Topik diikuti
Pergi ke BHkuRemaja 14 tahun didakwa rancang serangan dua masjid di London
Remaja 14 tahun didakwa rancang serangan dua masjid di London
Remaja 14 tahun didakwa rancang serangan dua masjid di London
LONDON: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun didakwa mengikut undang-undang pengganasan Britain selepas polis mendakwa menemui rancangan untuk menyerang dua masjid di selatan London yang dikaitkan dengan fahaman pelampau sayap kanan.
Polis Metropolitan London berkata, remaja itu pada mulanya ditahan pada 9 Julai lalu kerana disyaki melakukan perbuatan khianat terhadap sebuah kenderaan di selatan London.
Bagaimanapun, pemeriksaan di kediamannya membawa kepada penemuan beberapa dokumen yang mencurigakan sehingga siasatan diperluaskan kepada kesalahan berkaitan pengganasan.
Hasil siasatan lanjut yang dijalankan Unit Antikeganasan London bersama Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota (CPS) membawa kepada pertuduhan menyediakan tindakan pengganasan sebelum atau pada 9 Julai.
Remaja itu turut didakwa atas kesalahan melakukan kerosakan harta benda bermotif perkauman selepas didakwa memecahkan cermin sebuah kereta di Sutton pada atau sebelum 20 Jun lalu.
Polis mendakwa sasaran serangan ialah dua masjid di kawasan Sutton, selatan London.
Suspek kini direman dan dijadualkan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Westminster pada 16 Julai.
Ketua Unit Antikeganasan London, Komander Helen Flanagan, menyifatkan pertuduhan itu sebagai sangat serius memandangkan ia membabitkan seorang remaja.
“Ini adalah pertuduhan keganasan yang sangat serius terhadap seorang kanak-kanak lelaki dan sudah tentu membimbangkan orang ramai.
“Kami sedar perkara ini memberi kebimbangan khusus kepada masyarakat Islam. Kami sedang bekerjasama rapat dengan kedua-dua masjid yang terbabit bagi memastikan mereka menerima maklumat terkini, nasihat keselamatan serta sokongan berterusan,” katanya.
Beliau berkata pihak berkuasa turut bimbang dengan peningkatan bilangan kanak-kanak dan remaja yang terbabit dalam siasatan berkaitan fahaman ekstremis.
“Amat membimbangkan apabila semakin ramai golongan muda terlibat dalam kes seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Superintendan Detektif Nick Blackburn berkata siri kejadian yang menyasarkan masyarakat Islam sejak kebelakangan ini memberi kesan besar terhadap rasa selamat komuniti berkenaan.
“Kita tidak boleh memandang ringan kesan daripada kejadian yang berulang seperti ini terhadap masyarakat Islam.
“Pertuduhan ini dibuat hanya beberapa hari selepas 12 individu ditahan kerana disyaki merancang ancaman terhadap satu festival Islam di Suffolk, selain penahanan seorang lelaki kerana disyaki menyerang seseorang di luar sebuah masjid di Leyton,” katanya.
Menurut beliau, Polis Metropolitan telah meningkatkan rondaan keselamatan di kawasan yang terjejas dan akan meneruskan langkah itu dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Polis turut mengesahkan kedua-dua masjid yang menjadi sasaran telah dimaklumkan mengenai ancaman berkenaan dan kini menerima bantuan daripada pegawai keselamatan khas.
Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata mereka tidak percaya wujud ancaman lebih meluas terhadap orang awam dan tidak sedang memburu suspek lain berkaitan kes itu.
Kes berkenaan berlaku ketika kebimbangan terhadap peningkatan insiden anti-Islam di United Kingdom semakin memuncak.
Pada Jun lalu, Majlis Muslim Britain (MCB) mengeluarkan garis panduan keselamatan baharu yang menggesa semua masjid di negara itu mengadakan latihan menghadapi kecemasan, memperkukuh kerjasama dengan polis serta menaik taraf sistem televisyen litar tertutup (CCTV).
MCB berkata rumah ibadat umat Islam kini berdepan ancaman yang semakin meningkat termasuk vandalisme, ugutan, gangguan serta serangan yang disasarkan.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa masjid di Glasgow, Edinburgh, Blackburn, Manchester, Liverpool, Shrewsbury dan timur London dilaporkan menjadi sasaran serangan termasuk cubaan membakar bangunan, perbuatan vandalisme dan serangan ganas.
Awal minggu ini, polis Britain turut menahan 12 individu kerana disyaki terbabit dalam komplot kumpulan pelampau sayap kanan untuk menyerang satu perhimpunan masyarakat Islam di Suffolk.
Pada Jun lalu pula, seorang lelaki didakwa atas cubaan membunuh yang dikaitkan dengan pengganasan selepas disyaki melancarkan serangan tikaman bermotif anti-Islam di Edinburgh, Scotland.
Pihak berkuasa berkata walaupun kes terbaharu itu tidak menunjukkan wujudnya ancaman keselamatan yang lebih besar, mereka akan terus memantau sebarang perkembangan dan bekerjasama rapat dengan komuniti Islam bagi memastikan keselamatan rumah ibadat serta penduduk setempat terus terpelihara. - Agensi berita

