di Timur Tengah bermula pada Februari lalu.
Kejadian itu menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan ancaman terhadap kemudahan ketenteraan Amerika di Britain ketika konflik di Timur Tengah masih berlarutan.
Setakat ini, pihak berkuasa belum memastikan sama ada kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan peperangan berkenaan.
Penyiasat turut meneliti kemungkinan wujudnya hubungan dengan Iran atau Russia, tetapi belum mengumumkan sebarang bukti yang mengesahkan penglibatan kedua-dua negara.
Polis antikeganasan Britain mengambil alih siasatan, manakala pasukan pemusnah bom tentera dikerahkan untuk memeriksa tiga van putih yang ditemukan berhampiran pangkalan berkenaan.
Timbalan Penolong Pesuruhjaya Polis Antikeganasan Britain, Cik Vicki Evans, berkata kawasan keselamatan sejauh 400 meter diwujudkan di sekitar kenderaan terbabit bagi membolehkan pemeriksaan dijalankan.
“Lima lelaki itu masih ditahan kerana disyaki membuat persiapan melakukan tindakan pengganasan serta melakukan kesalahan di bawah Akta Bahan Letupan,” katanya dalam satu kenyataan.
Identiti suspek belum didedahkan kerana mereka masih belum didakwa.
Lebih 85 rumah di sebuah perkampungan berhampiran pangkalan itu dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Rakaman udara pada petang 27 September menunjukkan sebuah robot pemusnah bom masih beroperasi berhampiran tiga van berkenaan, beberapa jam selepas penahanan dilakukan.
Penolong Ketua Konstabel Polis Gloucestershire, Encik Richard Ocone, berkata pihak berkuasa mempunyai prosedur kecemasan yang telah diuji bagi menangani kejadian keselamatan besar seperti itu.
Beliau berkata polis tempatan bekerjasama rapat dengan pasukan antikeganasan bagi memastikan keselamatan penduduk dan menjalankan siasatan.
Polis sebelum itu memaklumkan bahawa keadaan dipercayai sudah dapat dikawal.
Sementara itu, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mendakwa suspek sudah berada dalam pemantauan pihak berkuasa sebelum ditahan.
Ketika ditanya mengenai operasi tersebut, beliau memuji kerjasama antara Amerika dengan Britain.
“Kami sudah menyiasat mereka. Mereka merancang untuk menyebabkan kerosakan besar,” katanya kepada wartawan.
Kenyataan Encik Trump menimbulkan persoalan mengenai tempoh suspek berada dalam pemantauan dan bagaimana mereka boleh menghampiri pangkalan berkenaan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Britain belum memberikan penjelasan lanjut mengenai rancangan sebenar suspek atau sama ada bahan letupan ditemukan.
Perdana Menteri Britain, Encik Andy Burnham, mengakui kejadian itu membimbangkan penduduk setempat dan masyarakat yang mengikuti perkembangan keselamatan negara.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada polis dan angkatan tentera atas tindakan pantas mereka, sambil menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sementara siasatan diteruskan.
Kedutaan Amerika di Britain turut mengeluarkan amaran keselamatan, menasihati rakyatnya supaya berwaspada, menjaga keselamatan diri dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Kejadian itu berlaku ketika RAF Fairford menjadi antara kemudahan ketenteraan penting dalam operasi Amerika terhadap Iran.
Bekas Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, pada awalnya enggan membenarkan Amerika menggunakan pangkalan tersebut untuk menyerang Iran sebelum memberikan kebenaran bagi operasi yang disifatkannya sebagai pertahanan.
Dasar berkenaan diteruskan oleh penggantinya, Encik Burnham.
Pada Julai lalu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memberi amaran bahawa mana-mana pangkalan yang digunakan untuk melancarkan serangan terhadap wilayahnya boleh dianggap sebagai sasaran yang sah.
Penahanan terbaru itu turut berlaku ketika Britain dan beberapa negara Eropah meningkatkan kewaspadaan terhadap ancaman keselamatan yang didakwa mempunyai kaitan dengan Iran dan Russia.
Bagaimanapun, sebarang hubungan antara lima suspek tersebut dengan kedua-dua negara masih belum dibuktikan. - Agensi berita